Masih ramai yang melihat Perancangan Legasi Islam (ILP) – merancang urusan dan pengagihan harta sebelum kematian – sebagai sesuatu yang hanya perlu diberi perhatian apabila usia semakin lanjut atau setelah memiliki banyak harta.

Contohnya, terdapat tanggapan bahawa wasiat hanya perlu disiapkan apabila seseorang mencapai usia lanjut.

Namun, seorang anggota Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam (ILPW), Encik Hafiz Noorahman, berkata hakikatnya ialah perancangan wasiat boleh dipertimbangkan lebih awal bagi memudahkan pengurusan harta pusaka dan memastikan hasrat seseorang bagi keluarga dan legasinya dapat dilaksana.

Malah, harus diingat juga bahawa setiap perancangan itu tidak mutlak – ia boleh diubah pada bila-bila masa mengikut keperluan dan pertimbangan seseorang.

DOKUMENTASI JELAS ELAK KEKELIRUAN

“Tanpa persediaan sewajarnya, waris berkemungkinan berdepan pelbagai persoalan berkaitan pemilikan aset, dokumen, liabiliti serta kehendak si mati.

“Keadaan ini boleh menjadi lebih rumit sekiranya hasrat berhubung harta hanya disampaikan secara lisan, tanpa dokumentasi yang boleh dijadikan rujukan,” kata Encik Hafiz.

Menurut beliau, yang merupakan seorang Pengurus Harta Eksekutif di Infinity Financial Advisory, dalam pembahagian harta mengikut faraid sekalipun, walaupun sistem faraid menetapkan hak waris menurut syariat, waris tetap perlu dokumentasi yang jelas.

“Sebagai contoh, pembahagian faraid di Singapura memerlukan Sijil Warisan yang didapatkan daripada Mahkamah Syariah. Wasiat yang tertulis pula boleh melengkapkan urusan pengagihan dengan menetapkan bagaimana aset di luar faraid boleh dibahagikan,” katanya.

PERANCANGAN AWAL PASTIKAN HARTA DIURUS MENGIKUT SYARIAT

Selain itu, masih ramai orang yang memberi alasan bahawa “masih banyak masa untuk merancang”.

Hakikatnya ialah kehidupan dan kematian tidak dapat ditetapkan. Oleh itu, perancangan harta pusaka bukan sesuatu yang wajar ditangguhkan.

Melalui ILP, orang ramai boleh memahami dan melaksanakan pengagihan harta selepas kematian mengikut syariat Islam dan hasrat legasi masing-masing.

Encik Hafiz berkata, faraid bukan satu-satunya kaedah pembahagian harta, namun masih ramai yang melihat ia sebagai penyelesaian kepada pengurusan harta pusaka.

Memahami ILP dapat membantu masyarakat melihat hikmah faraid serta instrumen perancangan lain, yang boleh melengkapinya.

“Persepsi bahawa faraid tidak adil, khususnya kerana wanita menerima bahagian yang berbeza daripada lelaki, perlu dilihat berdasarkan keseluruhan tanggungjawab dan prinsip keadilan dalam syariat. Islam tidak mengabaikan wanita, sebaliknya menetapkan hak waris dengan prinsip dan tanggungjawab yang tersusun,” ujar Encik Hafiz lagi.

DAPATKAN PANDUAN DAN AMBIL TINDAKAN

Pada 26 September, orang ramai boleh mempelajari tentang pelbagai instrumen pengurusan harta yang patuh syariah di Islamic Legacy Planning Village (ILPV) 2026 di Singapore Expo. Ia dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Singapura (MUIS) bersama penyedia perkhidmatan lain dalam ekosistem ILP.

Berbekalkan ilmu yang ditimba, pengunjung ILPV diharapkan lebih bersedia untuk mengambil langkah seterusnya dalam merancang pengurusan harta pusaka.

Mereka boleh berbuat demikian di Zon Penyiapan (Completion Zone).

Antaranya, mereka boleh mendapatkan keterangan dan bimbingan untuk membuat nominasi bagi akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) serta menetapkan penerima manfaat bagi polisi insurans yang dimiliki mereka.

Namun, jika masih ragu-ragu, pengunjung boleh mendaftar untuk sesi konsultasi bersama pakar seperti peguam, perunding kewangan dan asatizah.

“Semoga ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam membuat perancangan lebih baik untuk masa hadapan, bukan untuk keluarga sahaja, malah legasi yang memberi manfaat kepada masyarakat,” ujar Encik Hafiz.

ISLAMIC LEGACY PLANNING VILLAGE (ILPV) 2026:

– Pelbagai acara menarik, seperti forum dan sesi perbincangan, akan berlangsung dari 10 pagi hingga 6 petang, termasuk forum Masyarakat, Forum Rangkaian Karyawan ILP dan ILPV Marketplace.

– Setiap forum mengenakan yuran $10. Sumbangan ini akan disalurkan untuk menyokong Wakaf Masyarakat Singapura (WMS).

– Marketplace dibuka secara percuma.

– Daftar penyertaan anda melalui https://go.gov.sg/bh-ilpv