Badan Melayu/Islam, Yayasan Mendaki, telah melancarkan Jerayawara ReadySetLearn (RSL) buat kali pertama bagi mendekatkan sokongan pembelajaran serta sumber keibubapaan kepada keluarga di kawasan kejiranan.

Diadakan pada 25 dan 26 April di One Punggol, jerayawara tersebut dirasmikan Pengerusi Mendaki, Encik Zaqy Mohamad.

Berucap semasa pelancaran jerayawara tersebut, Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), menekankan peranan penting ibu bapa dalam membentuk perjalanan pembelajaran anak-anak mereka.

“Keluarga di sini boleh meneroka program-program yang bermanfaat, mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti, serta mempelajari cara-cara praktikal untuk melibatkan anak-anak di rumah.

“Itulah sebabnya RSL diwujudkan, ia mengamalkan pendekatan keluarga, dan kami menyokong ibu bapa dari peringkat awal.

“Apabila kita menyokong keluarga dari awal, kita memberikan anak-anak permulaan yang kukuh dalam kehidupan,” ujar beliau.

Jerayawara tersebut adalah yang pertama daripada enam jerayawara seumpamanya yang diadakan di merata Singapura pada 2026, sebagai sebahagian program RSL yang lebih menyeluruh, menyokong ibu bapa dengan anak-anak berusia 16 tahun ke bawah.

Dalam satu kenyataan media pada 25 April, Mendaki berkata inisiatif tersebut selaras dengan Pelan Kerja Mendaki 2030.

“Program ini mengiktiraf kanak-kanak belajar dengan lebih baik dalam persekitaran rumah yang stabil dan menyokong, serta bertujuan memperkukuh keluarga melalui penglibatan awal dan berterusan ibu bapa,” kata kenyataan itu lagi.

Sempena Bulan Kesedaran Autisme, jerayawara RSL turut menampilkan sesi khas yang dikendalikan oleh para pengamal dan rakan kerjasama masyarakat untuk memberikan panduan praktikal mengenai pengesanan awal, campur tangan, serta laluan sokongan bagi kanak-kanak berkeperluan pendidikan khas.

Acara dua hari itu menghimpunkan lebih 20 rakan kerjasama, termasuk Majlis Keluarga Sepanjang Hayat (FFL), KidStart, dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).

Aktiviti dianjurkan berteraskan tiga tunggak, iaitu ‘Sedia untuk Ingin Tahu’, ‘Bersedia untuk Meneroka’, dan ‘Belajar untuk Memberi Inspirasi’, melalui reruai interaktif, bengkel, serta sesi berpandu yang direka untuk menjadikan pembelajaran lebih menarik dan mudah diakses.

Ibu bapa dan kanak-kanak turut mengambil bahagian dalam sesi penceritaan, aktiviti pembelajaran berasaskan permainan, serta bengkel mengenai topik seperti perkembangan bahasa, celik angka, dan keibubapaan positif.

Antara daya tarikan utama ialah pelaksanaan perintis program RSL Maths Explorer, yang sebelum ini dikenali sebagai KelasMateMatika (KMM).

Program tersebut bertujuan menyokong ibu bapa dan kanak-kanak melalui aktiviti celik angka yang menyeronokkan dan bersesuaian dengan usia bagi membina keyakinan serta pengalaman pembelajaran positif dalam Matematik sejak usia awal.

Ibu bapa yang menghadiri jerayawara tersebut mendapati inisiatif itu menyediakan sokongan yang praktikal dan relevan.

Cik Norliza Md Yusop berkata acara itu bukan sahaja menarik tetapi bermanfaat, khususnya bagi ibu bapa yang sibuk mengimbangi pelbagai tanggungjawab.

“Melalui pelbagai reruai dan bengkel, ibu bapa memperoleh pengetahuan yang berguna untuk membimbing dan menyokong perkembangan anak-anak mereka dengan lebih baik, terutama sekali bagi ibu bapa yang sibuk seperti saya,” ujarnya, yang berusia 43 tahun.

Cik Maryam Dzinnira Mohd Huzaini berkongsi sesi-sesi yang diadakan membantunya mengurus keperluan pembelajaran berbeza bagi keempat-empat anaknya.

“Tumpuan kepada aktiviti mudah dan praktikal, serta interaksi antara ibu bapa dan anak, telah mengukuhkan keyakinan saya bahawa pembelajaran bermula di rumah, dan paling berkesan apabila kanak-kanak rasa gembira, selamat, dan dihargai,” katanya, yang berusia 37 tahun.

Jerayawara RSL seterusnya akan diadakan di Kelab Masyarakat Hong Kah North pada 23 dan 24 Mei 2026.