Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mendaki guna data penuhi keperluan masyarakat lebih cekap

Jun 15, 2024 | 7:30 PM
Encik Zaqy Mohamad (baju merah jambu) bercakap kepada media di sidang Mesyuarat Agung Tahunan ke-35 Yayasan Mendaki pada 15 Jun di Wisma Mendaki.
Encik Zaqy Mohamad (baju merah jambu) bercakap kepada media di sidang Mesyuarat Agung Tahunan ke-35 Yayasan Mendaki pada 15 Jun di Wisma Mendaki. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Yayasan Mendaki akan memanfaatkan data sebagai salah satu strategi dalam usaha transformasinya untuk memenuhi keperluan masyarakat dengan lebih cekap dan membuat pelaburan demi masa depannya, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.

Pendekatan itu bertujuan meneliti perubahan demografi agar Mendaki dapat memperuntuk sumber yang mencukupi untuk memenuhi keperluan masyarakat, ujar beliau, yang juga timbalan pengerusi badan bantu diri itu, kepada media di sidang Mesyuarat Agung Tahunan ke-35 Mendaki pada 15 Jun.

“Dengan data demografi itu, kami berupaya meneliti dan memperuntuk sumber, (ia) tidak seperti dahulu yang mana kami mengetuk pintu (penduduk) untuk menjelaskan program kami. Hari ini, kami tahu di mana masyarakat kami berada dan kami berupaya menyasarkan mereka dengan lebih cekap,” kata Encik Zaqy.

Usaha itu disokong Pejabat Penilaian Program badan itu, yang ditubuhkan pada 2021 untuk meneliti keberkesanan dan cara daya usahanya dapat dipertingkat.

Antara program yang dijalankan ialah program pertingkat kemahiran matematik bagi kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun, KelasMateMatika.

Jumlah penyertaan program itu meningkat lebih 70 peratus, mencapai 1,600 peserta pada 2023 daripada tahun sebelumnya.

Satu kajian yang meneliti aspirasi belia Muslim di sini juga bakal dikeluarkan kelak, kata Encik Zaqy.

Maklumat lanjut akan didedahkan di Simposium Mendaki pada 10 Julai.

Encik Zaqy berkata tiga strategi lain melibatkan usaha membina keupayaan Mendaki dan memastikan orang ramai boleh memanfaatkan program dan khidmatnya dengan lebih mudah; menyokong laluan kejayaan pelajar; dan mempersiap pemimpin masyarakat dan industri generasi akan datang.

Dalam satu kenyataannya pada 15 Jun, Mendaki mengumumkan ia meraih pendapatan berjumlah $50.2 juta pada 2023, merangkumi penajaan dana dan geran pemerintah, derma, pelaburan, pendapatan yuran dan pendapatan lain.

Daripada jumlah itu, $37.4 juta dibelanjakan bagi pelbagai program yang memberi manfaat kepada lebih 90,000 orang pada 2023.

Perbelanjaan itu meliputi daya usaha pendidikan kanak-anak sekolah, seperti Program Tuisyen Mendaki, daya usaha menyediakan pelajar dan pekerja demi masa depan, penajaan biasiswa dan dermasiswa.

Dari segi bilangan relawan, Mendaki berkata ia melatih lebih 300 mentor yang memberi manfaat kepada lebih 1,500 penerima pada 2023.

Mereka turut bekerjasama dengan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) untuk mempertingkat keupayaannya dalam menguruskan serta menambah baik kemahiran relawannya.

Dalam laman Facebook beliau, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang juga pengerusi Mendaki, merakamkan penghargaan buat sukarelawan, rakan kongsi dan penderma atas sokongan mereka.

“Visi Masyarakat Gemilang kita disokong oleh nilai-nilai keperibadian, kemahiran dan kewarganegaraan, yang saling memperkukuh.

“Dalam melakar perjalanan kita ke arah kejayaan, Mendaki, bersama rakan kongsi M3 serta agensi nasional, memainkan peranan penting dalam membina kemahiran dan keterampilan masyarakat,” ujarnya.

Rangkaian Karyawan Mendaki, yang ditubuhkan pada 2022, telah berkembang dan kini mempunyai lebih 600 karyawan. Sebanyak lapan rangkaian ditubuhkan pada 2023, dan bilangan itu bakal bertambah kepada 13 pada 2024.

Encik Zaqy turut mengumumkan dua anggota Lembaga Pengarah Mendaki yang dilantik – Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, dan Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat – akan mengundur diri selepas berkhidmat sembilan tahun.

AP GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha, akan menyertai lembaga pengarah itu selaku anggota dilantik pada 16 Jun.

Dua wajah baru dilantik sebagai anggota lembaga pengarah, iaitu Naib Presiden Pertapis, Encik Muhammad Danial Fadzlon, dan Penolong Ketua Divisyen Pendidikan Darul Arqam, Cik Nuraizah Amin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg