Topik diikuti
Pergi ke BHkuMendaki, NYP jalin kerjasama bagi tingkat kemahiran digital pelajar, pekerja
Mendaki, NYP jalin kerjasama bagi tingkat kemahiran digital pelajar, pekerja
Cermin komitmen berterusan Mendaki perkasa masyarakat dengan peluang pembelajaran yang mudah diakses
Mendaki, NYP jalin kerjasama bagi tingkat kemahiran digital pelajar, pekerja
Yayasan Mendaki dan Politeknik Nanyang (NYP) memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) untuk memperkukuh pembangunan bakat dan meningkatkan kemahiran digital antara lain bagi golongan pelajar dan pekerja.
MOU tersebut dimeterai oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Dr Noraslinda Zuber, dan Timbalan Pengetua (Kemampanan dan Teknologi) NYP, Dr Phua Chee Teck.
Acara pemeteraian itu diadakan sempena majlis pelancaran Raikan Ilmu@Heartlands di Our Tampines Hub (OTH) pada 13 Jun.
Mendaki dalam kenyataannya pada 13 Jun berkata, kerjasama itu melibatkan peluang latihan sambil bekerja bagi pelajar NYP di Mendaki, program pertukaran bagi kakitangan Mendaki dan laluan meningkatkan kemahiran bagi pelajar dewasa terkait dengan bidang Informasi Teknologi (IT).
Bercakap dengan media, Pengerusi Mendaki yang juga Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, berkata kerjasama tersebut membuka peluang bagi pekerja dan pelajar meraih manfaat daripada kursus IT yang ditawarkan NYP.
“Kami mahu berganding bahu dan bekerjasama (dengan NYP) khususnya dalam kursus yang terkait dengan kecerdasan buatan (AI), latihan AI dan teknologi.
“NYP salah satu politeknik yang mempunyai kebolehan dan makmal (dalam jurusan teknologi) jadi kami ingin menggunakan sumber yang ada,” ujar beliau.
Selain Encik Zaqy, turut hadir menyaksikan pemeteraian itu ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang hadir selaku tetamu terhormat bagi majlis pelancaran Raikan Ilmu@Heartlands di OTH.
Raikan Ilmu@Heartlands di OTH berlangsung dari 13 hingga 14 Jun.
Sehubungan itu, Mendaki berkata mereka telah membangunkan bersama NYP siri panduan berhubung kefasihan AI – dalam bentuk kursus yang disasarkan bagi dua golongan.
Golongan pertama adalah ibu bapa dengan anak-anak antara tujuh dengan 12 tahun, dengan kursus itu akan tertumpu pada pemahaman mengenai AI, keupayaannya, keterbatasannya dan cara menggunakannya sebagai alat pembelajaran secara selamat.
Golongan kedua adalah belia berusia 13 tahun dan ke atas, dengan kursus akan tertumpu pada konsep AI, pelaksanaannya dalam industri dan bagaimana AI mendorong inovasi pertubuhan.
Kursus sedemikian ditawarkan secara percuma dan mereka yang berminat boleh mendaftar di laman rasmi ini.
Menurut CEO Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber, kerjasama antara kededua pertubuhan itu mencerminkan komitmen berterusan yayasan tersebut untuk memperkasa masyarakat melalui peluang pembelajaran dari peringkat awal dan mudah diakses.
“Melalui kerjasama kami dengan NYP, Mendaki sedang memperkukuh keupayaan AI dan digital dalam masyarakat sebagai sebahagian daripada inisiatif Langkah Digital M Kuasa Tiga + (M³+),” ujarnya.
Inisiatif Langkah Digital M³+ yang diterajui Mendaki ini kali pertama diumumkan pada Januari untuk membantu masyarakat Melayu/Islam mendalami pemahaman berkenaan proses digitalisasi, termasuk penggunaan AI secara beretika dan sesuai mengikut konteks.
Berkongsi sentimen serupa dengan Encik Feroz, Dr Phua berkata AI kian mengubah cara orang ramai bekerja, belajar dan menjalani kehidupan.
Justeru, adalah penting untuk melengkapkan individu dengan pengetahuan demi membina masyarakat yang berdaya tahan, tambahnya.
Ia merupakan MOU ketiga sejak beberapa bulan kebalakangan ini yang telah dimeterai oleh Mendaki.
Pada April, Mendaki memeterai MOU bersama syarikat teknologi sejagat Bitdeer untuk menyediakan biasiswa berjumlah $140,000 bagi pelajar Melayu/Islam sepanjang tempoh empat tahun, dari 2026 hingga 2029.
Pada Mac pula, Mendaki menjalin kerjasama dengan Akademi Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) – sebuah daya usaha pengajian dewasa universiti tersebut – untuk memperkenal program berkaitan AI kepada masyarakat Melayu/Islam.
Sementara itu, edisi Raikan Ilmu pada 2026 menggembleng lebih 90 rakan masyarakat untuk menawarkan lebih 100 kegiatan.
Antaranya ialah Berita Harian (BH), di mana pengunjung dapat menyelami potensi kecerdasan buatan (AI) dalam menyokong pembelajaran menerusi sesi vodcast yang dirakam secara langsung di reruai BH.
Sesi vodcast pada 13 Jun dikendalikan koresponden yang juga pengendali ruangan Dunia Anak (DNA) BH, Cik Nur Dhuha Esoof, bersama tetamu jemputan, Cik Maryam Dzinnira Mohd Huzaini, 37 tahun, yang berkongsi pengalaman beliau membesarkan empat anaknya dengan bantuan AI.
