Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maybank sumbang $65,000 kepada CDC South East

Bantuan bakal dimanfaat 1,600 warga emas bawah program SG60 ‘Silver Buddies’
Jul 2, 2025 | 7:21 PM
Encik Alvin Lee, wgs, dinesh vasu dash, maybank, silver buddies
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negara Maybank Singapore, Encik Alvin Lee, melancarkan program Maybank SG60 Silver Buddies@South East di Wisma Geylang Serai (WGS), yang dihadiri oleh Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Dinesh Vasu Dash, pada 2 Julai 2025. - Foto MAYBANK SINGAPORE

Maybank Singapore telah melancarkan program Maybank SG60 Silver Buddies@South East, dengan kerjasama Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East.

Ia bakal memberi manfaat kepada 1,600 warga emas daripada enam badan bukan mencari untung (NPO).

Antara lain, NPO yang meraih manfaat termasuk Pusat Penuaan Aktif (AAC) 4S@ Eunos Crescent, pusat penjagaan warga emas Salvation Army Peacehaven Bedok Arena, Persatuan Khidmat Jagaan Masyarakat (CCSS), Pusat Penuaan Aktif Thye Hua Kwan, dan Helping Joy, sebuah Institusi Bertaraf Awam (IPC).

Seramai 900 kakitangan Maybank Singapore akan mengambil bahagian dalam kegiatan seperti pesta kejiranan, makan bersama, lawatan membeli barang runcit secara berkumpulan, mengemas rumah dan pengedaran pakej barangan keperluan, hingga akhir 2025.

Melalui sumbangan $65,000 untuk menyokong inisiatif penglibatan masyarakat berskala besar tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negara Maybank Singapore, Encik Alvin Lee, berkata program SG60 Silver Buddies ialah cara memberi penghormatan kepada warga emas yang telah membentuk Singapura, serta meraikan ulang tahun ke-65 bank itu.

Berkongsi demikian dalam acara pelancaran program SG60 Silver Buddies@South East di Wisma Geylang Serai pada 2 Julai, Encik Lee berkata:

“Ramai dalam kalangan anda telah memainkan peranan yang sangat penting dalam membina asas bagi negara hebat yang kita miliki bersama hari ini.

“Bagi pihak Maybank, kami juga ingin memainkan peranan kami dalam menyokong keluarga, perniagaan dan perjalanan luar biasa negara ini.

“Kisah Singapura adalah kisah ketabahan, inovasi dan keupayaan, dan nilai-nilai ini sangat tertanam dalam budaya Maybank.

“Sempena sambutan ulang tahun ke-60 Singapura, kami turut teruja untuk menyumbang kembali kepada masyarakat yang telah membentuk perjalanan kami dan Program SG60 ‘Silver Buddies’ ini adalah cara bagi kami menghargai warga emas.”

Berkongsi sentimen serupa ialah Mayor CDC South East, Encik Dinesh Vasu Dash, yang turut hadir bagi menyokong acara tersebut.

Encik Dinesh melahirkan penghargaan terhadap sumbangan warga emas dalam membangunkan Singapura, di samping meluahkan rasa terima kasih kepada Maybank Singapore.

“Penting untuk kita di sini meraikan segala yang telah kita capai sepanjang 60 tahun ini dan mengucapkan terima kasih kepada anda semua, khususnya warga emas kita.

“Tanpa sumbangan warga emas, kita tidak akan berada di tahap ini...,” kongsi Encik Dinesh, yang juga Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), kepada 105 kakitangan Maybank Singapura dan 250 warga emas di WGS.

Antara warga emas yang hadir ialah Cik Norhayani Abdul Rahman, 64 tahun, yang telah menyertai kegiatan anjuran 4S@Eunos Crescent sejak akhir 2023.

“Dengan program seperti SG60 Silver Buddies@South East, orang tua tidak akan berasa terpinggir atau diketepikan,” tambah Cik Norhayani, yang mengalukan-alukan kehadiran sukarelawan Maybank Singapore.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg