Pemerintah akan terus mendekati peniaga dan penduduk di kawasan utara Singapura sebelum mengemukakan beberapa cadangan bagi mengatasi keprihatinan mereka pada suku pertama atau kedua 2026, kongsi Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan.
Encik Tan merupakan pengerusi pasukan bertindak yang dibentuk pada Mac untuk membantu warga Singapura dan perniagaan setempat merebut peluang dan meraih manfaat daripada Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) apabila ia siap dibina pada penghujung 2026.
Sejak Mac, pasukannya telah mendapatkan maklum balas daripada lebih 160 orang, termasuk peniaga, agensi pemerintah dan persatuan perdagangan.
“Kebanyakan maklum balas yang kami terima menunjukkan bahawa orang ramai secara umumnya teruja dengan kemajuan projek RTS Link dan kemudahan yang akan dibawa kepada penduduk, terutamanya di kawasan utara.
“Namun begitu, ada juga keprihatinan mengenai kesan terhadap perbelanjaan, khususnya bagi kedai-kedai, perniagaan dan peniaga di kawasan kejiranan di utara.
“Oleh itu, kami sedang meneliti pelbagai maklum balas dan idea yang telah mereka kongsikan dengan kami,” kata Encik Tan ketika ditemui pihak media pada 29 Oktober di Kelab Masyarakat Marsiling.
Antara lain, maklum balas yang diterima melibatkan lebih banyak sokongan untuk peniaga, dan menubuhkan kemudahan sukan dan permainan yang baru.
Sementara itu, peniaga turut berkongsi bahawa langkah pendigitalan seperti sistem pesanan automatik di kedai kopi dan pusat penjaja dapat membantu meningkatkan trafik pelanggan.
Selain Encik Tan, anggota lain terdiri daripada wakil agensi pemerintah termasuk Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Kementerian Pembangunan Negara (MND), Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kementerian Kesihatan (MOH), EnterpriseSG, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan hospital Woodlands Health.
Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, dan AP GRC Marsiling-Yew Tee, Cik Hany Soh, juga bekerjasama dengan pasukan tersebut dalam mendekati pihak berkepentingan seperti perniagaan tempatan, kedai di estet kejiranan dan Persatuan Pedagang.
Cik Soh akur terdapat tarikan untuk ke seberang Tambak untuk membeli-belah, terutama sekali kerana barangan di sana kelihatan lebih murah disebabkan kadar pertukaran mata wang.
Namun menurutnya, pusat kejiranan adalah sesuatu yang tidak dapat digantikan.
“Kemudahan sedia ada, serta hubungan akrab yang telah terjalin selama bertahun-tahun antara penduduk dengan peniaga – contohnya mereka yang pergi ke pasar setiap minggu untuk mendapatkan barangan tertentu – adalah sesuatu yang tidak ketara tetapi amat bernilai, dan hubungan sebegini tidak akan dapat digantikan.
“Hubungan seperti ini menyenangkan hati dan kami akan terus menghargainya.
“Kami juga ingin mengambil langkah untuk memperkukuh dan mengekalkan hubungan ini agar ia berkekalan,” kata Cik Soh.
Selain Cik Soh, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, yang juga AP GRC Marsiling-Yew Tee, turut berkongsi bahawa perniagaan di kawasan Marsiling dan Yew Tee telah mencatat anggaran penurunan dalam pendapatan sebanyak 30 peratus hingga 40 peratus berbanding tempoh sebelum Covid-19.
Justeru, langkah untuk meningkatkan prasarana dan usaha menyuntik kesegaran di ruang masyarakat serta kawasan kejiranan, akan memberi kesan yang besar kerana ia mampu merancakkan perniagaan dan menarik lebih ramai pelanggan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg