Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Berkerusi roda tapi tetap jaga ibu, luang masa jadi relawan

Mar 31, 2025 | 5:30 AM
Encik Mohamed Zahid Mohd Yassin dilahirkan dengan kakinya lumpuh dan perlu dibantu oleh ibunya, Cik Zarimah Mohamed Harun, untuk ke mana-mana. Pengalaman ini mendorong beliau menggalas tanggungjawab menjaga ibunya sebagai cara membalas budi si ibu.
Encik Mohamed Zahid Mohd Yassin dilahirkan dengan kakinya lumpuh dan perlu dibantu oleh ibunya, Cik Zarimah Mohamed Harun, untuk ke mana-mana. Pengalaman ini mendorong beliau menggalas tanggungjawab menjaga ibunya sebagai cara membalas budi si ibu. - Foto BH oleh KHALID BABA

Dengan perlahan, beliau mengheret kedua-dua kakinya dari sofa ke lantai, sebelum mengisut dan merangkak ke arah kerusi roda yang terletak dekat pintu depan rumahnya. 

Kemudian, dengan penuh hati-hati, beliau mengheret punggung untuk duduk di kerusi roda itu, sambil menarik beg stoma, iaitu sejenis kantung kecil kalis air untuk mengumpul sisa tubuhnya yang dilekatkan pada bahagian bawah badannya. 

Selepas beberapa minit melakukan segala itu barulah beliau sedia untuk keluar dari rumah.

Begitulah keadaan Encik Mohamed Zahid Mohd Yassin, 40 tahun, yang dilahirkan dengan penyakit spina bifida, keadaan yang menyebabkan kakinya lumpuh.

Encik Zahir tinggal bersama ibunya, Cik Zarimah Mohamed Harun, 66 tahun, di flat tiga bilik di Punggol yang dimilikinya sejak tahun 2020.

Walaupun beliau mempunyai empat adik beradik yang turut menghulurkan bantuan, Encik Zahid tetap memutuskan untuk menjaga orang tuanya itu.

“Sejak kecil lagi, saya telah menyaksikan betapa susah kehidupan mereka, terutamanya saya seorang kurang upaya,” kata Encik Zahid kepada Berita Harian (BH) baru-baru ini.

“Semasa saya dibawa ke hospital, bapa saya selalu ada di sisi saya. Ibu saya pula akan mendukung saya ke sekolah,” kata Encik Zahid, yang berkata beliau tidak akan dapat membalas jasa ibu bapanya sepanjang hayatnya.

Semenjak bapanya meninggal dunia dua tahun lalu, Encik Zahid telah memberi sepenuh dedikasi kepada ibunya. 

Dengan senyuman terukir di bibirnya, Encik Zahid menceritakan bagaimana ibunya pernah berhenti kerja semata-mata untuk menjaga beliau, dan inilah cara beliau membalas budi ibunya. 

Malah, pada 2024, beliau membawa ibunya melancong ke Perth, Australia, hasil wang simpanannya.

Perjalanan kerjaya Encik Zahid juga menarik perhatian.

Encik Zahid pernah berkecimpung 11 tahun dalam bidang perkhidmatan pelanggan tetapi keadaan kesihatan beliau yang merosot bermakna beliau terpaksa berhenti kerja pada 2016.

Namun, beliau tidak berdiam diri, sebaliknya memulakan perniagaan perkhidmatan kiriman cepat, Ayeed The Courier, sejurus selepas berhenti kerja.

Malah, beliau kini sedang dalam perancangan untuk memperluas perniagaannya, dengan harapan dapat membuka peluang bagi pengguna kerusi roda lain bekerja bersamanya.

“Saya tidak boleh duduk di rumah tanpa buat apa-apa. Suatu hari itu, saya ternampak seorang pekerja foodpanda sedang menghantar makanan menggunakan basikal.

“Saya terfikir, saya juga boleh buat yang sama kerana pakej makanan bukannya besar. Dari situ tercetuslah idea untuk saya mulakan perniagaan kiriman cepat ini,” jelas Encik Zahid.

Encik Zahid bermula mengambil pesanan melalui wadah Facebook. Kini beliau mempunyai lebih dari 7,000 pengikut atau followers di Facebook dan menjalankan sebanyak tiga penghantaran setiap hari. 

Pendapatannya tidak menentu, akur Encik Zahid, sambil menambah bahawa sejauh ini beliau masih mampu menggunakan pendapatan yang diraih untuk menampung kehidupan beliau dan ibunya.

Dengan keadaannya dan pendapatannya yang rendah, Encik Zahid merupakan seorang benefisiari Tabung Amal Aidilfitri (TAA) dan layak menerima bantuan. Namun beliau juga turut menjadi relawan aktif TAA dan telah berkhidmat sebagai relawan selama sedekad.

Encik Zahid kini telah menjadi sukarelawan bersama TAA selama 10 tahun, pada setiap acara CelebFest.
Encik Zahid kini telah menjadi sukarelawan bersama TAA selama 10 tahun, pada setiap acara CelebFest. - Foto TABUNG AMAL AIDILFITRI

Encik Zahid berkata beliau enggan menadah tangan untuk meminta bantuan sahaja dan ingin turut memberi sumbangan kepada masyarakat kerana percaya akan peri pentingnya amalan tersebut.

“Pada satu acara TAA, saya telah memberitahu pihak mereka bahawa saya ingin menjadi seorang sukarelawan,” kata Encik Zahid. 

Sejak itulah bermulanya perjalanan Encik Zahid sebagai seorang sukarelawan TAA, antaranya pada acara dagangan CelebFest yang biasanya diadakan pada Ramadan.

Sebagai seorang sukarelawan, Encik Zahid ditugaskan untuk menggalakkan pelanggan CelebFest untuk menderma kepada TAA. 

Menurut Encik Zahid, beliau ghairah menanti setiap Ramadan kerana ia membuka peluang kepadanya berbakti kepada masyarakat.

Namun, beliau juga akur kadangkala berasa segan semasa muncul di khalayak ramai seperti di CelebFest.

Ada kalanya pelanggan yang menderma kepada TAA juga akan menghulurkannya wang.

“Saya rasa serba salah kerana saya menjadi sukarela dengan ikhlas dan dengan niat untuk menolong orang lain yang susah,” jelas Encik Zahid. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg