Sehingga 10 pelajar Melayu/Islam berpeluang menerima biasiswa bernilai $1,500 setiap satu, hasil kerjasama selama tiga tahun antara Yayasan Mendaki dengan Sekolah Tinggi Universiti Nasional Singapura (NUS High).

Dalam satu kenyataan oleh Mendaki pada 24 November, biasiswa bagi pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) turut menyediakan peluang bimbingan serta penglibatan bakat pelajar Melayu/Islam.

Setiap biasiswa boleh diperbaharui untuk tempoh setahun, tertakluk kepada syarat pembaharuan yang ditetapkan oleh NUS High.

Dibiayai oleh Yayasan Temasek melalui Dana Amanah Tay Eng Soon (Tay Eng Soon Endowment), biasiswa ini akan menyokong warga Singapura atau Penduduk Tetap (PR) yang layak dan telah berjaya mendaftar sebagai pelajar sepenuh masa Tahun 1 di NUS High, tambah Mendaki.

Kerjasama bagi pemberian biasiswa itu dimeterai dalam satu majlis pemeteraian tandatangan Memorandum Persefahaman (MOU) antara Mendaki dengan NUS High di kampus NUS High di Clementi pada 24 November.

Ia ditandatangani Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Dr Noraslinda Zuber dan Timbalan Pengetua (Akademik) NUS High, Encik Goh Hock Leong, sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber dan Pengetua NUS High, Cik Soh Lai Leng.

Ketika berucap, Encik Feroz berkata:

“Memandangkan sains dan teknologi terus mengubah cara kita hidup dan bekerja, kami mahu golongan muda yang mempunyai minat serta bakat dalam bidang STEM rasa lebih yakin untuk meneroka bidang ini, mengejar aspirasi dan meneroka pelbagai kemungkinan yang terbentang di depan mereka.”

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Beliau menambah bahawa ia juga salah satu cara bagi membangunkan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk masa hadapan.

Cik Soh berkongsi bahawa kerjasama dengan Mendaki bermula seawal 2024 dan bersifat ad hoc – bermatlamat untuk membina masyarakat sekolah yang lebih pelbagai dan dinamik.

Dengan pemeteraian MOU ini, beliau berkata ia dapat mewujudkan pendekatan lebih berstruktur bagi pembangunan bakat dan memberi pendedahan lebih luas kepada pelajar Melayu/Islam terhadap pengalaman yang boleh diraih di NUS High.

Sebelum ini pada Julai, Mendaki memeterai dua MOU bersama Sekolah Pendidikan Berterusan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Universiti Nasional Singapura (NUS SCALE) dan syarikat teknologi NCS.

MOU itu membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat Melayu/Islam untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kebolehpasaran, daripada golongan belia sehingga pekerja dewasa, dalam menghadapi landskap pekerjaan yang semakin berubah.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti