Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) akan memperluas ruang bersama untuk memupuk masyarakat ‘Kita Dahulu’ sambil memastikan ruang itu dapat dilindungi agar setiap individu dapat mengamalkan kepercayaan mereka dengan bebas.
Ia juga akan bekerjasama dengan Harmony Circle dan rakan kongsi antara agama untuk memupuk persefahaman dalam kalangan rakyat dan menggalakkan warga, khususnya belia, agar mengambil bahagian dalam pertukaran antara agama dan antara budaya.
Demikian dikongsi Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, semasa membentangkan adendum (kenyataan tambahan) MCCY pada 19 September.
Dalam kenyataannya, Encik Neo berkata, MCCY juga akan memupuk masyarakat ‘Kita Dahulu’, di mana mereka yang meraih kejayaan dapat menyumbang kembali dan kejayaan diukur menerusi cara rakyat Singapura membantu orang lain.
“MCCY akan mempromosikan kesukarelawanan melalui Pusat Sukarelawan SG Cares dan Kor Belia Singapura serta bekerjasama dengan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) untuk mengembangkan kesukarelawanan korporat.
“Untuk membina demokrasi menyalur budi, MCCY akan mewujudkan lebih banyak ruang untuk rakyat dan pihak berkepentingan masyarakat untuk mencadangkan dan melaksanakan penyelesaian baru,” kata Encik Neo, yang juga Menteri Negara Kanan (Pendidikan).
Pejabat Perkongsian Pemerintah Singapura (SGPO), kata Encik Neo, akan mengembangkan penglibatan dan perkongsian rakyat untuk masa depan.
Persatuan Rakyat (PA) juga akan melibatkan rakyat Singapura melalui Skim Sukarelawan Masyarakat dan melengkapkan pemimpin masyarakat untuk mengembangkan lebih banyak masyarakat mikro yang prihatin, di seluruh Singapura.
Secara berasingan, Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam turut membentangkan adendum Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 19 September sebagai respons kepada Amanat Presiden yang disampaikan pada 5 September.
Dalam kenyataannya, beliau berkata MHA akan membentangkan Rang Undang-Undang Jenayah (Pelbagai Pindaan), untuk menjelaskan rasional undang-undang jenayah negara, melindungi mangsa rentan dengan lebih baik dan menangani trend jenayah yang muncul.
MHA juga akan meminda Akta Trafik Jalan Raya untuk menangani keadaan keselamatan jalan raya yang semakin teruk dan Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindakan Balas) untuk menangani taktik campur tangan asing yang berkembang.
Selain itu, Encik Shanmugam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, berkata MHA akan mengukuhkan perundangan untuk menangani cabaran seperti penipuan dan dadah.
“Jenayah rentas negara dan siber terus meningkat.
“Pengedaran dadah kekal menjadi kebimbangan besar, manakala penipuan dan jenayah siber menimbulkan cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini kepada usaha langkah penguatkuasaan.
“Untuk bertindak balas terhadap ancaman ini, MHA akan terus memperkukuh undang-undang kita, memperdalami perkongsian dan memanfaatkan teknologi secara agresif.
“Kami akan sentiasa menyemak undang-undang untuk memastikan ia kekal sesuai untuk tujuan, bagi menangani ancaman yang muncul dan taktik jenayah yang berkembang,” kata Encik Shanmugam.
Untuk menangani ancaman radikalisasi diri belia yang semakin meningkat, beliau berkata MHA bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) untuk meningkat kesedaran pelajar dan kakitangan sekolah pada ancaman keganasan dan petunjuk radikalisasi.
MHA juga bekerjasama rapat dengan agensi lain untuk menentang sikap yang semakin permisif di seluruh dunia terhadap dadah, seperti melalui pengukuhan inisiatif pendidikan pencegahan dadah.
Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan Reben Kuning Singapura juga akan bekerjasama dengan agensi pemerintah, majikan serta badan masyarakat lain untuk menyokong pemulihan dan penyepaduan semula banduan dan bekas pesalah, kata Encik Shanmugam.
Mengenai penggunaan teknologi, Encik Shanmugam berkata kementeriannya melabur banyak dalam kecerdasan buatan (AI) dan telah melancarkan gerakan HTxAI khusus untuk meningkatkan keupayaannya.
“Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) telah menyediakan pintu automatik, dilengkapi dengan pengesanan pemalsuan dan sistem saringan biometrik berbilang modal, untuk membolehkan kawalan sempadan yang lebih selamat sambil memberikan pengalaman pelepasan yang lancar.
“SPS sedang mencuba Sistem Televisyen Autonomi untuk menjadikan lawatan banduan lebih mudah diakses oleh keluarga, dengan pengesahan identiti yang selamat melalui teknologi pengecaman muka,” kata Encik Shanmugam.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) juga akan melancarkan TruCerts, sistem berasaskan blockchain yang mempertingkat penjejakan dan pengesahan sijil keselamatan kebakaran untuk produk dikawal selia SCDF serta menyelesaikan isu pematuhan dengan lebih cepat dan tepat.
Selain itu, Pusat Pelaporan Generasi Seterusnya Biro Narkotik Pusat (CNB) juga akan menyelaraskan ujian air kencing melalui automasi, yang akan mengukuhkan kemantapan proses ujian air kencing, dan mengurangkan risiko biobahaya untuk pegawai CNB.
“
MCCY akan mempromosikan kesukarelawanan melalui Pusat Sukarelawan SG Cares dan Kor Belia Singapura serta bekerjasama dengan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) untuk mengembangkan kesukarelawanan korporat. Untuk membina demokrasi menyalur budi, MCCY akan mewujudkan lebih banyak ruang untuk rakyat dan pihak berkepentingan masyarakat untuk mencadangkan dan melaksanakan penyelesaian baru.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg