Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mayat guru pesara S’pura jatuh ketika mendaki Everest dibawa pulang

Oct 10, 2024 | 2:07 PM
Upacara penghormatan Encik Harry Tan di Garden of Remembrance di Old Choa Chu Kang Road. Beliau hilang ketika mendaki berhampiran kawasan Gunung Everest dan ditemui pada 4 Oktober selepas operasi mencari dan menyelamat.
Upacara penghormatan Encik Harry Tan di Garden of Remembrance di Old Choa Chu Kang Road. Beliau hilang ketika mendaki berhampiran kawasan Gunung Everest dan ditemui pada 4 Oktober selepas operasi mencari dan menyelamat. - Foto ST

Mayat Encik Harry Tan Eng Kwang, yang maut selepas tergelincir dan terjatuh ketika mendaki di kawasan Everest, Nepal, kira-kira dua minggu lalu, tiba di Singapura pada 9 Oktober.

Keluarganya mengadakan upacara penghormatan tiga hari di pusara The Garden of Remembrance di Old Choa Chu Kang Road dan pembakaran mayat akan diadakan pada 12 Oktober.

Encik Tan, 76 tahun, dilaporkan hilang pada 26 September berhampiran Kongma La Pass setinggi 5,500m di Nepal, yang terletak di selatan Kem Pangkalan Everest.

Mayat beliau dijumpai pada 4 Oktober selepas operasi mencari dan menyelamat yang berlangsung lebih seminggu, lapor The Straits Times (ST).

Isterinya, Dr Jessie Png, 66 tahun, pensyarah kanan di Institut Pendidikan Nasional (NIE), berkata: “Memang mencabar buat pasukan penyelamat untuk mencari Harry disebabkan salji tebal.”

Apabila Dr Png mendapat tahu daripada mantan rakan sekerja Encik Tan bahawa beliau telah hilang, beliau berasa bimbang tetapi berharap agar suaminya kembali dengan selamat.

“Beliau sepatutnya pulang pada 10 Oktober. Tiada siapa menjangka perkara ini akan berlaku,” kata Dr Png.

Lawatan itu adalah kali ketiga Encik Tan mendaki di Nepal dan beliau berlatih bersungguh-sungguh untuk pendakiannya.

Dr Png menyifatkan suaminya sebagai seorang yang menjalani hidup dengan sebaiknya dan sentiasa bersedia untuk mendengar masalah orang di sekelilingnya.

Pasangan itu tidak mempunyai anak.

Menurut Dr Png, Encik Tan telah tergelincir dan jatuh dari tebing curam akibat ribut salji teruk, semasa beliau mendaki bersama sekumpulan tiga warga China ke sebuah rumah persinggahan di Lobuche, gunung di Nepal.

Dalam perjalanan mereka, seorang wanita dalam kumpulan itu terlihat Encik Tan terjatuh.

Misi menyelamat telah ditangguhkan selama beberapa hari kerana salji tebal dan disambung semula pada 2 Oktober.

Selepas mengumpul dana daripada orang awam dan dengan bantuan rakan-rakan Encik Tan, Dr Png mengupah sekumpulan pakar dari Nepal untuk mencari Encik Tan dengan bantuan sebuah helikopter.

Berdasarkan lokasi beliau ditemui, Dr Png percaya suaminya telah berjalan agak jauh dari tempat beliau terjatuh untuk mendapatkan bantuan.

Ucapan takziah datang mencurah-curah untuk Encik Tan selepas berita kematiannya disahkan.

Dalam satu catatan Facebook pada 4 Oktober, Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, yang dibimbing oleh Encik Tan semasa beliau menjadi guru pelatih pendidikan jasmani, menyifatkan Encik Tan sebagai “seorang lelaki yang mempunyai kekuatan dan semangat yang luar biasa”.

Encik Tan bersara sebagai guru di NIE pada 2010, tetapi kembali sebagai pensyarah sambilan dari 2013 hingga 2020.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg