Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MCI peruntuk $260j biaya SPH Media bagi tahun kewangan 2024

SPH Media guna pembiayaan pemerintah dengan baik setakat ini; perlu teruskan usaha dalam transformasi digital
Mar 1, 2024 | 9:36 PM
SPH Media telah memperkukuh sistem digitalnya untuk meningkatkan jangkauannya, sejajar dengan apa yang telah dilakukan oleh penerbitan lain di peringkat sejagat.
SPH Media telah memperkukuh sistem digitalnya untuk meningkatkan jangkauannya, sejajar dengan apa yang telah dilakukan oleh penerbitan lain di peringkat sejagat. - Foto fail

Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) telah memperuntuk pembiayaan sekitar $260 juta untuk SPH Media Trust (SMT) bagi tahun kewangan 2024, kata Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo semasa bahas Jawatankuasa Perbekalan (COS) kementerian itu pada 1 Mac.  

Ini merupakan sebahagian daripada $900 juta dalam bentuk sokongan pembiayaan bagi SPH Media untuk tempoh lima tahun bermula 2022.

Setakat ini, sekitar $320 juta telah diagihkan kepada SPH Media, sepanjang tahun kewangan 2022 dan 2023, kata Cik Teo, yang turut menambah ia telah “digunakan dengan baik”.

“SPH Media telah memperkukuh sistem digitalnya untuk meningkatkan jangkauannya, sejajar dengan apa yang telah dilakukan oleh penerbitan sejagat yang lain,” kata beliau. 

Cik Teo berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang yang juga pemimpin Parti Pekerja, Encik Pritam Singh, mengenai perkembangan pembiayaan pemerintah kepada SPH Media.

Beliau menambah SPH Media juga perlu melaporkan kepada MCI secara kerap mengenai prestasi mereka dalam bidang tersebut.

Ia juga perlu mematuhi audit yang berkaitan bagi memastikan adanya pengawasan tentang cara pembiayaan yang diberikan itu dibelanjakan. 

Ini di samping memastikan SPH Media bertanggungjawab sebagai perkhidmatan media awam, tegas Cik Teo.

Walaupun pembiayaan pemerintah yang diberikan kepada SPH Media setakat ini telah dimanfaatkan dengan baik, ia masih boleh melakukan banyak lagi dalam usaha transformasi pendigitalannya, tambah beliau. 

Bagi tahun kewangan 2023, SPH Media gagal mencapai sasaran KPI (Indeks Petunjuk Prestasi), walaupun ia telah mengekalkan capaian keseluruhannya serta memperoleh peningkatan dalam langganan digitalnya.

KPI ditetapkan untuk SPH Media menjejaki jangkauan dan penglibatan merentas semua masyarakat, termasuk sasaran khusus untuk saluran vernakular, belia dan jangkauan digital.

Ia juga gagal mencapai sasaran KPI untuk mengekalkan Purata Masa Diluangkan (ATS) bagi setiap pengguna bagi tempoh sebulan merentas semua wadah dalam talian dan aplikasi mereka.

“Oleh itu, ia tidak menerima pembiayaan penuh yang telah ditetapkan. Lebih penting lagi, keputusan ini menunjukkan bahawa usaha yang dilakukan setakat ini hanyalah permulaan.

“SPH Media perlu melakukan lebih banyak lagi untuk kekal relevan dalam persekitaran media yang mencabar ini dan memerlukan sokongan berterusan kerana ia berusaha untuk mencapai kedudukan yang lebih kukuh,” ujarnya. 

SISTEM DIGITAL DIPERKUKUH

“SPH Media telah memperkukuh sistem digitalnya untuk meningkatkan jangkauannya, sejajar dengan apa yang telah dilakukan oleh penerbitan sejagat yang lain.”
PERLU SOKONGAN BERTERUSAN

“... Ia tidak menerima pembiayaan penuh yang telah ditetapkan. Lebih penting lagi, keputusan ini menunjukkan bahawa usaha yang dilakukan setakat ini hanyalah permulaan. SPH Media perlu melakukan lebih banyak lagi untuk kekal relevan dalam persekitaran media yang mencabar ini dan memerlukan sokongan berterusan kerana ia berusaha untuk mencapai kedudukan yang lebih kukuh.” 
Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg