Topik diikuti
Pergi ke BHkuMembesar dalam kitaran jenayah, pesalah kini tekad ubah jalan hidup
Program Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA) turut pupuk aspek dedikasi, komitmen dan kesungguhan dalam usaha bantu pesalah keluar daripada kitaran jenayah
Membesar dalam kitaran jenayah, pesalah kini tekad ubah jalan hidup
Sejak kecil, kehidupan Zai (bukan nama sebenar), 25 tahun, sering terjerumus dalam pengaruh tidak sihat hingga kerap kali terjerat dalam kancah jenayah.
Malah, ia telah menjadi satu kitaran lumrah buat Zai kerana sewaktu membesar, dia pernah menyaksikan sendiri ibunya dimasukkan ke penjara.
Bukan itu sahaja, sewaktu remaja, dia juga pernah menjadi penghuni di Rumah Budak Lelaki Singapura atau Singapore Boys’ Home ekoran perilaku yang tidak terkawal.
Pada 2024 pula, dia menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun atas kesalahan penyalahgunaan dadah dan merompak.
Bagi Zai, untuk memecahkan kitaran itu dan keluar daripadanya merupakan antara rintangan terbesar kerana kehidupan yang berputar pada keganasan dan jenayah sudah hampir sebati dalam dirinya.
“Saya membesar dalam ‘sistem’ ini. Saya sedar dan cukup tahu betapa sukarnya untuk memerangi tabiat buruk dan keluar daripada kitaran ini.
“Apabila saya membuat penilaian ke atas diri sendiri, saya sedar bahawa saya perlu mempunyai kesungguhan yang kuat serta persekitaran yang baik agar tidak jatuh ke dalam lembah keburukan ini lagi,” katanya.
Menyedari adanya ‘resipi’ jalan keluar agar tidak terus terjerat dengan gejala tidak sihat, Zai sentiasa memilih persekitaran positif yang dapat membantunya kembali ke pangkal jalan.
Mujur bagi Zai, dia dipilih menjalani program Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA) hingga meraih anugerah emas semasa menjalani hukuman di penjara.
Seramai 96 banduan berjaya menjalani program itu dan diraikan dalam satu majlis di Institusi TM1 pada 25 November, yang dihadiri Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong.
Melihat program NYAA sebagai satu wadah untuk ‘memulihkan’ dirinya, Zai yang antara pesalah yang terlibat dalam program itu, tidak mensia-siakan peluang untuk benar-benar mencedok manfaat daripada program tersebut.
NYAA merupakan sebahagian daripada usaha pemulihan bagi menyuntik semangat dan menggalakkan banduan agar terus komited terhadap usaha perubahan diri sepanjang tempoh hukuman mereka.
Sejak diperkenalkan pada 2000 oleh Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), program NYAA telah diperluas kepada lebih ramai pesalah dengan lebih 2,400 penghuni telah meraih manfaat daripada program tersebut sepanjang tempoh pelaksanaannya di penjara.
Dengan kerjasama Art & Grow Collective SG, ada banduan yang turut terlibat dapat mempelajari kaedah menuai sayur-sayuran, menanam benih baharu serta menyelenggara sistem hidroponik bagi memastikan tanaman tumbuh dengan subur.
Sayur-sayuran yang dituai kemudian dibungkus oleh banduan untuk dihantar kepada organisasi seperti Rumah Budak Perempuan Singapura (Singapore Girls’ Home) dan Apex Harmony Lodge.
Berkongsi tentang pengalamannya menjalankan aktiviti itu, Zai berkata dengan kegiatan sedemikian, ia telah mencelikkan matanya bahawa keseronokan yang sebenar itu dapat jua diraih dengan pelbagai cara selain penyalahgunaan dadah.
“Saya baru sedar rupa-rupanya aktiviti seperti ini dapat juga memberikan kepuasan dan keseronokan.
“Hal ini penting untuk saya... menyedarkan saya bahawa dadah itu bukanlah satu-satunya cara untuk merasakan keseronokan atau keasyikan itu,” katanya.
Pada masa yang sama, kegiatan hidroponik dalam program NYAA itu telah membuka hati Zai untuk lebih menghargai bahawa dalam apa jua perkara yang dia lakukan, ia perlu diiringi dengan dedikasi dan komitmen.
“Sepanjang kehidupan saya, saya tak pernah melakukan sesuatu untuk menyumbang semula kepada masyarakat... ia tidak pernah terlintas langsung.
“Justeru, dengan program ini, ia telah memberi saya satu komitmen baik untuk tetap memberi balik kepada masyarakat walaupun dalam keadaan saya berada dalam tahanan.
“Inilah suasana yang saya perlukan untuk memastikan saya dapat pulih dan menjadi insan yang lebih baik,” tambah Zai.