Yayasan Mendaki memeterai dua Memorandum Persefahaman (MOU), satu bersama Lembaga Perpustakaan dan Arkib Negara (NLB) dan British Council Singapore, bagi memperluas peluang pembelajaran serta memperkukuh pembangunan kecelikan huruf dan bahasa dalam masyarakat, terutama untuk kanak-kanak.

Kedua-dua MOU selama tiga tahun itu dimeterai ketika Mendaki menutup tirai Raikan Ilmu 2026 di One Punggol, yang berlangsung sehingga 4 Oktober.

Menurut Mendaki, kerjasama dengan NLB memberi tumpuan kepada usaha menggalak kecelikan huruf dan angka, serta pembelajaran sepanjang hayat, sekali gus membuka akses kepada sumber bacaan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Ia termasuk menerusi program, Language Explorer dan Maths Explorer, di bawah Ready Set Learn (RSL), penubuhan kelab kidsREAD di pusat Mendaki yang sesuai.

Di samping itu, ia turut meliputi usaha menyediakan peluang latihan kepada kakitangan, sukarelawan dan pemudah cara Mendaki serta meneroka penggunaan ruang NLB bagi program Mendaki.

Sementara itu, MOU bersama British Council Singapore pula bertujuan memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris, kemahiran berkomunikasi dan keyakinan penerima bantuan Mendaki, selain memperluas akses mereka kepada program pengayaan dan peluang pembelajaran.

Selain MOU tersebut, Mendaki dan British Council Singapore turut memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) yang menyediakan lima biasiswa setiap tahun kepada murid sekolah rendah yang layak untuk mengikuti program Inggeris kendalian British Council selama setahun.

Menyentuh tentang kerjasama itu, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, yang juga Pengerusi Mendaki, berkata golongan muda bukan sahaja memerlukan ilmu dan kemahiran untuk berkembang maju, malah keyakinan, pendedahan dan peluang untuk melihat kemungkinan yang boleh mereka capai.

“Seorang kanak-kanak tidak boleh bercita-cita mencapai sesuatu yang tidak pernah dilihatnya… Peluang mereka tidak seharusnya ditentukan oleh latar belakang keluarganya.

“Setiap ibu bapa berharap anak mereka akan melangkah lebih jauh daripada mereka. Tugas kita bukan untuk menentukan sejauh mana golongan muda boleh melangkah, tetapi untuk menunjukkan kepada mereka pelbagai kemungkinan dan memberi mereka keyakinan untuk mengejarnya,” kata Encik Zaqy.

MOU dan MOA tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Feroz Akber, bersama CEO NLB, Cik Melissa Tam, dan Pengarah Negara British Council Singapore, Dr Lissy Vadakel, bagi kerjasama masing-masing.

Menurut Encik Feroz, kerjasama yang dimeterai itu menunjukkan apa yang dapat dicapai apabila pertubuhan daripada pelbagai sektor berganding bahu dengan matlamat bersama.

Pengunjung penutup acara Raikan Ilmu 2026 menyaksikan demonstrasi robotik di One Punggol pada 3 Oktober. Antara mereka ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Feroz Akber; dan Penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Punggol, Encik Gan Kim Yong; Dr Janil Puthucheary; Cik Sun Xueling; dan Cik Yeo Wan Ling.
Pengunjung penutup acara Raikan Ilmu 2026 menyaksikan demonstrasi robotik di One Punggol pada 3 Oktober. Antara mereka ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Feroz Akber; dan Penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Punggol, Encik Gan Kim Yong; Dr Janil Puthucheary; Cik Sun Xueling; dan Cik Yeo Wan Ling. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

“Dengan menggabungkan kekuatan rakan masyarakat, rakan kongsi korporat dan nasional, kita dapat mewujudkan lebih banyak peluang bagi pelajar dan keluarga, memperkukuh pembangunan kecelikan dan bahasa, serta membina budaya pembelajaran sepanjang hayat yang lebih kukuh dalam masyarakat,” ujarnya.

Menurut Cik Tam, kerjasama itu membolehkan NLB memperluas misinya untuk memupuk tabiat membaca sepanjang hayat dengan membawa sumber dan programnya lebih dekat kepada lebih banyak keluarga dan lebih ramai pelajar dalam masyarakat.

Dr Vadakel pula berkata kerjasama tersebut meneruskan usaha British Council untuk memperkasa pelajar dengan kemahiran, pengetahuan, dan keyakinan yang dapat membantu mereka mencapai aspirasi pendidikan serta matlamat kerjaya dan kehidupan.

Menurut Mendaki, Raikan Ilmu 2026 telah mencatat penyertaan lebih 100,000 orang menerusi lebih 100 kegiatan di 11 kawasan kejiranan dari Jun hingga Oktober, dengan sokongan lebih 90 rakan kongsi nasional, masyarakat dan korporat.

Badan bantu diri itu berkata pengunjung berpeluang menyertai lebih 100 kegiatan interaktif dan praktikal meliputi teknologi, kecerdasan buatan (AI), robotik, pembangunan kerjaya, kemampanan dan seni sepanjang Raikan Ilmu 2026.

Encik Zaqy berkata pencapaian pendidikan masyarakat Melayu/Islam telah berubah dengan ketara sejak beberapa dekad lalu, namun usaha menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran perlu diteruskan.

“Lebih empat dekad lalu, kita bimbang anak-anak kita tercicir dalam pelajaran. Hari ini, lapan daripada 10 belia Melayu mempunyai kelayakan posmenengah dan ke atas,” katanya.

Bagi Encik Zaqy, pembelajaran sepanjang hayat juga dapat dilihat apabila bekas pelajar Mendaki kembali kepada badan itu bersama generasi seterusnya.

Cik Nuwaira Hanizam Aris dan Encik Mohammad Haikal Abdullah, bersama tiga anak mereka, (dari kiri) Niqkyla Hyfa Mohammad Haikal; Niqkyrel Hardy Mohammad Haikal; dan Niqkyle Hyder Mohammad Haikal; di kawasan permainan di acara penutup Raikan Ilmu 2026 di One Punggol pada 3 Oktober.
Cik Nuwaira Hanizam Aris dan Encik Mohammad Haikal Abdullah, bersama tiga anak mereka, (dari kiri) Niqkyla Hyfa Mohammad Haikal; Niqkyrel Hardy Mohammad Haikal; dan Niqkyle Hyder Mohammad Haikal; di kawasan permainan di acara penutup Raikan Ilmu 2026 di One Punggol pada 3 Oktober. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Antaranya ialah Cik Nuwaira Hanizam Aris, 33 tahun, yang pernah mengikuti program tuisyen Mendaki ketika di sekolah rendah lebih 20 tahun lalu.

Kini, dua daripada tiga anaknya, Niqkyle Hyder Mohammad Haikal, enam tahun; dan Niqkyrel Hardy Mohammad Haikal, lima tahun; pula mengikuti program, ReadySetLearn Maths Explorer Mendaki.

Cik Nuwaira, seorang suri rumah, berkata pengalaman membawa anak-anaknya mengikuti program Mendaki mengimbau kembali pengalamannya sendiri sebagai pelajar badan tersebut.

Menurutnya, beliau dapat melihat sendiri bagaimana pendekatan pembelajaran yang digunakan membantu anak-anaknya memupuk minat terhadap matematik dan mengaitkan apa yang dipelajari dengan kehidupan harian.

“Selepas mengikuti kelas itu, anak sulung saya semakin berminat dengan nombor dan mula mengaitkannya dengan perkara yang ditemui dalam kehidupan harian, termasuk nombor tingkat di blok dan ketika membeli-belah di pasar raya,” jelasnya.

Pengalaman Cik Nuwaira turut diketengahkan Encik Zaqy dalam ucapannya sebagai contoh bagaimana ilmu dan sokongan masyarakat dapat diteruskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.

“Kita pernah menerima bantuan. Hari ini, kita pula boleh membantu orang lain, dan esok, kita berharap anak-anak kita akan melakukan perkara yang sama.

“Beginilah ilmu diteruskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya,” ujar Encik Zaqy.