Topik diikuti
Pergi ke BHkuMendaki lancar skim ‘Siap Sekolah’ bernilai $5j, baucar $250 bagi pelajar layak
Mendaki lancar skim ‘Siap Sekolah’ bernilai $5j, baucar $250 bagi pelajar layak
Sebanyak $5 juta akan diperuntukkan bagi menyokong lebih daripada 22,000 pelajar Melayu/Islam melalui skim baharu Yayasan Mendaki, dengan setiap pelajar yang layak bakal menerima baucar elektronik (e-baucar) bernilai $250 bagi membantu meringankan perbelanjaan persiapan kembali ke sekolah.
Di bawah skim baharu ‘Siap Sekolah’ ini, pelajar sepenuh masa daripada isi rumah yang berpendapatan per kapita (PCI) bulanan tidak melebihi $1,000 akan menerima e-baucar tersebut bagi menampung kos seperti buku teks, bahan pembelajaran dan peranti elektronik.
Ketika mengumumkan skim itu pada 24 November, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, berkata skim tersebut direka untuk memberikan sokongan lebih besar kepada keluarga dalam membuat persiapan bagi anak-anak mereka menghadapi tahun akademik baharu.
“Kami mahu meluaskan lagi bantuan yang diberikan oleh Mendaki – daripada 13,000 penerima hari ini bagi bantuan seperti TTFS (Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi) dan sebagainya, kepada 22,000 penerima yang berpotensi mendapat manfaat daripada program ini.
“Bagi kami, ini meluaskan lagi bantuan Mendaki kepada masyarakat kita, terutama bagi mereka yang memerlukan.
“Kami berharap dengan bantuan ini, lebih ramai anak kita tidak perlu terlalu khuatir sekiranya mereka kekurangan sesuatu, kerana kita mampu membantu menyediakan keperluan pendidikan mereka,” ujar Encik Zaqy kepada pihak media di luar satu acara Mendaki.
Encik Zaqy, yang juga Pengerusi Mendaki, menegaskan bahawa e-baucar bernilai $250 itu akan diberikan bagi setiap anak yang layak, dan bukannya berdasarkan setiap isi rumah.
Ini bermakna sebuah keluarga yang mempunyai tiga orang anak bersekolah yang layak boleh menerima jumlah keseluruhan e-baucar sebanyak $750, sekali gus memberi bantuan tambahan kepada keluarga lebih besar.
Skim ini merangkumi pelajar yang layak dan berdaftar secara sepenuh masa di sekolah atau Institut Pengajian Tinggi (IHL) di Singapura bagi tahun akademik 2027.
Ini termasuk pelajar daripada sekolah nasional, madrasah, sekolah pendidikan khas (Sped), serta institusi swasta, bermula daripada murid sekolah rendah sehingga kepada mahasiswa yang mengikuti pengajian ijazah sarjana muda pertama mereka.
Pelajar yang mengikuti pengajian possiswazah atau pengajian di luar negara tidak layak untuk menerima e-baucar itu.
Mendaki, dalam kenyataan pada 24 November menambah, permohonan akan dibuka mulai 1 Disember 2026 hingga 28 Februari 2027, menerusi laman web mereka.
Pelajar berminat boleh membuat permohonan secara dalam talian dengan log masuk menggunakan Singpass bagi mendapatkan butiran peribadi, maklumat isi rumah serta maklumat pendapatan mereka.
Pemohon perlu mengemukakan salinan surat tawaran institusi atau buku laporan sekolah bagi mengesahkan pendaftaran mereka untuk tahun akademik 2027, serta memberikan alamat e-mel yang sah, kata badan bantu diri itu.
Pemohon yang berjaya akan dimaklumkan mengenai keputusan permohonan tersebut dalam tempoh tiga hari bekerja selepas permohonan dibuat.
“Skim Siap Sekolah ini akan dikaji semula setiap tahun bagi memastikan ia kekal relevan dan responsif terhadap keperluan keluarga,” kata Mendaki.