Dana endowmen perubatan, MediFund telah mengagihkan $156 juta dalam bentuk bantuan kepada 1.1 juta permohonan dalam kalangan rakyat Singapura yang memerlukan bagi membayar bil perubatan mereka pada tahun kewangan (FY) 2023 – dari 1 April 2023 hingga 31 Mac 2024.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH) pada 26 November, ia setanding dengan jumlah yang diagihkan pada FY2022 iaitu sebanyak $156.3 juta.
Menurut laporan MOH, bilangan permohonan MediFund yang diluluskan ialah 1,095,985, merosot 2.7 peratus berbanding 1,126,942 permohonan yang diluluskan pada FY2022.
MOH juga melaporkan penurunan sebanyak 2.7 peratus dalam jumlah permohonan untuk sokongan MediFund dalam tempoh yang sama.
Di institusi penjagaan kesihatan awam, jumlah bantuan yang diberikan kepada pesakit ialah $118 juta, berbanding $119.3 juta pada FY2022.
Dalam kemudahan Penjagaan Pertengahan dan Jangka Panjang, jumlah bantuan yang diberikan kepada pesakit ialah $37.9 juta, berbanding $37 juta pada FY2022.
MOH berkata secara purata, jumlah bantuan MediFund yang diagihkan ialah $929 bagi setiap kemasukan pesakit dalam hospital, dan $97 bagi setiap lawatan pesakit luar, berbanding masing-masing $936 dan $99 pada FY2022.
MediFund ialah jaringan keselamatan untuk warga Singapura yang memerlukan, yang tidak mampu membayar baki bil perubatan selepas subsidi pemerintah dan setelah menggunakan kaedah pembayaran lain, termasuk MediShield Hayat dan MediSave.
Dana MediFund Silver dan MediFund Junior – masing-masing bagi membantu golongan warga emas dan kanak-kanak kecil – telah diperkenal pada 2007 dan 2013 untuk menawarkan bantuan lebih khusus bagi golongan tersebut.
Bantuan yang diberi berdasarkan setiap permohonan dan hanya boleh diberikan kepada pesakit bersubsidi.
Bagi setiap permohonan yang berjaya, kuantum bantuan yang diberikan berbeza dan bergantung pada keadaan sosioekonomi individu, saiz bil dan jumlah tertunggak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg