Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mendaki, Persatuan Nagore Dargah meterai kerjasama lanjut sokongan dermasiswa bagi pelajar Melayu/Islam

Persatuan Nagore Dargah, Masjid Jamae Chulia, dan Masjid Al-Abrar akan menyumbang $150,000 bagi tempoh 2025 hingga 2027
Dec 1, 2025 | 4:13 PM
Yayasan Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber, Presiden Persatuan Nagore Dargah, Encik Shaick Fakrudeen S. Ali, Memorandum Persetujuan (MOA)
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber (dua dari kanan), dan Presiden Persatuan Nagore Dargah, Encik Shaick Fakrudeen S. Ali (tengah), menandatangani Memorandum Persetujuan (MOA) di Wisma Mendaki pada 25 November. Ia turut disaksikan (dari kiri) Pengerusi Masjid Jamae Chulia, Encik Rasheed Zaman Mohamed Rashad; Pengerusi Masjid Al-Abrar, Encik Mohamed Sulaiman Mohamed Arif; dan Timbalan Pengarah Kerjasama Mendaki, Encik Noor Azlan Salim. - Foto YAYASAN MENDAKI

Yayasan Mendaki dan Persatuan Nagore Dargah telah menandatangani Memorandum Persetujuan (MOA) selama tiga tahun untuk melanjutkan Dana Amanah Pendidikan (ETF)-Jamae Kalvi.

Ia dilaksana dengan kerjasama Masjid Jamae Chulia dan Masjid Al-Abrar.

MOA tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber, dan Presiden Persatuan Nagore Dargah, Encik Shaick Fakrudeen S. Ali, pada 25 November.

Majlis di Wisma Mendaki itu turut disaksikan Timbalan Pengarah Kerjasama Mendaki, Encik Noor Azlan Salim; Pengerusi Masjid Jamae Chulia, Encik Rasheed Zaman Mohamed Rashad; dan Pengerusi Masjid Al-Abrar, Encik Mohamed Sulaiman Mohamed Arif.

Menurut kenyataan Mendaki pada 25 November, Persatuan Nagore Dargah, Masjid Jamae Chulia, dan Masjid Al-Abrar akan menyumbang $150,000 bagi tempoh tiga tahun – dari 2025 hingga 2027.

ETF-Jamae Kalvi akan memberi manfaat kepada 18 pelajar Melayu/Islam peringkat posmenengah setiap tahun, merangkumi pelajar di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti, tambah mereka.

Mengulas, Encik Mohamed Feroz berkata kerjasama seperti itu mengukuhkan ekosistem sokongan bagi pelajar, membolehkan mereka menerima sumber, panduan serta peluang untuk cemerlang dalam kerjaya masa depan mereka.

“Setiap anugerah dermasiswa bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi merupakan satu pelaburan dalam impian pelajar kita dan potensi untuk mengubah kehidupan.

“Mendaki tetap teguh dalam usaha mengukuhkan jalan kejayaan untuk pelajar kami.

“Selain bantuan kewangan, kami akan memperluaskan sokongan dengan mempertingkat rangkaian bimbingan, panduan kerjaya dan memperdalam kerjasama,” ujar beliau.

Sementara itu, Encik Shaick Fakrudeen, merakamkan penghargaannya dalam usaha menyokong pelajar agar terus maju dalam pengajian mereka.

“Kami percaya setiap pelajar yang layak harus diberi peluang untuk mengejar impian akademik mereka tanpa halangan kewangan.

“Menyokong pemimpin masa depan adalah satu penghormatan bagi kami,” ujar beliau.

Persatuan Nagore Dargah, Masjid Jamae Chulia dan Masjid Al-Abrar telah menjadi penyumbang kepada anugerah dermasiswa Mendaki sejak 2022.

Menurut Mendaki, sumbangan mereka telah memberi manfaat kepada lebih 90 pelajar Melayu/Islam.

Salah seorang daripada mereka adalah pelajar peringkat Nitec dalam Persekitaran Terbina di ITE Kolej Barat, Muhammad Al Shahzroy Mohamad Adnan, 18 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber (tengah), beramah mesra dengan penerima Dana Amanah Pendidikan (ETF)-Jamae Kalvi 2024, Muhammad Al Shahzroy Mohamad Adnan (dua dari kiri). Mereka disertai (dari kiri) Timbalan Pengarah Kerjasama Yayasan Mendaki, Encik Noor Azlan Salim; Pengerusi Masjid Jamae Chulia, Encik Rasheed Zaman Mohamed Rashad; dan Presiden Persatuan Nagore Dargah, Encik Shaick Fakrudeen S. Ali.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber (tengah), beramah mesra dengan penerima Dana Amanah Pendidikan (ETF)-Jamae Kalvi 2024, Muhammad Al Shahzroy Mohamad Adnan (dua dari kiri). Mereka disertai (dari kiri) Timbalan Pengarah Kerjasama Yayasan Mendaki, Encik Noor Azlan Salim; Pengerusi Masjid Jamae Chulia, Encik Rasheed Zaman Mohamed Rashad; dan Presiden Persatuan Nagore Dargah, Encik Shaick Fakrudeen S. Ali. - Foto YAYASAN MENDAKI

“Dermasiswa ini telah meringankan beban yang besar, membolehkan saya menumpukan perhatian kepada pelajaran dan latihan amali dengan keyakinan serta harapan untuk kerjaya masa depan saya,” kongsi penerima ETF-Jamae Kalvi 2024 itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg