Singapura boleh memanfaatkan status negara ini sebagai hab kewangan sejagat dan rakan kongsi penting di rantau Asean untuk menjadi lokasi pilihan bagi menguji projek kemampanan.

Ini selain menawarkan kepakarannya dalam menyediakan penyelesaian kewangan mampan bagi negara rantau ini, kata Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan) dan Pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri sesi Siri Perbualan Rangkaian Karyawan (PN) Mendaki di Akademi Kemampanan Singapura di Kitchener Road pada 22 April.

Siri Perbualan PN merupakan inisiatif baru di bawah Pelan Kerja Mendaki 2030, bertujuan membina tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan dan memupuk komuniti profesional kukuh lagi terhubung.

Encik Zaqy berkata usaha sedemikian penting, tatkala semakin banyak negara sejagat bergerak ke arah kedaulatan tenaga, dipacu oleh konflik Timur Tengah dan sekatan laluan perkapalan di Selat Hormuz, sekali gus menjejas rantaian bekalan dan bekalan tenaga.

Beliau berkata kesan konflik dan sekatan laluan tersebut dapat dirasakan di Singapura dengan kenaikan pada tarif elektrik, yang meningkat sejajar dengan kenaikan harga tenaga bagi pasaran global sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

“Kita harus melihat kemampanan bukan dari sudut ideologi kerana… di negara lain, ia mungkin dilihat dari segi trade-off atau perkara yang mungkin merugikan atau menguntungkan kerana mungkin perlunya pembinaan prasarana berlainan atau yang baru.

“Tetapi (ia harus dilihat) dari segi bagaimana ia membawa manfaat bagi negara ini, industri dan juga masyarakat Singapura.

“Namun lebih penting ialah kita harus melihatnya dari sudut keselamatan tenaga, iaitu bagaimana daya tahan negara kita dapat diperkukuh,” katanya.

Beliau menggesa agar karyawan dan peneraju kemampanan berganding bahu mencari huraian dan penyelesaian alternatif agar kegiatan ekonomi dan masyarakat boleh diteruskan dengan gangguan minimum.

Awal dari itu, beliau menyertai sesi kedua daripada enam sesi keseluruhan dalam siri perbualan tersebut.

Sesi lebih kurang sejam itu menyaksikan Encik Zaqy dan Ketua Pegawai Kemampanan pemaju hartanah City Development Limited (CDL), Cik Esther An, menjawab pertanyaan hadirin.

Dipengerusikan oleh Timbalan Presiden (Prasarana Iklim) ThomasLloyd Group, Encik Muhammad Fazli Mohd Isa, sesi kali ini tertumpu pada iklim, daya tahan tenaga dan kemampanan sebagai penjana ekonomi.

Sekitar 80 peserta menghadiri sesi tersebut, yang rata-rata terdiri daripada karyawan kemampanan dan belia.

Menghuraikan intipati perbincangan, Encik Zaqy menyentuh berkenaan kecenderungan hadirin dalam mempromosikan kemampanan demi menjana ekonomi Singapura dan keinginan mereka untuk mengetahui prospek kerjaya dalam bidang kemampanan.

Ini selain meneroka cara usahawan Melayu/Islam dalam bidang kemampanan dapat memberi penyelesaian praktikal bagi kegunaan industri dan aspirasi golongan ini untuk menjangkau pasaran Asean melalui sumbangan kepakaran atau projek kewangan, ujarnya.

Beliau berkata: “Singapura dapat memainkan peranan lebih penting, apabila kita lihat bagaimana rantau ini sedang berkembang.

“Piawaian kemampanan lebih tinggi diperlukan kerana banyak industri hari ini perlu mematuhi piawaian (yang telah ditetapkan) agar kita dapat mencapai ekonomi lebih hijau dan juga persekitaran lebih mampan,” kata Encik Zaqy.

Penolong Ketua PN Mendaki bagi Kemampanan, Encik Safafisalam Bohari Jaon, berkata sesi itu wadah bagi bertukar idea dalam kalangan karyawan mahupun para belia.

Beliau yang juga Sekutu Kanan bagi Ekonomi dan Impak Sosial di salah satu firma perundingan terkemuka, berkata walaupun sudah menceburi bidang kemampanan selama lebih tiga tahun, banyak ilmu yang beliau raih daripada rakan seangkatan.

“Bukan sahaja saya dapat bertemu karyawan (dalam bidang serupa), saya dapat terima nasihat daripada karyawan atau usahawan kemampanan veteran,” katanya.

Bagi peserta Encik Muhammad Syafiq Mohamed Sahrom pula, sesi itu menjadi wadah menimba ilmu kemampanan dan meluaskan rangkaian hubungan bagi memacu matlamatnya ke arah menjadi lebih mampan.

Pegawai pembangunan pelajar di Politeknik Singapura (SP) itu berkata usaha ke arah kemampanan itu penting, sedang keadaan alam sekitar “menjadi semakin parah”.

“Saya dapat mendengar dengan lebih dekat lagi usaha yang telah dilakukan (daripada pakar industri)... dan tindakan yang bakal dilakukan Singapura pada masa hadapan (dalam aspek kemampanan),” katanya.