Mungkin ramai yang tidak tahu tentang kewujudan tadika di masjid-masjid di Singapura.
Pembelajaran peringkat tadika di Masjid Darul Makmur sudah mula beroperasi seawal 1988.
Seiring dengan perkembangan semasa, Tadika Masjid Darul Makmur melakukan beberapa fasa pembaharuan daripada sudut pembelajaran dan penyampaian di bawah pengurusan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda).
Dengan peningkatan Masjid Darul Makmur yang terletak di Yishun itu, anak-anak tadika bakal meraih peningkatan juga dalam pengalaman pembelajaran mereka, menjadikan ia menarik dan bermutu.
Sementara masjid dinaik taraf, perkhidmatan tadika kini dikendalikan buat sementara waktu di Masjid Assyafaah di Admiralty Lane.
“Insya-Allah setelah peningkatan masjid selesai, anak-anak akan berada di tempat baru dengan kelengkapan yang mempunyai ciri-ciri terkini.
“Pembelajaran anak-anak akan menjadi lebih menarik dan akan mengikut peredaran masa,” jelas Pengetua Tadika Masjid Darul Makmur, Cik Shahren Ali.
Menurut Cik Shahren, yang mula berkhidmat sebagai guru tadika di masjid itu pada 2003, selain ruang yang luas dan baru, sistem teknologi maklumat (IT) bakal dipertingkatkan dan ini boleh diterapkan dalam pembelajaran anak-anak tadika.
Masjid Darul Makmur telah ditubuhkan pada 1987. Seiring pembukaan masjid, khidmat pembelajaran peringkat tadika turut ditawarkan pada tahun yang sama.
Masjid itu menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada ibu bapa yang mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan menyeluruh daripada sudut duniawi dan ukhrawi.
Program tadika yang ditawarkan khusus untuk kanak-kanak yang berusia dari empat tahun hingga enam tahun.
“Matlamat utama Tadika Masjid Darul Makmur adalah mahu menyediakan pendidikan awal kanak-kanak yang merangkumi keseluruhan pembangunan mereka.
“Ini termasuk pembangunan akademik dan juga kemahiran tertentu. Contohnya, selain daripada mata pelajaran asas seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Matematik, kemahiran sosial dan pendidikan Islam juga diajar,” kata Cik Shahren.
Tadika masjid juga berada di bawah naungan Ecda, maka kegiatan atau pembelajaran perlu mengikut garis panduan yang dilakarkan oleh agensi itu.
Selain pembelajaran akademik dan juga kemahiran hidup yang diterapkan, komponen ukhrawi merupakan nilai tambah yang ditawarkan dalam pembelajaran harian.
Kurikulum yang diterapkan di tadika masjid itu adalah berdasarkan Rangka Kerja Memupuk Pelajar pada Peringkat Awal yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE).
“Kami menerapkan kemahiran asas seperti cara bergaul dengan kawan-kawan, cara menunggu giliran dan berkongsi permainan. Ia adalah kemahiran asas yang diterapkan pada kanak-kanak.
“Selain itu, ada komponen Islamik tambahan yang kami terapkan juga, seperti pembacaan surah-surah asas dan bacaan doa bersama terjemahannya supaya anak-anak ini faham apakah maksud atau makna yang di bacanya,” terang Cik Shahren.
Surah tersebut diajar secara bertahap mengikut peringkat umur kanak-kanak itu.
Menurutnya, jika pada awalnya anak-anak tersebut mempelajari doa harian seperti doa makan, doa untuk ibu bapa dan sebagainya, di tadika tahun dua, mereka akan mempelajari doa dalam solat, doa wuduk, serta praktikal wuduk dan solat.
Bukan itu sahaja, ada dalam kalangan mereka turut menyambung pendidikan ukhrawi ke kelas, Kids aLIVE dan Teens aLIVE di masjid tersebut.
Tenaga pengajar di Tadika Masjid Darul Makmur terdiri daripada 100 peratus guru yang terlatih khususnya dalam bidang pembangunan anak-anak pada peringkat diploma serta ada juga merupakan lulusan Universiti Al-Azhar, di Mesir.
Cik Shahren sebagai pengetua pula mempunyai ijazah dalam bidang pembangunan kanak-kanak dan pengajian keluarga dari Universiti Edith Cowan, Australia.
Menurut Cik Shahren, pasukannya akan berusaha memberikan yang terbaik walaupun menghadapi pelbagai cabaran semasa menjalankan kerja peningkatan.
Tadika Darul Makmur masih berada di Masjid Assyafaah di kawasan Sembawang dan dijadualkan akan berpindah kembali ke Yishun pada pertengahan 2025.
“Besar harapan kami, agar semua anggota masyarakat Islam khususnya dari kawasan utara Singapura dapat membantu dan memberikan sumbangan bagi kerja peningkatan Masjid Darul Makmur.
“Semoga dengan sumbangan anda, anak-anak di tadika masjid akan dapat meraih manfaatnya dan mereka inilah yang akan menjadi pemimpin pada masa akan datang,” katanya dengan penuh harapan.
Masjid Darul Makmur masih memerlukan $2.4 juta bagi projek peningkatan yang gigih dijalankan.
Sumbangan derma untuk Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur boleh dilakukan melalui:
1. PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Rujukan: WakafMUP).
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-652138001 (Rujukan: WakafMUP).
3. Cek atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke alamat masjid, 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.
4. Hadir di kaunter sementara masjid yang terletak di Masjid Assyafaah, 1 Admiralty Lane, Singapura 757620 (pada waktu pejabat).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg