Pelan Kerja lima tahun Mendaki: Program tuisyen diperluas, libat ibu bapa
Pelan Kerja lima tahun Mendaki: Program tuisyen diperluas, libat ibu bapa
Kurikulum baru, Program Pencapaian Mendaki, rangkumi AI dan robotik serta program SediaMulaBelajar untuk ibu bapa
Selepas hampir empat dekad memberi tumpuan kepada sokongan akademik, Program Tuisyen Mendaki (MTP) bakal diperluaskan bagi merangkumi pembangunan menyeluruh pelajar mulai 2026.
Antara lain, kurikulum yang diperbaharui itu akan merangkumi program pengayaan dalam pelbagai bidang, termasuk robotik, teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Langkah itu diumumkan menerusi pelancaran kurikulum baru skim berkenaan, yang kini dinamakan semula sebagai Program Pencapaian Mendaki (MAP).
Langkah ini selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan (MOE) yang menekankan pendidikan holistik, kata Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, yang juga menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Mendaki.
Beliau berkata demikian ketika Mendaki mengumumkan pelan kerja lima tahunnya (antara 2026 dengan 2030) di ibu pejabat Wisma Mendaki pada 15 Januari.
Turut hadir semasa taklimat itu ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Feroz Akber.
Bertemakan ‘Mendaki 2030: Sentiasa Bersamamu’, pelan kerja lima tahun Mendaki itu merangkumi empat teras utama iaitu membentuk pelajar yakin, memperkukuh institusi keluarga, menyediakan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa hadapan serta membangunkan masyarakat yang berdaya maju.
Kata Encik Zaqy, dalam konteks Singapura yang semakin maju dan berdaya saing, masyarakat memerlukan individu yang mampu berfikiran kritis.
Justeru, pembangunan pendidikan kini tidak lagi terhad kepada penguasaan akademik atau kehadiran di bilik darjah semata-mata, tambahnya.
“Pada asasnya, pembangunan pelajar hari ini perlu melangkaui pelajaran di bilik darjah semata-mata.
“Hari ini, subjek seperti Matematik dan Sains bukan lagi sekadar menguji kemahiran menguasai kandungan, tetapi tentang cara pelajar menyelesaikan masalah,” ujar beliau.
Tanpa keupayaan berfikir secara kritis, kebolehan itu sukar diterjemahkan kepada kekuatan sebenar, termasuk dalam kebolehpasaran pelajar, tambahnya.
Dengan itu, perkembangan kepada program tuisyen itu wajar dilakukan, lebih-lebih lagi dalam memastikan pelajar daripada latar belakang kurang berkemampuan tidak tercicir daripada peluang pengayaan, pendedahan industri dan latihan awal yang semakin menjadi penentu mobiliti sosial, tambah Encik Zaqy.
“Kita perlu merapatkan jurang dengan kanak-kanak yang mungkin lebih berkemampuan - yang mampu mengikuti kelas pengayaan, memperoleh pendedahan lebih luas, serta menjalani latihan industri atau penempatan latihan,” kata beliau.
Inisiatif seperti ini dapat dilaksanakan berikutan usaha Mendaki yang telah membina keupayaan serta sumber sokongan sepanjang lima tahun lalu, kata Encik Zaqy.
“Hari ini, Mendaki berada di kedudukan yang jauh lebih kukuh, dengan rangkaian kerjasama, hubungan serta sumber yang lebih baik untuk melaksanakannya.
Dengan itu, pendekatan Mendaki telah berkembang menjangkau pembelajaran bilik darjah tradisional,” ujarnya lagi.
Maka, MAP kini akan dilengkapkan dengan sesi pengayaan sebulan sekali, iaitu pada sesi keempat, manakala sesi penglibatan akan diadakan sepanjang cuti sekolah pada Mac, Jun, September dan November.
Sesi-sesi ini akan merangkumi kegiatan kebolehan membaca dan menulis, kemahiran mengira atau celik nombor, cabaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (Steam), robotik, penerokaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), sesi perkongsian kerjaya serta lawatan pembelajaran, kata Mendaki.
Selain itu, program MAP juga akan menerapkan kecekapan kecerdasan buatan (Al) dalam menyediakan tutor dalam menyesuaikan pelajaran dan kegiatan mengikut keperluan setiap pelajar.
Mendedahkan statistik program tuisyen itu, Mendaki berkata mereka telah menyokong sekitar 35,000 pelajar di 100 pusat MTP setakat ini, dengan kadar kelulusan naik daripada 56 peratus ke 68 peratus dari 2021 hingga 2024.
Ia menyokong pelajar dari Darjah 1 hingga Menengah 5 di sekolah pemerintah dan bantuan pemerintah, serta madrasah.
Pelajar boleh mendapatkan bantuan bagi mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris, Matematik, serta subjek Sains.
Bercakap kepada media sebelum ini dalam lawatannya ke Sekolah Menengah Unity pada 2021, Encik Zaqy akur harapan masyarakat mahu lebih ramai pelajarnya menyasarkan kelulusan bermutu.
“Ia bukan lagi tentang mendapat kelulusan, kerana pelajar Melayu/Islam kita telah berkembang dengan baik selama ini. Kini, ia adalah mengenai usaha menuju ke arah kelulusan bermutu,” tambahnya.
Dalam pelan kerja lima tahun Mendaki sehingga 2030, pertubuhan itu berkata ia menumpukan usaha kepada program yang menitikberatkan penglibatan ibu bapa dan teknologi.
Justeru, badan itu akan memperkenalkan program SediaMulaBelajar atau ReadySetLearn (RSL).
Dalam program itu, ia memperkasa ibu bapa yang mempunyai anak berusia 16 tahun dan ke bawah untuk memainkan peranan aktif dalam perjalanan pembelajaran anak mereka dan memperkukuh pembelajaran di rumah.
Ini termasuk, KelasMateMatika (KMM) yang kini dikenali sebagai Penjelajah Matematik RSL, atau RSL Maths Explorer.
Di bawah pembaharuan ini, program itu yang mempersiapkan kanak-kanak prasekolah bagi pengajian sekolah rendah, akan diubah kepada model pembelajaran gabungan baru, di mana dua daripada empat sesi dijalankan secara bersemuka, manakala dua lagi akan diadakan secara dalam talian.
Pendekatan ini dijangka memudahkan lebih ramai ibu bapa memberi komitmen serta mengambil bahagian dalam program tersebut, kata Mendaki.
Selain itu, Peneroka Bahasa RSL akan diperkenalkan demi memupuk kebolehan membaca dan menulis secara dwibahasa serta minat terhadap tabiat membaca dalam 10 sesi yang akan diadakan sepanjang tahun.
Sebagai contoh, ibu bapa akan dibimbing cara menggabungkan kedua-dua bahasa dalam rutin harian, seperti membaca cerita sebelum tidur dalam Bahasa Inggeris atau mengamalkan penggunaan Bahasa Melayu melalui perbualan seharian.
Menurut Mendaki lagi, ibu bapa akan menerima pilihan buku setiap tiga bulan.
Pakej yang bersesuaian dengan peringkat usia turut disediakan untuk kanak-kanak dalam dua kumpulan, iaitu berumur empat hingga enam tahun serta tujuh hingga sembilan tahun.
Ibu bapa juga boleh menerima bimbingan ini melalui jerayawara atau ‘roadshow’ RSL di kawasan kejiranan mulai April yang memberi akses kepada bengkel, bahan rujukan dan bimbingan bagi menyokong ibu bapa dalam perkembangan kanak-kanak.
Sumber sokongan seperti ini juga akan disediakan dalam kit RSL yang mengandungi bahan yang boleh membantu ibu bapa membimbing anak-anak mereka di pelbagai peringkat.
Artikel ini telah disemak bagi menambah ketepatannya.

