Sebagai ibu kepada empat anak yang berusia antara empat dengan lapan tahun, Cik Nurazlina Hamadi, 29 tahun, mendapati sukar untuk menyara kehidupan keluarganya dengan hanya bergantung kepada pendapatan beliau sebagai penolong pendidik awal kanak-kanak.
Justeru, untuk mendapatkan pendapatan sampingan, beliau yang berhasrat untuk menceburi bidang perniagaan, memutuskan untuk mengambil bahagian dalam program perniagaan mikro, myimpact, yang dilancarkan oleh Maybank Singapura dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).
Di bawah program tersebut, yang dibiayai oleh sumbangan Zakat Perbankan Islam Maybank Singapura, 15 usahawan daripada keluarga yang berpendapatan rendah, diberi peluang untuk menghadiri lapan modul selama lima minggu, pada setiap Sabtu, bermula dari 2 Oktober.
Menurut Cik Nurazlina, program tersebut amat bermanfaat baginya yang sebelum ini tidak mempunyai pengalaman dalam bidang urus niaga.
“Sebelum saya bekerja sebagai penolong pendidik, saya sebenarnya suri rumah tangga sepenuh masa selama tujuh tahun.
“Saya pernah berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual baju dalam talian dan dari situ, timbul minat untuk memulakan perniagaan saya sendiri. Namun saya tidak mempunyai pengetahuan asas.
“Dengan bantuan DPPMS, banyak yang telah saya pelajari seperti pencatatan urus niaga, perancangan dan pemodelan perniagaan serta pendigitalan, yang membantu saya dalam perancangan untuk pembentangan perniagaan saya pada hari ini,” kongsi beliau dengan Berita Minggu (BM) pada 2 November di restoran The Fluffy Chef.
Cik Nurazlina merupakan antara 10 finalis yang dipilih untuk membentangkan rancangan perniagaan mereka kepada juri yang terdiri daripada pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Meem Pte Ltd, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid; CEO EthisX, Encik Mohamed Shehzad Mohamed Islam; Pengarah Eksekutif DPPMS, Cik Nadiah Hassan; ketua pasukan ekonomi halal dalam Perbankan Islam di Maybank, Encik Muhammad Azzad Ahmad; serta Ketua Cef dan pemilik restoran The Fluffy Chef, Cik Zarifah Abdul Rasid.
Seramai 10 finalis yang mengambil bahagian perlu membentangkan analisis pasaran, rancangan pemasaran, produk dan perkhidmatan yang mereka tawarkan, rancangan kewangan, serta sumber pembiayaan perniagaan mereka, untuk memenangi modal permulaan sebanyak $5,000.
Cik Nurazlina, yang muncul sebagai salah seorang daripada tiga pemenang modal permulaan sebanyak $5,000 itu, berkongsi beliau mempunyai rancangan untuk memulakan perniagaan menjual kaftan, yang merupakan sejenis pakaian Muslimah merangkumi pelbagai saiz, dengan harga permulaan sekitar $15.
Dua lagi pemenang ialah Cik Normah Supandi, yang merupakan tukang jahit serta Cik Salbiah Said, pengasas Sal Snacks, perniagaan kecil yang menjual makanan dan kuih Melayu tradisional.
Salah seorang juri, Encik Muhammad Azzad juga berkongsi bahawa kerjasama Maybank Singapura dengan DPPMS menggariskan komitmen Maybank Singapura untuk menyokong usahawan berpendapatan rendah agar dapat memulakan dan memajukan perniagaan mereka.
Beliau berkata: “Saya terharu melihat peserta yang membentangkan rancangan perniagaan mereka yang amat terperinci kepada panel juri.
“Saya dapat melihat bagaimana mereka menggunakan apa yang telah diajar oleh DPPMS dan ia menunjukkan semangat, visi dan keupayaan mereka untuk maju dalam bidang perniagaan pada masa akan datang.
“Kami akan memanfaatkan pengalaman yang ditimba daripada sesi pertama myimpact ini untuk sesi seterusnya yang dijadualkan berlangsung pada Januari 2025.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg