Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mayat guru pesara S’pura ditemui dekat Gunung Everest

Oct 4, 2024 | 5:25 PM
Encik Harry Tan dilaporkan hilang pada 26 September berhampiran trek Kongma La Pass setinggi 5,500 meter di Nepal, yang terletak di selatan Kem Pangkalan Everest.
Encik Harry Tan dilaporkan hilang pada 26 September berhampiran trek Kongma La Pass setinggi 5,500 meter di Nepal, yang terletak di selatan Kem Pangkalan Everest. - Foto REUTERS

Mayat seorang guru pesara, Encik Harry Tan, yang hilang ketika mendaki berhampiran Gunung Everest, ditemui pada 4 Oktober selepas operasi mencari dan menyelamat lebih seminggu.

Encik Tan, 76 tahun, dilaporkan hilang pada 26 September berhampiran trek Kongma La Pass setinggi 5,500 meter di Nepal, yang terletak di selatan Kem Pangkalan Everest.

Rakan-rakan Encik Tan yang ditemui The Straits Times (ST) berkata beliau terjatuh dari sebuah tebing curam dan usaha sedang dijalankan untuk mengeluarkan mayatnya.

Encik Tan bersara daripada menjadi tenaga pengajar di Institut Pendidikan Nasional (NIE) pada 2010, tetapi tetap menjadi pensyarah sambilan dari 2013 hingga 2020.

Beberapa laman web daki gunung menggambarkan Kongma La Pass sebagai laluan yang mencabar dan lebih tinggi daripada Kem Pangkalan Everest.

Ia menawarkan pemandangan Gunung Everest dan merupakan sebahagian daripada Trek Tiga Laluan yang boleh mengambil masa kira-kira dua hingga tiga minggu untuk direntasi.

Encik Raj Tamang, 58 tahun, yang mendaki ke Kem Pangkalan Everest bersama Encik Tan pada 2019, berkata:

“Saya terkejut sejak sembilan hari lalu. Saya begitu berharap; saya fikir jika ada sesiapa boleh bertahan dalam keadaan ini, orangnya ialah Harry.”

Warga Nepal yang dibesarkan di Singapura itu berkata beliau mengenali Encik Tan pada 2015 semasa lawatan golf di Nepal yang beliau bantu anjurkan untuk sekumpulan pemain golf dari Kelab Golf Seletar.

Beliau menambah bahawa Encik Tan telah memukul bola golf dari Kem Pangkalan Everest semasa pendakian 2019 mereka itu, dari ketinggian lebih 5,000 meter.

Encik Tamang, pengasas syarikat mendaki, Responsible Adventures, berkata Encik Tan adalah “kawan rapat” beliau dan seorang yang luar biasa.

Beliau juga sangat sihat dan mampu menjaga dirinya sendiri.

Ia berkemungkinan perjalanan ketiga Encik Tan ke kawasan Everest, tambah Encik Tamang, yang mempunyai pengalaman hampir 40 tahun membimbing pendakian.

ST telah menghubungi Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) untuk maklumat lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg