Yayasan Mendaki mengumumkan empat anggota Lembaga Pengarah baharu pada 28 Ogos, yang merangkumi Anggota Parlimen (AP) dan pemimpin masyarakat Melayu/Islam daripada latar belakang perakaunan dan kewangan.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan) yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad, telah melantik empat anggota baharu dalam lembaga itu.

Mereka ialah Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi; AP GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak; AP GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim; di samping Rakan Kongsi Pengurus Negara Deloitte Singapore, Encik Shariq Barmaky.

Mereka telah memulakan peranan mereka secara rasmi sejak 21 Ogos, dan menyertai barisan 21 anggota lembaga pengarah Mendaki.

Mereka terdiri daripada pemimpin pertubuhan Melayu/Islam seperti Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM); Pertapis, Syarikat Guru-Guru Melayu Koperatif Berhad (SGM), Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dan Persatuan Muhammadiyah.

Sementara itu, tiga anggota lembaga pengarah telah menamatkan tempoh khidmat.

Mereka adalah AP GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha; AP GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar; dan veteran Mendaki, Encik Sallim Abdul Kadir.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Mendaki pada 28 Ogos, Encik Zaqy berkata:

“Pelantikan pengarah baharu mencerminkan usaha berterusan Mendaki kepada proses pembaharuan kepimpinan, serta memastikan pertubuhan ini kekal peka terhadap keperluan dan aspirasi masyarakat Melayu/Islam yang kian berkembang.”

Beliau berkata pembaharuan barisan kepimpinan secara kesimpulannya amat penting untuk meneruskan usaha yang telah dijayakan generasi pemimpin Mendaki sebelum ini.

Ia membawa idea baharu, pandangan segar serta pengalaman yang pelbagai dan luas, tambahnya.

Ketika ditemui wartawan di Wisma Mendaki, Encik Zaqy berkata empat pengarah baharu yang dilantik akan memperkasakan pengalaman luas dan kepakaran masing-masing untuk melengkapi program Mendaki yang berbeza.

Dr Syed Harun bakal memberi tumpuan kepada usaha pendidikan dan pembangunan belia, manakala Dr Hamid akan membantu membangunkan program lebih inklusif bagi masyarakat Melayu/Islam dan India/Islam.

Sementara itu, Cik Hazlina bakal mengukuhkan usaha pembangunan golongan wanita dan keluarga. Pengalaman luas Encik Shariq dalam bidang kepimpinan korporat serta tadbir urus di Deloitte Singapore pula akan melengkapi usaha Mendaki, ujar Encik Zaqy.

Encik Zaqy menyifatkan Dr Syed Harun mampu melengkapi usaha Mendaki dalam menyokong usaha pendidikan, berbekalkan pengalamannya di Kementerian Pendidikan, pembangunan belia bersama Majlis Belia Kebangsaan (NYC), pasukan petugas Melayu/Islam serta peranannya sebagai mantan Presiden LBKM.

Dr Syed Harun menyifatkan pelantikannya sebagai kesinambungan perkhidmatan beliau di Parlimen, terutamanya dalam usaha meneruskan usaha mendampingi golongan pelajar dan belia.

Sementara itu, pengalaman Dr Hamid di IMPROF dan penglibatannya bersama pertubuhan India/Muslim akan memastikan program Mendaki kekal relevan, inklusif dan berkesan dalam memenuhi pelbagai keperluan masyarakat Melayu/Islam dan India/Islam, kata Encik Zaqy.

Dr Hamid memberitahu wartawan bahawa beliau teruja menyumbang kepakarannya dalam mendampingi golongan India/Islam berpendapatan rendah serta isu mengenai kesihatan.

Encik Zaqy menambah, pengalaman Cik Hazlina di PPIS serta rangkaian luasnya bersama pertubuhan Melayu/Islam (MMO) pula akan memperkukuhkan penglibatan Mendaki bersama pihak berkepentingan masyarakat, selain membawa sudut pandangan bernilai dalam memajukan aspirasi wanita dan keluarga

Cik Hazlina berhasrat memanfaatkan pengalamannya mendekati anggota masyarakat sebagai AP serta berkhidmat di badan Melayu/Islam untuk menyampaikan harapan dan cabaran dihadapi masyarakat, sekali gus mengukuhkan lagi usaha Mendaki.

Ini termasuk memperkukuhkan kerjasama antara masyarakat, serta badan swasta dan awam.

Bagi Encik Shariq, yang turut berkhidmat dalam Jawatankuasa Audit dan Risiko serta sebagai penasihat panel perbankan dan kewangan di Mendaki, beliau amat teruja atas pelantikannya ke dalam lembaga pengarah badan bantu diri itu.

“Lembaga pengarah telah menjayakan pelbagai inisiatif berkesan dan saya berhasrat untuk menyumbang dengan lebih mendalam sebagai salah seorang anggota.

“Saya mahu manfaatkan kepakaran saya bagi membantu masyarakat memahami bidang kewangan, perakaunan dan perkhidmatan profesional, selain menyumbang dari segi aspek berkenaan,” kongsinya.

Encik Shariq turut berkhidmat di pelbagai lembaga lain, termasuk Penguasa Pengawalan Korporat dan Perakaunan (Acra), Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda) dan selainnya.

Rakan Kongsi Pengurus Negara Deloitte Singapore, Encik Shariq Barmaky, antara empat anggota lembaga pengarah Mendaki yang dilantik, umum Mendaki pada 28 Ogos.
Rakan Kongsi Pengurus Negara Deloitte Singapore, Encik Shariq Barmaky, antara empat anggota lembaga pengarah Mendaki yang dilantik, umum Mendaki pada 28 Ogos. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dalam pada itu, Encik Zaqy turut menghargai sumbangan tiga pengarah yang telah menamatkan tempoh khidmat.

Encik Zaqy melahirkan kesyukuran mendalam terhadap sumbangan Encik Sharael dan Cik Mariam, khususnya dalam pembangunan masyarakat Melayu/Islam dalam bidang pendidikan dan usaha kemasyarakatan.

Mereka berdua menyertai lembaga pengarah pada Jun 2024.

Beliau juga menghargai dedikasi Encik Sallim, yang telah menabur bakti di lembaga pengarah Mendaki sejak 2000.

Antara sumbangan utama Encik Sallim termasuk pengurusan dan perkembangan Dana Pembangunan Masyarakat Melayu/Islam.

“Sepanjang bertahun-tahun berkhidmat, beliau bertindak sebagai tonggak utama dalam memperkasakan tata kelola Mendaki.

“Ini termasuk menyelia Dana Pembangunan Masyarakat Melayu/Islam secara berkesan, menggerakkan usaha kutipan dana bagi Dana Amanah Pendidikan, dan memimpin Jawatankuasa Audit dan Risiko Mendaki selama 16 tahun.

“Kepimpinan serta iltizam teguhnya telah memberi sumbangan bermakna pada jangka masa panjang kepada Mendaki dan masyarakat,” kata Encik Zaqy.

Setelah menabur bakti lebih dua dekad, Encik Sallim amat gembira melihat kemajuan masyarakat Melayu/Islam, terutamanya dalam aspek pendidikan.

“Apabila saya mulanya menyertai lembaga Mendaki, keadaan pendidikan masyarakat Melayu/Islam amat rendah sekali.

“Kini, sudah ada banyak usaha Mendaki yang membantu menaik taraf anak Melayu/Islam,” katanya.

Beliau berharap Mendaki boleh terus menyumbang kepada pembangunan pendidikan dalam masyarakat, malah menjadi satu pertubuhan yang boleh membantu anak muda seluruh Singapura.

Encik Sallim Abdul Kadir (tengah) diberikan tanda penghargaan oleh Encik Zaqy Mohamad (kiri) dan Encik Feroz Akber (kanan) atas bakti lebih dua dekad di Wisma Mendaki pada 28 Ogos.
Encik Sallim Abdul Kadir (tengah) diberikan tanda penghargaan oleh Encik Zaqy Mohamad (kiri) dan Encik Feroz Akber (kanan) atas bakti lebih dua dekad di Wisma Mendaki pada 28 Ogos. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
AP GRC Pasir Ris–Changi, Encik Sharael Taha, antara tiga anggota lembaga pengarah Mendaki yang mengundur diri pada 28 Ogos. Beliau telah berkhidmat di lembaga itu sejak Jun 2024.
AP GRC Pasir Ris–Changi, Encik Sharael Taha, antara tiga anggota lembaga pengarah Mendaki yang mengundur diri pada 28 Ogos. Beliau telah berkhidmat di lembaga itu sejak Jun 2024. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA