Mama dan Baba – dua perkataan yang masih dinantikan oleh sepasang suami isteri, dengan harapan anak mereka dapat mengungkapkannya semula satu hari nanti.
Namun, tinggi harapan, tinggi lagi cabaran untuk mencapainya.
Bagi pasangan suami isteri, Encik Mohammad Razib Samsudin, 56 tahun, dan Cik Anisah Salim, 55 tahun, yang mempunyai tiga anak, ia satu kerinduan yang telah lama terpendam sejak 2019.
Anak kedua mereka, Cik Nuruljannah Mohammad Razib, 28 tahun, terlibat dalam satu kemalangan motosikal pada 11 Februari 2019.
Akibatnya, beliau mengalami kecederaan otak traumatik serta keretakan tengkorak, selain kecederaan pada tulang belakang, tangan dan wajah.
Demi memberi perhatian sepenuhnya kepada puteri mereka, pasangan itu mengambil keputusan untuk berhenti bekerja secara tetap.
Dengan penuh kecekalan, Encik Razib berkata:
“Dalam situasi Jannah, beliau memerlukan penjagaan yang rapi... oleh itu, sebagai ibu bapa, kami mahu pastikan beliau dapat mutu hidup yang terbaik.”
Sebelum ini, Encik Razib bekerja sepenuh masa di studio tukang kraf tangan kulitnya sendiri – BELeatherLab di Gemini@Sims – manakala Cik Anisah pula merupakan seorang guru sekolah rendah.
Selain daripada Cik Nuruljannah, mereka mempunyai dua lagi anak iaitu Encik Muhammad Azeem Mohammad Razib, 30 tahun, dan Cik Nur Laila Mohammad Razib, 24 tahun.
Cik Nuruljannah adalah lulusan diploma dari Politeknik Ngee Ann dalam bidang kejururawatan.
Ketika nahas itu berlaku, Cik Nuruljannah sedang menjalani latihan paramedik di SCDF dan hanya berbaki enam bulan sahaja lagi sebelum mengakhiri latihan tersebut.
Beliau sedang membonceng motosikal teman SCDF-nya apabila motosikal itu bertembung dengan sebuah lagi motosikal di Bartley Road East.
Ia menyebabkan beliau perlu dirawat selama 316 hari di Hospital Besar Changi.
Pada 5 Ogos 2022, jumlah pampasan yang ditentukan bagi Cik Nuruljannah dalam tuntutan kecuaian oleh ibu bapanya terhadap dua penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu ialah $3.8 juta.
Ia merupakan jumlah pampasan tertinggi bagi kemalangan motosikal di Singapura.
Sepanjang wawancara bersama Berita Harian (BH) di flat lima bilik keluarga itu di Pasir Ris, pasangan itu kelihatan teguh, namun tersimpan kisah kebangkitan mereka daripada ujian.
Dahulu, Encik Razib sering meluangkan masa bersama Cik Nuruljannah melalui kegiatan sukan seperti pelayaran, triatlon, memanjat tembok serta gemar menziarahi pejabat ayahnya selepas selesai bertugas di Balai Bomba Paya Lebar.
Menurut Cik Anisah, susulan tragedi itu, separuh dunia Encik Razib seakan musnah dan ia menyebabkan suaminya mengalami kemurungan.
“Beliau (Encik Razib) dan Jannah rapat. Oleh itu, saya berkata pada diri saya untuk tidak berputus asa,” ujarnya yang kini merupakan guru sambilan di sebuah sekolah rendah berhampiran rumahnya.
Cik Anisah diberikan jadual kerja yang lebih fleksibel, iaitu dari 7.15 pagi hingga 1.30 petang setiap hari, tanpa tugasan di luar kurikulum.
Beliau mengajar murid Darjah 1 hingga Darjah 4, antaranya subjek seni dan bahasa Inggeris.
“Ada yang tanya bagaimana saya boleh mengajar sambil memikirkan Jannah.
“Tetapi, apabila saya lihat pelajar-pelajar ingin menuntut ilmu, saya dapat berehat (sebentar) daripada memikirkan mengenai Jannah. Itu cara saya bangkit,” tambahnya.
Encik Razib pula mengambil langkah mengecilkan skala syarikatnya dan bekerja secara sambilan.
“Saya tidak boleh menerima kebanyakan projek kerana jika sesuatu berlaku pada Jannah, saya perlu tinggalkan semuanya serta-merta.
“Sudah tentu, ia menjejas kewangan keluarga saya,” katanya yang kini pendapatannya berkurangan 60 peratus berbanding sebelumnya.
Bagaimanapun, beliau mengubah konsep perniagaannya ke arah tujuan sosial dengan bekerjasama dengan Rumah Tumpangan Pertapis pada Oktober 2024 untuk meningkatkan kemahiran penghuni di sana pada kraf tangan kulit.
“Kosnya dikekalkan pada tahap minimum kerana ini adalah sebahagian daripada usaha saya untuk memberi kembali kepada masyarakat,” tambah Encik Razib, yang juga diberi sebuah studio di sana dan tetap mengambil tempahan membuat kraf tangan kulit.
Walau mempunyai dua pembantu untuk Cik Nuruljannah – seorang penjaga dan seorang pembantu rumah – tugasan menjaga turut digalas pasangan itu.
Cik Anisah berkongsi bahawa jadual mereka bermula seawal 5.30 pagi dengan memeriksa tanda penting Cik Nuruljannah, sebelum beliau dimandikan, diberikan ubat sawan dan mata, serta makan.
Dari 3 hingga 5 petang, beliau menjalankan terapi dan rehabilitasi bersama anaknya, termasuk berdiri dengan alat bantuan, memutarkan pedal dan berenang.
Sementara Cik Nuruljannah diuruskan ibunya, Encik Razib akan berinteraksi dengannya.
Pasangan suami isteri itu turut berhempas-pulas mendapatkan rawatan neuroterapi yang terbaik dan berpatutan untuk Cik Nuruljannah.
Menurut mereka, rawatan neuroterapi di Singapura berharga sekitar dua kali ganda lebih mahal berbanding di Institute of Functional Neuroscience (IFN) di Australia.
“Kami pergi hingga ke Australia dan juga bertanya kepada pakar di China dan Jepun (untuk mendapatkan rawatan).
“Singapura mempunyai kemudahan perubatan yang cemerlang, namun lebih tertumpu pada angin ahmar dan barah, di mana asasnya lebih luas,” katanya.
Sebelum ini, Cik Nuruljannah menerima rawatan neuroterapi di IFN di Perth, Australia pada 2023 dan 2024 selama dua bulan setiap tahun.
Namun sejak 2025, rawatan dijalani secara dalam talian di Singapura dan dipantau doktor dari IFN Australia.
Segala usaha yang dicurahkan berkisar sekitar Jannah, dengan harapan anak mereka itu dapat beransur pulih.
“Kami mesti reda serta berusaha… dengan pergi doktor, jalani rehab (proses pemulihan). Kami tidak boleh berkata, ‘Kenapa kami’?
“Kami perlu teruskan kehidupan dan reda, insya-Allah dengan usaha ini, satu hari nanti Jannah boleh panggil Mama, Baba,” ujar Cik Anisah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg