Mendaki lakar pelan 5 tahun tingkat sokongan menyeluruh buat pelajar
Mendaki lakar pelan 5 tahun tingkat sokongan menyeluruh buat pelajar
Pelan Kerja Mendaki 2026-2030 bentang sokongan bina kerjaya; sokongan tambahan bagi keluarga
Yayasan Mendaki kini mempergiat usaha sokongannya bagi mendampingi perjalanan pendidikan pelajar Melayu/Islam secara menyeluruh – bermula daripada peringkat asas persekolahan hingga melangkah ke alam kerjaya dan seterusnya.
Pada masa yang sama, keluarga juga akan diberikan sokongan tambahan bagi membantu anak-anak dalam tahun awal perkembangan mereka.
Pelan menyokong keperluan pendidikan masyarakat Melayu/Islam secara lebih menyeluruh – menjangkau tumpuan terhadap pelajar yang lemah akademik mahupun berprestasi tinggi – didedahkan Mendaki semasa badan bantu diri itu membentangkan pelan kerja lima tahunnya dalam satu sidang media pada 15 Januari.
Strategi Mendaki dibahagikan kepada empat teras utama – melahirkan pelajar yang yakin, membina keluarga yang kukuh, menyediakan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan, serta membangunkan masyarakat yang berkembang maju.
Strategi itu dirangka dengan mengambil kira keperluan masyarakat dan negara dalam menghadapi cabaran baru, menurut kenyataan Mendaki.
Pengerusi Mendaki, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, berkata bahawa Mendaki sudah berkembang daripada hanya sekadar menjadi pusat program tuisyen.
Malah, ia berperanan sebagai wadah yang menyediakan pendedahan lebih luas kepada masyarakat, khususnya bagi golongan muda tentang persiapan menghadapi masa depan.
Usaha ini sekali gus bertujuan membantu merapatkan jurang ketidaksamaan dalam masyarakat.
Encik Zaqy berkata:
“Pembangunan pesat di Singapura menuntut kita untuk memastikan anak-anak kita tidak ketinggalan.
“Kita perlu merapatkan jurang dengan kanak-kanak yang mungkin lebih berkemampuan – yang mampu mengikuti kelas pengayaan, memperoleh pendedahan lebih luas, serta menjalani latihan industri atau penempatan latihan.”
Encik Zaqy menambah, ini merupakan inisiatif penyamarataan sosial yang perlu diwujudkan, dengan Mendaki sudah membina keupayaan dan sumber sokongan sepanjang lima tahun lalu – antara 2021 hingga 2025.
“Hari ini, Mendaki berada di kedudukan yang jauh lebih kukuh, dengan rangkaian kerjasama, hubungan serta sumber yang lebih baik untuk melaksanakannya.
“Dari sudut pembangunan kanak-kanak, ia bukan sekadar menghadiri kelas semata-mata.
“Pendedahan sebenar pada masa kini memerlukan anak-anak berfikiran kritikal dan menguasai kemahiran bahasa.
“Maka, pendekatan Mendaki telah berkembang menjangkau pembelajaran bilik darjah tradisional,” ujar Encik Zaqy.
Beliau turut menggariskan bahawa antara perubahan utama dalam masyarakat Melayu/Islam hari ini ialah semakin ramai yang melanjutkan pelajaran ke politeknik dan universiti, serta peningkatan jumlah golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET).
Lantas, beliau berkata sudah menjadi tanggungjawab Mendaki untuk memanfaatkan kekuatan masyarakat tersebut bagi membantu generasi akan datang.
“Jika dibandingkan satu atau dua dekad lalu, rangkaian karyawan kita kini benar-benar dapat menemui individu daripada pelbagai bidang – sama ada kewangan, teknologi, pembuatan, penerbangan, kejuruteraan dan sebagainya.
“Kini, generasi seterusnya pula perlu membantu generasi akan datang, di samping bersama-sama membina landasan sokongan berterusan,” tambahnya.
Encik Zaqy berkata demikian kepada wartawan ketika Mendaki mengumumkan pelan kerja lima tahunnya (2026 hingga 2030) – yang bertemakan “Mendaki 2030: Sentiasa Bersamamu” – di ibu pejabat Wisma Mendaki di Kee Sun Avenue pada 15 Januari.
Beliau turut ditemani Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Encik Feroz Akber.
Encik Feroz berkata bahawa bagi merealisasikan empat bidang dalam pelan lima tahun tersebut, Mendaki berharap seluruh masyarakat dapat bersatu padu dalam usaha memajukan masyarakat Melayu/Islam.
“Dalam menjalankan tugas kami untuk mencapai hala tuju, kami harap boleh menggalakkan pekerja, murid-murid kami, dan juga masyarakat Islam Singapura untuk bekerjasama.
“Kita perlu bekerjasama sebagai satu masyarakat untuk bergerak ke hadapan, walau apapun gelombang yang akan datang.
“Sebagai satu masyarakat, Mendaki akan bersamamu untuk mengatasi segala-galanya untuk masyarakat Melayu dan Singapura,” katanya.
Antara program yang akan diperluaskan ialah Program Pencapaian Mendaki (MAP), di mana pengayaan dan penglibatan akan diterapkan untuk menumpukan pada pembangunan menyeluruh pelajar.
Ia selaras dengan Kecekapan Abad ke-21 Kementerian Pendidikan (MOE), serta meningkatkan kesedaran dan bimbingan mengenai laluan pendidikan dan kerjaya termasuk proses Pengambilan Masuk Ke Sekolah secara Langsung (DSA).
Mendaki juga akan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk membantu tutor MAP menyesuaikan pelajaran dan aktiviti mereka.
Selain itu, Mendaki juga akan membimbing ibu bapa dengan program terbaru, SediaMulaBelajar atau ReadySetLearn (RSL).
Ia terbahagi kepada empat program utama – jerayawara atau ‘roadshow’ RSL, Peneroka Matematik RSL, Peneroka Bahasa RSL, dan Kit RSL.
Peneroka Matematik RSL – atau sebelum ini dikenali sebagai KelasMateMatika (KMM) – dan Peneroka Bahasa bertujuan untuk memperkasa ibu bapa agar mereka dapat membimbing anak-anak mereka di rumah, sambil memupuk rasa cinta untuk membaca.
Mereka juga boleh mendapatkan nasihat dan bahan bimbingan daripada Mendaki serta agensi-agensi nasional dan masyarakat untuk menyokong pembangunan anak-anak mereka di jerayawara RSL.
Mendaki juga akan melancarkan program ‘Bersedia di Tempat Kerja (R@W)’ untuk membantu pekerja Melayu/Islam meningkatkan kemahiran, meraih kemahiran baru, dan membina minda yang bersedia untuk menghadapi ekonomi pesat.
Ia memberi tumpuan kepada graduan baru, mereka yang mencari kerja, pekerja dan karyawan pertengahan kerjaya, serta mereka yang kembali ke alam pekerjaan.
Ia merupakan peluasan daripada program sedia ada, ‘Wanita di Tempat Kerja (W@W)’, yang menumpukan pada wanita.
Dr Faishal turut memuji usaha Mendaki yang menurutnya memainkan peranan penting dalam memastikan masyarakat Melayu/Islam tidak ketinggalan.
Sambil berkongsi mengenai pelbagai program Mendaki, Dr Faishal berkata, ia “merupakan titik penting yang membentuk keyakinan, hala tuju dan peluang dalam masyarakat Melayu/Islam.”
“Program-program Mendaki telah menggalakkan masyarakat kita untuk menjadi versi terbaik diri mereka di setiap peringkat kehidupan.
“Melalui program-program ini juga, Mendaki telah membina sebuah masyarakat kukuh yang terdiri daripada lebih 5,000 fasilitator, tutor dan mentor sukarelawan, yang mencerminkan semangat menyumbang kembali yang tinggi di kalangan masyarakat Melayu/Islam,” ujarnya yang menambah bahawa kemajuan masyarakat Melayu/Islam merupakan sebahagian daripada kejayaan Singapura.
Ia sejajar dengan hala tuju nasional untuk memastikan anak-anak bermula dengan asas yang kukuh dan menjadi pelajar yakin.
Ini di samping pekerja dapat kekal bekerja dan berdaya tahan dengan ekonomi yang sentiasa berubah, tambahnya.

