Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Melampaui penonton: Kejohanan Akuatik Dunia undang semua ke kolam renang

Apr 2, 2025 | 6:20 PM
Perenang lelaki setempat, Encik Teong Tzen Wei, semasa menyertai Piala Dunia Renang 2024.
Perenang lelaki setempat, Encik Teong Tzen Wei, semasa menyertai Piala Dunia Renang 2024. - Foto TEONG TZEN WEI - ANDY CHUA / WORLD AQUATICS

Bukan sahaja dapat melihat atlet terunggul dalam sukan akuatik, tetapi setiap lapisan masyarakat di Singapura berpeluang menuruserta dalam acara Kejohanan Akuatik Dunia - Singapura 2025 (WCH) menerusi pertandingan dan cabaran sukan serta pameran interaktif, menjadikan sukan akuatik bertaraf dunia ini mudah diakses oleh semua orang.

Diadakan buat julung-julung kalinya di Asia Tenggara, Kejohanan Akuatik Dunia - Singapura 2025, yang merupakan salah satu acara penting dalam sukan global bakal diadakan di Singapura dari 11 Julai hingga 3 Ogos ini.

Kejohanan Akuatik Sedunia - Singapura 2025 merupakan acara sukan antarabangsa yang diadakan pada setiap dua tahun, menyatukan atlet elit sedunia.

Ia akan diadakan sempena meraikan tahun SG60 Singapura. Acara sukan kedua berprestij itu, menyusuli Sukan Olimpik, akan menyaksikan melebihi 2,500 atlet dari lebih 190 negara, di mana mereka akan bertanding dalam enam jenis sukan akuatik di merata Singapura. Enam jenis sukan akuatik itu adalah renang, renang artistik, terjun cantik, polo air, renang di perairan terbuka dan terjun akrobatik.

Namun, walaupun atlet elit sedunia bakal bertanding, acara akuatik itu juga memberi peluang kepada rakyat Singapura daripada setiap peringkat umur untuk sama-sama menyertai acara itu.

Justeru, selain pertandingan Kejohanan Akuatik Sedunia, satu lagi acara sukan yang bakal dianjurkan adalah Kejohanan Masters Akuatik Dunia yang membolehkan anggota masyarakat umum yang menggemari sukan akuatik berumur 25 hingga 80 tahun bertanding dalam kategori umur masing-masing di pentas berprestasi yang sama seperti atlet johan sedunia. Peserta boleh memilih untuk bertanding dalam kategori renang, renang artistik, terjun cantik, polo air dan renang di perairan terbuka.

Acara Kejohanan Masters Akuatik Dunia yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 22 Ogos ini mengalu-alukan penyertaan terbuka kepada perenang rekreasi, bekas atlet negara dan penggemar sukan. Dengan itu, pertandingan ini mengubah acara ini daripada acara untuk ditonton sahaja tetapi membolehkan rakyat biasa Singapura dan pesaing antarabangsa menurut serta dan mencipta kenangan kejohanan sendiri, tidak kira, tahap keupayaan mereka.

Ini juga merupakan kali pertama acara Kejohanan Masters Akuatik Dunia diadakan pada waktu yang sama dengan Kejohanan Akuatik Dunia.

Bagi mereka yang tidak mahu bersaing, mereka masih boleh mengambil bahagian dalam acara Kejohanan Akuatik Sedunia Dunia - Singapura 2025 dengan menyertai SG60 Swim Challenge, satu kerjasama WCH dengan ActiveSG dan GetActive! Singapore.

SG60 Swim Challenge meraikan tahun SG60 bagi menggalakkan gaya hidup aktif dan semangat kemasyarakatan melalui berenang. Ia merupakan dorongan WCH untuk mengajak masyarakat kekal cergas dan menyertai sukan akuatik sambil menyumbang untuk menyokong pembangunan renang di kalangan masyarakat.

Untuk menyertai SG60 Swim Challenge, orang ramai boleh membentuk satu pasukan dan melengkapkan 60 pusingan atau mengambil bahagian sebagai individu untuk berenang sehingga 6 pusingan setiap hari antara April hingga Jun ini. Bilangan pusingan yang disasarkan sebanyak 300,000.

