Masjid Darul Makmur, yang kini sedang menjalani kerja peningkatan, masih memerlukan dana tambahan $2.4 juta untuk menampung kos keseluruhan projek yang dianggarkan mencecah $15 juta.
Proses peningkatan itu adalah sebahagian daripada usaha masjid mahu meningkatkan kemudahan dan kapasiti bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Sejak projek itu dimulakan, pihak masjid giat mengumpul dana melalui pelbagai daya usaha, termasuk sumbangan masyarakat dan program amal.
Imam Eksekutif Masjid Darul Makmur, Ustaz Mohamed Ghouse Khan Surattee, turut berkongsi panduan mengenai pengurusan kewangan yang bijak
Menurutnya, wang sering dianggap sebagai alat utama untuk memenuhi keperluan hidup, namun jika digunakan dengan baik, ia boleh membawa manfaat lebih besar daripada sekadar memenuhi keperluan asas.
Penggunaan wang yang betul, tidak hanya bermanfaat dan menguntungkan individu, malah mampu memberi impak positif kepada masyarakat dan negara, bahkan ada yang sangat cemerlang sehingga bahagia dunia dan akhirat.
Mengambil kira makna daripada ayat-ayat Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad saw, Ustaz Mohamed Ghouse berkata antara manfaat pertama berkongsi kelebihan wang, ia meluaskan konsep Ibadah.
“Ayat ini mengingatkan kita bahawa sedekah dan perbelanjaan yang dilakukan dengan niat yang betul dapat membawa ganjaran berlipat kali ganda.
“Ini disebabkan niat yang betul kemudian disusuli dengan usaha yang betul dikira sebagai satu ibadah.
“Oleh itu, menggunakan wang untuk pelaburan dalam bentuk yang bermanfaat, seperti pendidikan atau amal jariah, bukan hanya menguntungkan di dunia bahkan memberi keuntungan di akhirat.”
Di samping itu tambahnya, ia membawa manfaat daripada aspek kesihatan.
Menggunakan wang untuk mendapatkan rawatan perubatan yang bermutu dan menjaga kesihatan diri adalah pelaburan yang sangat berharga.
Baginda saw bersabda: “Jika kamu sihat, maka jagalah kesihatanmu, kerana tidak ada yang lebih berharga setelah iman selain daripada kesihatan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
“Hadis ini menjelaskan betapa pentingnya menjaga tubuh badan yang sihat sebagai amanah daripada Allah.
“Wang yang digunakan untuk menjaga kesihatan tidak hanya memberi manfaat kepada diri sendiri, malah membolehkan seseorang untuk berbakti kepada keluarga, masyarakat dan agama,” jelas Ustaz Mohamed Ghouse.
Penggunaan wang secara bermanfaat juga membolehkan seseorang memperoleh pendidikan bermutu.
Pendidikan adalah kunci kepada kemajuan peribadi dan sosial.
Wang yang digunakan untuk mendapatkan pendidikan baik boleh membuka peluang pekerjaan yang lebih baik, meningkatkan taraf hidup, serta memberikan kebebasan kewangan.
Dalam hadis Nabi Muhammad saw, baginda bersabda: “Sebaik-baik pemberian seorang bapa kepada anaknya adalah pendidikan yang baik.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)
Hadis ini menekankan betapa pentingnya pendidikan dalam kehidupan seseorang.
Wang yang dilaburkan untuk pendidikan tidak hanya memberi manfaat kepada individu, bahkan kepada masyarakat secara keseluruhan.
Manfaat terakhir pula, wang mampu memberi kesejahteraan sosial.
Menurut Ustaz Mohamed Ghouse, dengan mendermakan sebahagian daripada wang kepada badan amal atau membantu golongan kurang bernasib baik, seseorang dapat memberi kesan positif kepada masyarakat.
“Allah swt berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 273 yang menggalakkan kita menggunakan kekayaan yang dimiliki untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Dalam hal ini, sedekah dan derma merupakan cara yang amat mulia untuk mengagihkan wang bagi manfaat bersama.
“Bahkan, sedekah yang dilakukan dengan ikhlas akan memberi manfaat berpanjangan, termasuk kepada diri sendiri, kerana ia membersihkan harta dan menghapus dosa,” tambahnya.
Kesimpulannya, wang bukan sahaja alat untuk membeli barangan atau perkhidmatan, bahkan merupakan medium untuk mencapai tujuan hidup yang lebih bermakna.
Dengan menggunakan wang di jalan yang baik, kita tidak hanya memperoleh keuntungan peribadi, malah memberi impak positif kepada keluarga, masyarakat, dan negara.
Pengurusan wang yang bijak adalah kunci untuk mencapai kesejahteraan jangka panjang dan membina kehidupan lebih seimbang.
Seperti yang diajarkan dalam Islam, harta yang digunakan untuk tujuan yang baik adalah lebih diberkati dan memberi manfaat yang berterusan.
“Semoga ramai dalam kalangan kita tampil membantu usaha ini agar pahala wakaf berjalan terus setiap masa ke dalam catatan amal kita masing-masing walaupun selepas kematian kita...,” tambah Ustaz Mohamed Ghouse.
Sumbangan derma untuk Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur juga boleh dilakukan melalui:
1. PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Rujukan: Wakaf).
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-652138001 (Rujukan: Wakaf).
3. Cek atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke alamat 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.
4. Hadir di kaunter sementara masjid yang terletak di Masjid Assyafaah, 1 Admiralty Lane, Singapura 757620 (pada waktu pejabat).
5. Untuk pertanyaan atau pengambilan derma $500 ke atas dari rumah, sila hubungi pejabat masjid di talian 6752-1402.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg