Setelah belajar mengenai aplikasi web di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat, minat Encik Muhammad Huzaifah Hashim mahu mendalami bidang itu berkembang.
Ini lebih-lebih lagi setelah beliau diberi peluang menjalani program bimbingan dan latihan, Laluan dalam Teknologi (P-Tech) di syarikat teknologi IBM semasa belajar di ITE.
Berkat usahanya, pemuda berusia 22 tahun itu dapat pula melanjutkan pelajaran dengan mengikuti kursus diploma dalam jurusan teknologi kewangan (fintech) di Politeknik Republic.
Program P-Tech selama enam tahun daripada peringkat ITE kepada diploma di politeknik itu banyak membantunya meningkatkan kemahiran kerana ia menawarkan bimbingan, latihan dan pembelajaran di tempat kerja.
Ia merupakan satu program tanggungjawab sosial perusahaan yang menawarkan pelajar dengan kemahiran akademik, teknikal dan pekerjaan yang diperlukan majikan.
Semasa menjalani P-Tech di IBM pada 2020, beliau didedahkan kepada bidang keselamatan siber, data analitik dan bahasa pemprograman.
“Semasa menjalani latihan di IBM, saya mula berminat dalam bidang fintech dan lebih sedar tentang kursus berpotensi yang saya dapat pelajari di politeknik,” ujar Encik Muhammad Huzaifah, lulusan sijil Nitec dalam aplikasi web daripada ITE Kolej Barat dari 2019 hingga 2021.
Beliau berjaya melanjutkan pengajian diploma secara langsung pada tahun kedua Politeknik Republic dalam jurusan teknologi kewangan (fintech) dengan peluang mempelajari reka bentuk aplikasi UI/UX.
Reka bentuk aplikasi UI/UX merujuk kepada tampilan visual sebuah produk yang menghubungkan sistem dengan pengguna dan konsep yang ditumpukan kepada cara pengguna berinteraksi dengan produk atau layanan yang mereka gunakan. Kini, Encik Muhammad Huzaifah yang sudah meraih kelulusan diploma daripada Politeknik Republic sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS) bersama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Sepanjang pengajian Encik Muhammad Huzaifah di ITE dan politeknik, beliau telah meraih pelbagai pencapaian termasuk Biasiswa Merit Edusave 2019 dan Sijil Pencapaian Akademik Edusave 2019 dan 2020 di ITE serta Sijil Pencapaian Baik Edusave 2023 dan Biasiswa Merit Edusave 2023 di politeknik.
Beliau juga telah berpeluang menjadi ketua kumpulan projek tahun terakhir di politeknik, di mana beliau mereka bentuk aplikasi pengurusan inventori rumah hijau dan berpeluang menjalani latihan amali di CapitaLand Limited dan kemudian bertugas sebagai eksekutif sambilan selama tiga bulan selepas tamat tempoh latihan amali.
Beliau melahirkan penghargaannya kepada Yayasan Mendaki atas keupayaannya meraih kecemerlangan dalam pengajiannya semasa menuntut di ITE dan politeknik.
Ini kerana beliau telah menerima bantuan kewangan Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) semasa belajar di ITE dan dermasiswa Dana Amanah Pendidikan (ETF) - SM Jaleel Foundation Ltd pada 2022 semasa di politeknik.
“Dengan bantuan kewangan yang saya terima daripada Yayasan Mendaki dan ETF, saya dan keluarga saya tidak perlu risau tentang pembayaran yuran sekolah di ITE dan politeknik.
“Ini membolehkan saya memberi tumpuan penuh kepada pengajian saya dan mencapai keputusan yang konsisten. Saya juga lebih fokus, tenang, bermotivasi dan gembira untuk menimba ilmu di ITE dan politeknik,” kata Encik Muhammad Huzaifah.
Beliau merupakan anak sulung dua beradik dengan adik perempuannya masih belajar di sekolah menengah. Bapanya, Encik Hashim Mohamed, 55 tahun, merupakan pencari nafkah utama, manakala ibunya, Cik Yusni Sidi, 52 tahun, seorang suri rumah.
“Oleh sebab bapa saya merupakan satu-satunya anggota keluarga yang bekerja, bantuan kewangan daripada Yayasan Mendaki telah membantu mengurangkan tekanan bapa saya dalam mencari rezeki. Maka, saya sentiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam perjalanan pengajian saya,” katanya.
Memandang ke depan, beliau merancang mahu bekerja sepenuh masa dan melanjutkan pengajiannya di universiti selepas tamat Perkhidmatan Negara.
Skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) bertujuan membiayai yuran pengajian pelajar Melayu di institut pengajian tinggi setempat. TTFS adalah perlembagaan pemerintah untuk melindungi dan memupuk kepentingan pendidikan masyarakat Melayu Singapura.
Pelajar daripada keluarga berpendapatan kurang daripada $2,000 per kapita (PCI), layak menerima bantuan TTFS.
Untuk maklumat lanjut mengenai TTFS atau skim bantuan lain yang ditawarkan Yayasan Mendaki, lungsuri https://www.mendaki.org.sg/
Menggalak pelajar Melayu/Islam agar terus cemerlang dalam pelajaran dan menyokong mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti tempatan.
Penerima dermasiswa akan menerima sokongan wang tunai, sebanyak $4,000 untuk mahasiswa universiti; $2,000 untuk pelajar politeknik; dan $1,000 untuk pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dalam tempoh satu tahun akademik.
Untuk menderma kepada ETF, layari https://my.mendaki.org.sg/Donation/Donate
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg