Topic followed successfully
Go to BHkuRemaja terima 3 anugerah tatkala di Rumah Budak Lelaki S’pura
Remaja terima 3 anugerah tatkala di Rumah Budak Lelaki S’pura
Penerima Anugerah Gangsa Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA), Anugerah Pelukis Muda dan Anugerah Pelajar Cemerlang, orak langkah baiki diri
Remaja terima 3 anugerah tatkala di Rumah Budak Lelaki S’pura
Bagi Asyraf (bukan nama sebenar), kemarahan sering membuatnya terjebak dalam pergaduhan, sama ada kerana pengaruh rakan atau emosi yang sukar dikawal.
“Apabila saya marah, saya biasanya akan cari orang untuk bergaduh. Saya tidak tahu bagaimana untuk menyalurkan kemarahan saya dengan betul.
“Ia mungkin cara saya menguruskan sesuatu perkara dengan masalah kecil pun boleh menjadi besar bagi saya… saya akan bertindak secara melampau dan bergaduh,” ujarnya ketika dihubungi Berita Harian (BH) secara dalam talian.
Ekoran tingkah lakunya, Asyraf masuk ke Rumah Budak Lelaki Singapura (SBH) untuk menjalani Arahan Pusat Pemulihan Kanak-Kanak, atas kesalahan berkaitan pergaduhan.
Tatkala menyesuaikan diri dalam persekitaran berbeza, dia sering memikirkan tarikh pembebasannya dan keluarganya di rumah.
Hasil bimbingan keluarga serta pekerja kesnya, Cik Marziya Mohamed Shah, secara beransur-ansur, Asyraf belajar mengawal emosi dan mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai program.
“Pada mulanya, Asyraf menghadapi kesukaran mengawal emosi, memiliki identiti diri, dan menjalin hubungan dengan keluarga, terutamanya disebabkan rasa tidak percaya yang berpunca daripada kesalahan lampaunya.
“Dia disyorkan mengikuti program seperti program motivasi, Program Pencegahan Keganasan (VPP)… program sebegini membantunya membangunkan strategi untuk mengawal emosi dan menangani corak pemikiran negatifnya,” ujar Cik Marziya.
Dengan hasrat mengubah tingkah lakunya, remaja berusia 17 tahun itu menyertai khidmat kemasyarakatan di Pusat Penuaan Aktif menerusi program Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA).
Di samping itu, dia menyertai kumpulan minat melukis.
Melalui kegiatan itu, ia menjadi saluran peribadi bagi Asyraf meluahkan perasaan dan menjauhkan dirinya daripada terjerumus dalam kegiatan yang tidak membawa manfaat.
Antara karya paling bermakna baginya adalah lukisan bot yang dihasilkan sebagai hadiah hari lahir buat ibu.
“Saya buat lukisan itu untuk hari jadi ibu saya kerana saya tidak dapat membeli hadiah kerana berada dalam SBH.
“Saya rasa gembira apabila ibu saya gantung lukisan itu di dinding rumah kami. Ia membuat saya rasa dihargai,” ujar anak bongsu empat beradik itu.
Usahanya diiktiraf apabila dia menerima tiga anugerah – Anugerah Gangsa NYAA, Anugerah Pelukis Muda dan Anugerah Pelajar Cemerlang – semasa Majlis Anugerah dan Penghargaan SBH 2026, yang diadakan di Rumah Budak Lelaki Singapura, di Bulim Drive, pada 9 April.
Majlis itu dianjurkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) sejak 2013, dengan penganugerahan NYAA diperkenalkan dalam majlis tersebut pada 2024.
Asyraf merupakan antara 51 remaja dari SBH dan Rumah Budak Perempuan Singapura (SGH) yang menerima Anugerah Gangsa NYAA, manakala dua remaja pula meraih Anugerah Perak NYAA.
Anugerah Gangsa NYAA mengiktiraf perilaku baik remaja yang telah mengikuti program itu selama enam bulan, yang menumpukan kepada khidmat masyarakat.
Menyentuh tentang pencapaian Asyraf, Cik Marziya menerangkan kepentingan peranan keluarga dalam memberi sokongan.
Misalnya, ibu Asyraf sentiasa memantau pergerakannya dan bekerjasama rapat dengan pihak pekerja kes sekiranya timbul sebarang kebimbangan.
“Dahulu, dia tidak meluahkan emosinya dengan terbuka, tetapi melalui melukis, dia menemui cara untuk berhubung dengan ibunya.
“Melukis menjadi sesuatu yang mendekatkannya dengan keluarga,” kongsi Cik Marziya.
Dalam pada itu, Asyraf bertekad untuk tidak lagi membebankan keluarganya dan ingin terus maju serta tidak kembali ke masa lalunya.
Bahkan, sebelum ini, dia berharap dapat menamatkan pelajarannya ketika bapanya masih ada.
Namun selepas pemergian bapanya pada 2025, Asyraf kini lebih bertekad untuk melakukannya demi keluarganya, khususnya demi ibunya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga kerana sentiasa menyokong saya dan tidak pernah berputus asa.
“Walaupun kadang-kadang saya beri harapan palsu bahawa saya mahu berubah, pada akhirnya saya masih buat kesilapan yang sama.
“Saya harap mereka tidak akan pernah putus asa atau hilang kepercayaan pada saya. Saya sayang mereka,” kongsinya lagi dengan nada penuh pengharapan.
Sebagai sebahagian usaha SBH mengembalikannya ke pangkuan masyarakat, Asyraf sudah kembali bersekolah selepas cuti sekolah Mac lalu bagi menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘N’ pada hujung 2026.
Ia di samping menamatkan tempoh 18 bulan di SBH pada Mei.

