Mayat seorang lelaki berusia 36 tahun yang reput ditemui tergantung di pagar pengadang di sepanjang laluan pejalan kaki berhampiran Blok 560 Ang Mo Kio Avenue 10 pada 26 Februari 2024.
Akhbar Shin Min melaporkan beberapa pegawai Pasukan Polis Singapura dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) di sepanjang jalan menuju ke Ekspreswe Central (CTE) dan Ang Mo Kio Avenue 5.
Menurut gambar yang disediakan sumber, si mati ditemui dalam keadaan tergantung di bahagian atas pagar pengadang dengan tali diikat pada bahagian lehernya.
Seorang pekerja pejabat yang bekerja berhampiran tempat kejadian memberitahu akhbar itu bahawa ulat sudah kelihatan pada badan dan bau busuk yang kuat dapat dikesan apabila penemuan itu dibuat oleh orang awam.
Menurut wartawan akhbar Shin Min yang tiba di tempat kejadian kira-kira jam 5 petang Isnin, jalan di mana mayat ditemui adalah “sempit dan terpencil”, yang mungkin sebab utama mayat itu sukar dikesan.
Pasukan Polis Singapura mengesahkan mereka dimaklumkan mengenai kes kematian luar biasa pada kira-kira jam 11:50 pagi Isnin.
Lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik SCDF.
Berdasarkan siasatan awal, polis tidak mengesyaki ada unsur jenayah.
Siasatan polis sedang dijalankan.
Jika anda atau seseorang yang anda kenali mengalami tekanan mental, berikut ialah beberapa talian penting yang boleh anda hubungi untuk mendapatkan bantuan, nasihat atau sekadar mendengar:
Talian Penting 24 jam SOS: 1-767
Persatuan Kesihatan Mental Singapura: 1800-283-7019
Institut Kesihatan Mental: 6389-2222 (24 jam)
Tinkle Friend: 1800-274-4788 (untuk kanak-kanak peringkat sekolah rendah)
SHECARES@SCWO: Hubungi: 8001 01 4616 | WhatsApp: 6571 4400 (untuk mereka yang terjejas dengan bahaya dalam talian)
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg