Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penerima Anugerah Pelajar Terbaik lebih yakin selepas sertai kelas tuisyen Mendaki

Aug 24, 2024 | 6:53 PM
Fariz Ayril Farok, yang menaruh impian menjadi seorang penulis cereka pada masa depan, berkata kelas tuisyen Mendaki membantunya memperbaiki penulisan dan mengarang cerita.
Fariz Ayril Farok, yang menaruh impian menjadi seorang penulis cereka pada masa depan, berkata kelas tuisyen Mendaki membantunya memperbaiki penulisan dan mengarang cerita. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Semasa di sekolah rendah, Fariz Ayril Farok kadangkala menyerahkan kerja sekolah kepada gurunya tanpa menjawab semua soalan yang ada kerana mendapatinya terlalu sukar.

Ini dilakukannya untuk semua subjek, terutama Sains, yang dianggapnya begitu sukar untuk dipelajari.

Keadaan ini mencetus kebimbangan ibunya, Cik Farahzian Razak, yang memutuskan untuk mendaftarkan Fariz, ke Skim Tuisyen Mendaki (MTS) semasa dia berada di Darjah Lima.

“Saya jadi bimbang apabila diberitahu guru tentang perkara itu. Justeru, dengan bantuan guru-gurunya, saya pun mula bertindak,” ujar Cik Farahzian, 45 tahun, seorang ejen hartanah.

Justeru, Fariz mula menghadiri kelas Matematik, Sains dan bahasa Inggeris MTS pada setiap Sabtu.

Kelas Matematik dan Sains dihadirinya secara fizikal dari 9 pagi hingga 12 tengah hari, diikuti kelas bahasa Inggeris secara dalam talian dari 2 hingga 3.30 petang.

Berkongsi pengalamannya mengikuti kelas MTS, Fariz, yang ketika itu menuntut di Sekolah Rendah Pasir Ris, berkata saiz kelas MTS tidak terlalu besar dan beliau berasa lebih yakin untuk bertanya guru.

“Kelasnya kecil... ada 11 murid sahaja dan saya rasa lebih selesa dalam kelas. Saya pun lebih senang bertanya dengan guru mengenai topik yang kurang difahami,” ujar Fariz, 13 tahun, yang mempunyai rekod kehadiran 100 peratus di MTS.

Penggunaan wadah Kahoot – wadah pembelajaran berteras permainan dalam talian – untuk berinteraksi dengan rakan sekelas dan guru juga membantu, kata Fariz.

Cik Farahzian berkata beliau melihat anaknya lebih yakin dan lebih cenderung menjawab soalan selepas menghadiri MTS.

Usaha Fariz, ibunya dan guru-guru di sekolah dan MTS berhasil apabila dia mendapat keputusan yang melebihi jangkaannya semasa Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) yang didudukinya pada 2023.

Fariz mendapat sembilan mata keseluruhan selepas meraih Peringkat Pencapaian (AL) Satu dalam Matematik dan AL Dua, masing-masing dalam bahasa Inggeris dan Sains, keputusan yang melayakkan Fariz memasuki aliran Ekspres di Sekolah Victoria.

“Saya jangka dapat 13 mata dalam PSLE kerana saya mendapat 16 mata dalam peperiksaan ‘prelim’,” kata Fariz, sambil tersenyum.

Pada 24 Ogos, Fariz mampu tersenyum lagi apabila dia menerima anugerah Pelajar Keseluruhan Terbaik (PSLE) di majlis Anugerah Tuisyen Bersama (JTA) 2024 dalam majlis penyampaian yang diadakan di Politeknik Republik.

Lagi 17 pelajar berbilang peringkat turut memenangi anugerah pelajar keseluruhan terbaik.

Fariz juga antara 775 pelajar Melayu/Islam yang menerima anugerah JTA tahun ini.

Secara keseluruhan pula, 1,520 pelajar menerima JTA pada 2024, bertambah 72 peratus atau 883 pelajar berbanding 2023.

Anugerah ini diberikan secara bersama oleh empat badan bantu diri, iaitu Yayasan Mendaki, Persatuan Serani (EA), Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda) dan Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC), kepada pelajar yang meraih keputusan cemerlang dalam PSLE serta peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘N’ dan ‘O’.

Dalam kenyataan bersama, badan-badan bantu diri itu berkata jumlah penerima anugerah bertambah selepas kriteria disemak untuk memberi anugerah kepada semua pelajar yang lulus dan meraih sekurang-kurangnya peningkatan satu gred.

Satu lagi perubahan bagi JTA kali ini adalah dalam bentuk hadiah yang diberikan kepada penerima anugerah.

Sebelum ini, mereka diberikan baucar kedai alat tulis Popular, tetapi penerima tahun ini dihadiahkan dengan wang tunai – $150 bagi murid sekolah rendah dan $200 bagi pelajar sekolah menengah.

Tetamu terhormat, Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang, menekankan lagi peri penting peranan badan-badan bantu diri dalam menyokong pelajar berbilang latar belakang menerusi pelbagai usaha sama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg