Saban tahun, ribuan rakyat Singapura berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah, termasuk sekitar 900 warga yang menunaikan haji bagi melengkapkan rukun Islam kelima mereka.

Persiapan bagi menunaikan kededua ibadah haji dan umrah ini memerlukan individu membuat perancangan awal seperti menghadiri kursus agama, menempah tiket dan lokasi penginapan, bahkan memilih pakej insurans perjalanan bagi memastikan terdapat perlindungan kewangan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

Semua itu dilakukan dengan harapan perjalanan ibadah mereka lancar, diberkati dan pengalaman yang diraih adalah terbaik.

Perancangan Legasi Diketepikan

Namun, satu aspek yang sering terlepas daripada pertimbangan ialah perancangan legasi, khususnya pengurusan harta pusaka dan penyediaan wasiat, sekiranya berlaku kematian.

Perangkaan terkini Majlis Ugama Islam Islam Singapura (Muis) mendedahkan sekitar 60 peratus warga Islam negara ini sedar instrumen pengagihan harta pusaka selain faraid.

Hibah Melengkapi Faraid

Dalam konteks Singapura, walaupun faraid memastikan pembahagian yang adil, ia tidak semestinya memenuhi keperluan semua keluarga moden.

Adakalanya, instrumen pengagihan harta yang diperbolehkan Islam seperti hibah dan wasiat, diperlukan bagi mengelak situasi rumit selepas kematian.

Ini lebih-lebih lagi dalam struktur keluarga yang rencam dan berangkai, seperti mereka yang memiliki anak angkat, anggota keluarga berkeperluan khas yang memerlukan lebih banyak sokongan, ataupun anggota keluarga yang bukan beragama Islam.

Malah, sebahagian aset, seperti wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan agihan insurans, dapat dicairkan dengan lebih mudah, dalam masa beberapa hari sahaja, sekiranya seseorang telah membuat perancangan hibah menerusi nominasi dan menetapkan penerimanya terlebih dahulu.

Ini lebih baik berbanding dibiarkan tanpa nominasi, yang boleh mengambil masa berbulan-bulan lamanya untuk diagihkan, kerana perlu menjalani proses undang-undang yang mungkin memakan masa yang lama.

“Dalam hal sebegini, Pejabat Mufti telah mengeluarkan fatwa yang membolehkan seorang Muslim membuat nominasi bagi wang simpanan CPF dan insuransnya tanpa melanggar syarak.

“Ini atas dasar nominasi itu berbentuk hibah dan seseorang boleh memberikan wang itu sebagai hibah atau hadiah kepada sesiapa sahaja, bukan hanya kepada ahli waris faraid mereka,” jelas Ketua, Unit Pembangunan Perancangan Legasi, Muis, Cik Nur Ayuni Affandi.

Langkah tersebut membolehkan seseorang memanfaatkan instrumen nominasi ini untuk mengagihkan wang CPF atau insurans mereka kepada orang-orang tersayang, yang tidak tersenarai sebagai ahli waris faraid mereka, seperti anak angkat atau ibu bapa yang bukan beragama Islam.

Bahkan, mereka juga boleh mempertimbangkan membuat nominasi kepada institusi masyarakat, seperti masjid, madrasah atau wakaf, antaranya Wakaf Masyarakat Singapura (WMS), sebagai satu peluang sumbangan sedekah jariah, derma yang meraih ganjaran yang berkekalan.

Sediakan Wasiat Yang Sah

Dalam pada itu, Muis turut menggalakkan masyarakat untuk melakarkan wasiat dan menyenaraikan keinginan serta hasrat mereka dengan jelas.

Ini termasuk melantik wasi atau pengamanah yang dipercayai untuk mengagihkan harta mereka, individu yang akan menjaga anak-anak mereka yang masih di bawah umur, dan memberikan arahan serta nasihat terakhir kepada mereka yang tersayang.

Wasiat juga boleh dimanfaatkan untuk mengagihkan sehingga sepertiga harta kepada mereka yang bukan dalam senarai faraid seseorang.

Bagi memastikan wasiat dilakarkan secara sah, Muis menggalakkan masyarakat untuk merujuk laman web Muis yang memberi pencerahan lanjut tentang penulisan wasiat, atau berjumpa dengan mana-mana peguam syariah.

“Hampir setiap minggu, Muis menerima panggilan daripada masyarakat yang menanyakan tentang faraid serta pengagihan harta pusaka.

Sebahagian kes melibatkan pertelingkahan antara keluarga yang tidak bersetuju dengan cara agihan sedia ada.

“Secara am, kebanyakan isu ini dapat disempurnakan dengan aman sekiranya si mati itu telah melaksanakan perancangan legasi yang baik dan mengambil kira semua kepentingan dalam keluarga, serta memastikan aset mereka diagihkan dengan sebaik mungkin,” kata Cik Nur Ayuni.

Tanggungjawab Kepada Orang Tersayang

Dengan status ekonomi masyarakat yang semakin berharta, perancangan ini menjadi lebih penting.

Ia memastikan segala yang kita usahakan sepanjang hidup dapat dimanfaatkan dengan baik, bukan menjadi beban kepada mereka yang kita sayangi.

Hakikatnya, perjalanan jauh seperti haji dan umrah, adalah satu peringatan tentang kehidupan dan kematian.

Maka, perancangan ini bukan sesuatu yang menakutkan, tetapi satu bentuk tanggungjawab terhadap insan tersayang.

Untuk keterangan lanjut berhubung Perancangan Legasi Islam, layari laman web Muis di https://go.gov.sg/mula-rancang

Penulis merupakan Timbalan Pengarah, Dana Masyarakat di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).