Mengulas tentang mengapa acara Kejohanan Akuatik Dunia diadakan di Singapura, pengerusi bersama jawatankuasa penganjur Singapura 2025, Encik Mark Chay berkata:

“Singapura telah menjadi tuan rumah acara sukan antarabangsa terkemuka. Kami mempunyai kemudahan terkenal seperti Pusat Akuatik OCBC, yang telah menganjurkan pelbagai pertandingan antarabangsa termasuk Sukan SEA 2015. Acara sukan utama antarabangsa yang lain termasuk edisi sulung Sukan Olimpik Belia dan Pesta E-Sukan Olimpik. Acara-acara ini telah menaikkan profil Singapura dan memberi peluang kepada atlet kita untuk bersaing dengan pemain terbaik dunia dengan sokongan penonton di rumah.

“Untuk Singapura 2025, kami sedang melaksanakan penggunaan inovatif di ruang yang tersedia dan sesuai. Pembinaan WCH Arena yang dibina di dalam Hab Sukan Singapura sedang berjalan lancar dan tempat itu akan menjadi tempat pertandingan renang dan renang artistik. Sentosa yang akan menjadi tempat untuk acara renang di perairan terbuka dan terjun akrobatik, akan memulakan pembinaan pada Mei 2025. Tempat pertandingan itu akan diubah untuk pertandingan peringkat tinggi dan untuk penonton menikmati sukan akuatik yang terbaik. Pembinaan tempat-tempat ini menyerlahkan status kami sebagai destinasi yang sesuai untuk menganjurkan acara sukan antarabangsa yang terkemuka, di samping mempamerkan keupayaan kami untuk menjadi kreatif dan boleh menyesuaikan diri supaya kami dapat menyampaikan pengalaman yang terbaik.

“Kemudahan WCH Arena baharu dengan 4,800 tempat duduk akan dilengkapi dengan Zon Peminat di OCBC Square yang padat dengan aktiviti interaktif, gerai barangan rasmi, gerai penaja dan gerai-gerai makanan & minuman untuk semua kumpulan umur dan keluarga.”

Satu siri pameran interaktif juga akan diadakan di pusat-pusat membeli-belah terkemuka di Singapura dari Mei hingga Ogos ini untuk mempromosikan acara sukan akuatik ini. Selain itu, orang ramai juga berpeluang menemui atlet Team Singapore.

Acara Kejohanan Akuatik Dunia - Singapura 2025 juga membawa keunggulan sukan akuatik kelas dunia ke setiap sudut Singapura sempena sambutan ulang tahun Singapura yang ke-60, menurut pengerusi bersama jawatankuasa penganjur Singapura 2025, Encik Alan Goh.

“Selain roadshow di pusat membeli-belah, aplikasi WebApp GameOn SG60, SG60 Swim Challenge dan pelbagai penglibatan sekolah seperti inisiatif Trash to Treasure dan Memilih Negara Angkat (Adopt-a-Country), telah dicipta untuk menghimpunkan sekolah-sekolah dan komuniti setempat untuk menjadi sebahagian daripada aktiviti dan perayaan yang telah dirancang untuk acara Kejohanan Akuatik Dunia - Singapura 2025,” kata Encik Goh.

Katanya lagi, acara Kejohanan Akuatik Dunia - Singapura 2025 adalah salah satu acara sukan yang paling banyak ditonton yang menampilkan juara dunia dan Olimpik, serta generasi bakat terbaru. Rakyat Singapura akan dapat menyaksikan atlet akuatik terbaik beraksi secara langsung, dengan harapan agar ia memberi inspirasi kepada generasi bintang sukan seterusnya.

“Menjadi tuan rumah Kejohanan Akuatik Dunia – Singapura 2025 merupakan penghormatan yang luar biasa dan mencerminkan reputasi Singapura sebagai destinasi bertaraf dunia untuk acara sukan antarabangsa. Acara ini amat bermakna kerana ia bertepatan dengan sambutan SG60 kami, menandakan 60 tahun kemerdekaan dan kemajuan pembinaan negara.

“Dengan menghimpunkan lebih 2,500 atlet elit dan penyertaan kira-kira 6,000 pesaing Masters dari seluruh dunia, kami berhasrat untuk memberi inspirasi kepada komuniti kami, meraikan sukan akuatik dan mempamerkan keupayaan Singapura dalam menyampaikan acara antarabangsa utama. Usaha ini menyerlahkan semangat Kejohanan, pada masa yang sama, akan memupuk kenangan yang berkekalan dan meningkatkan semangat di Singapura dan negara-negara jiran untuk tahun-tahun akan datang,” kata Encik Goh.

Ayuh, sertai Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura. Saksikan atlet elit beraksi dan bertanding dalam enam sukan akuatik di tempat ikonik seperti Hab Sukan Singapura dan Sentosa. Tiket sudah mula dijual.

SEKILAS

Ayuh, sertai Kejohanan Akuatik Dunia - Singapura 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg