Maybank Singapura telah melancarkan The Most Expensive Words, satu pameran percuma untuk orang ramai, yang diadakan di Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) dari 23 Oktober hingga 1 November.

Pameran tersebut mengetengahkan frasa yang lazim digunakan dalam bentuk karya seni kaligrafi, sebagai usaha proaktif untuk memperkasakan orang ramai agar dapat mengenal pasti taktik penipuan, membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat, serta melindungi kesejahteraan kewangan mereka.

Setiap karya seni memaparkan ‘harga’ berupa jumlah kerugian yang dilaporkan pada 2025, yang dikaitkan dengan frasa yang digunakan dalam kegiatan penipuan.

Antara lain, frasa seperti “pihak bank anda memerlukan bantuan anda”, dikaitkan dengan penipuan penyamaran sebagai pihak lain, yang telah menyebabkan kerugian sebanyak $242.9 juta.

Di samping itu, frasa “pulangan tinggi, sifar risiko”, dikaitkan dengan penipuan pelaburan, yang telah menyebabkan kerugian sebanyak $336.2 juta.

“Penipu tidak semestinya memerlukan kaedah yang canggih.

“Selalunya, mereka hanya bergantung pada nama yang dikenali, permintaan yang mendesak, atau tawaran yang kedengaran terlalu menarik untuk dilepaskan.

“Dengan mempamerkan kata-kata ini di dinding pameran, serta nilai kerugian sebenar di dunia nyata, kami berharap orang ramai dapat mengenali tanda-tanda amaran tersebut dan berfikir sejenak sebelum membuat sebarang transaksi pemindahan wang,” kata Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Singapura, Encik Adam Tan.

Maybank Singapura, dalam satu kenyataan pada 23 Oktober, merujuk kepada Laporan Tahunan Penipuan dan Jenayah Siber 2025 oleh Pasukan Polis Singapura (SPF), yang mendedahkan sebanyak 37,308 kes penipuan direkodkan pada 2025, dengan jumlah kerugian dilaporkan mencecah sekitar $913.1 juta.

Meskipun jumlah kes penipuan merosot sebanyak 27.6 peratus dan jumlah kerugian keseluruhan merosot sebanyak 17.9 peratus berbanding 2024, kegiatan penipuan masih menjadi keprihatinan yang ketara, tambah Maybank.

SPF turut melaporkan 81.8 peratus daripada kes penipuan melibatkan pemindahan wang yang dilakukan sendiri oleh mangsa, iaitu apabila mangsa diperdaya melalui penipuan dan manipulasi sosial sehingga melakukan transaksi kewangan sendiri.

Justeru, Pengerusi Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC), Encik Gerald Singham, berharap agar pameran ini dapat membantu orang ramai mengenali tanda-tanda amaran, berfikir sejenak sebelum bertindak, serta melindungi diri mereka dan insan tersayang daripada menjadi mangsa penipuan.

“NCPC berbesar hati dapat menyokong Maybank dalam inisiatif bermakna ini, memandangkan usaha melindungi masyarakat kita daripada penipuan merupakan tanggungjawab bersama,” ujar Encik Singham.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti