Dengan kecanggihan teknologi yang memudahkan kita berkomunikasi secara dalam talian, seperti melalui panggilan video di mana sahaja kita berada, ia juga dapat mengundang masalah jika disalah guna.
Sebagai contoh, nikah ‘sirri’ atau nikah secara rahsia yang lazimnya berlaku secara fizikal, kini boleh berlangsung ‘online’ hanya dengan menggunakan telefon pintar dan sambungan Internet antara ‘tok kadi’ dengan pasangan yang berminat.
Amalan nikah ‘sirri’ ini bukan sesuatu yang baru. Terdapat laporan mengenai warga lelaki Singapura yang berkahwin dengan pasangan dari Batam sejak 1990-an lagi.
Untuk meninjau betapa mudahnya pasangan boleh bernikah secara dalam talian, wartawan Berita Harian/Minggu (BH/BM) menjejak dua ‘tok kadi’ secara berasingan yang berasal dari Batam.
Semasa tinjauan wartawan BH/BM ke Batam pada Mei, mereka telah bertemu dengan ‘tok kadi’ yang hanya ingin dikenali sebagai ‘Ustaz’ Kholil, di rumah beliau di kawasan Nongsa, Batam, hampir sejam dari tempat-tempat riadah yang biasa dikunjungi oleh warga Singapura.
Janji temu antara wartawan BH/BM dengan ‘Ustaz’ Kholil hanya mengambil masa sejam sebelum beliau bersetuju untuk ‘menikahkan’ wartawan yang dikenakan dengan bayaran ‘ikhlas’.
Menurut ‘Ustaz’ Kholil: “Tanggungjawab saya sebagai seorang ‘tok kadi’ ialah untuk memudahkan pasangan bernikah secara sah dari segi hukum syariat, apabila syarat dan rukun wali dan dua saksi telah ditepati.’’
Beliau turut berkongsi pengalaman menikahkan pasangan di Singapura dan memberi contoh rumah-rumah di kawasan seperti Woodlands dan Tampines, sebagai tempat nikah ‘sirri’ berlaku.
Namun, penularan wabak Covid-19 yang melanda sepanjang 2020 hingga 2022 telah mengubah landskap pernikahan bagi ‘Ustaz’ Kholil kerana beliau boleh menjalankan tanggungjawabnya tanpa perlu berjalan jauh.
Perkongsian ini telah membuka mata wartawan BH/BM kerana siapa sangka bahawa kemudahan sebegini dapat disalah guna untuk bernikah secara rahsia.
Di rumah ‘Ustaz’ Kholil, beliau menunjukkan ‘sijil nikah’ yang lengkap dengan nama-nama suami dan isteri, alamat, tarikh lahir, nama ayah kandung isteri sebagai wali dan mas kahwin, serta tandatangan para saksi, yang telah beliau cetak dan laminat, sebagai bukti kesahihan nikah antara lelaki warga Singapura dengan wanita warga Indonesia.
Di samping itu, wartawan BH/BM juga berpeluang menjalani prosedur ‘menikah’, dilaksanakan oleh ‘Ustaz’ Kholil dengan ucapan ijab dan kabul yang ringkas.
Untuk lebih memahami proses bernikah dalam talian, dua wartawan BH/BM telah mendapatkan khidmat ‘ustaz’ Batam berlainan yang sanggup menikahkan mereka hanya dengan bayaran 2.2 juta rupiah atau sekitar $200.
‘Majlis’ yang berlangsung di pejabat BH/BM pada 24 Jun itu mengambil masa sekitar 15 minit sahaja.
Dengan maklumat palsu yang diberi, seperti nama penuh, tarikh lahir dan alamat, serta mas kahwin yang berupa seutas rantai emas, dua saksi dan wali yang juga merupakan kakitangan BH/BM, pernikahan itu berlangsung melalui panggilan Zoom tanpa sebarang gangguan.
Ustaz tersebut tidak meminta sebarang lampiran kad pengenalan atau pasport dan beliau juga tidak mengesahkan maklumat yang diberikan.
Ini sekali lagi menunjukkan bahawa pernikahan tanpa izin yang tidak didaftar adalah mudah dan berpatutan bagi mereka yang memerlukan khidmat sedemikian atas sebab-sebab tertentu.
Pengalaman itu amat mengerikan kerana walaupun ia palsu dan hanya rekaan semata, khutbah nikah, lafaz ijab dan taklik serta upacara pembatalan air sembahyang dilakukan dengan benar-benar oleh ‘tok kadi’ dalam talian itu.
Terketar-ketar suara wartawan yang menyamar sebagai pasangan wanita apabila diminta mengulangi kata-kata ‘tok kadi’, meskipun beliau dipandu dan telah berlatih sebelumnya.
Perasaan saling tidak percaya dan pergelutan emosi yang dirasai wartawan jelas terpancar apabila beliau terpaksa bersalaman dengan ‘wali’ dan pasangan ‘suami’ setelah saksi-saksi menyebutkan perkataan ‘sah’ untuk menandakan majlis itu selesai.
‘Tok kadi’ itu juga menghantar ‘sijil nikah’ dalam format PDF menerusi khidmat pesanan WhatsApp setelah beliau menerima bayaran pemindahan perbankan dalam talian beberapa minit kemudian.
Khidmat yang mudah, ringkas, cepat dan tidak kecoh itu mungkin menjadi pilihan kepada orang tertentu kerana ia boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, tidak kira di mana mereka berada, tanpa izin dan pengetahuan, namun ia memudaratkan.
Amalan tersebut tidak diiktiraf oleh negara, berkemungkinan melanggar undang-undang jika tidak cukup syarat dan boleh mendatangkan masalah dalam jangka panjang oleh kerana implikasi sosial dan ikatan kekeluargaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg