Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menggalakkan sifat dermawan sepanjang Ramadan dan Raya

May 17, 2024 | 5:30 AM
Pengasas bersama Projek Sahur 2024, Encik Hilman Hazzwan Hamidan (paling kanan di hadapan, bertopi hitam) semasa taklimat sebelum pengagihan Pek Makanan Sahur kepada 175 keluarga.
Pengasas bersama Projek Sahur 2024, Encik Hilman Hazzwan Hamidan (paling kanan di hadapan, bertopi hitam) semasa taklimat sebelum pengagihan Pek Makanan Sahur kepada 175 keluarga. - Foto PROJEK SAHUR 2024

Yayasan Temasek mencurahkan inspirasi menerusi kolaborasi aktif bersama rakan-rakan kongsi untuk merintis pembinaan komuniti berdaya tahan, saling berhubung serta bersedia pada masa hadapan.

Melalui pelaksanaan dana OSCAR, Yayasan Temasek menyediakan suntikan kewangan kepada pelbagai inisiatif yang menyerlahkan usaha dari bawah untuk memenuhi keperluan inovatif masyarakat pada hari ini. 

Cik Woon Saet Nyoon, Ketua Rangkaian dan Perkongsian Masyarakat Yayasan Temasek berkata: “Dana OSCAR Yayasan Temasek adalah untuk semua rakyat Singapura – individu dan kumpulan, berganding bahu melakukan sesuatu yang baik serta bermanfaat kepada masyarakat. Tiada usaha yang terlalu kecil! OSCAR akan bersama-sama dengan sesiapa sahaja dalam membina budaya penjagaan yang berterusan.”

SEMARAK RAYA BERSAMA PROJEK SAHUR

Projek Sahur 2024, antara penerima dana OSCAR yang membantu keluarga kurang berkemampuan di flat sewa kawasan Kreta Ayer dan Bukit Merah. Inisiatif sokongan berbentuk makanan ini dimulakan oleh pengasasnya, Encik Hilman Hazzwan Hamidan dan bapa saudaranya, Encik Abdul Munawwar Abdul Mutalib sejak 2023 lagi. 

Pada 30 Mac lalu, pasukan projek ini mengagihkan Pek Makanan Sahur seperti kurma, bijiran oat, bubur segera dan teh kepada 175 buah keluarga, bersama tenaga 12 orang pasukan teras dan 20 orang sukarelawan.

Kata Encik Hilman, pasukan mereka turut menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 1 Mei 2024, bersama 60 buah keluarga penerima Pek Makanan Sahur di Kelab Masyarakat (CC) Kreta Ayer.

“Pertama sekali, tujuan pertemuan pihak keluarga di majlis Aidilfitri ini adalah untuk mengeratkan silaturahim dan memberi peluang kepada keluarga penerima merasai lebaran seperti rakyat lain dengan penuh kegembiraan.

“Pasukan kami juga memanfaatkan kemahiran fotografi dengan menawarkan potret percuma kepada 30 buah keluarga yang tinggal di kawasan Kreta Ayer dan Bukit Merah pada akhir April 2024, sekaligus memberi mereka peluang bergambar bersama-sama keluarga untuk Hari Raya, secara profesional sebagai ingatan sepanjang hayat.”

AAVS RAIKAN RAYA BERSAMA MUHAMMADIYAH


Sebuah lagi inisiatif terpilih sebagai penerima dana OSCAR, iaitu Abam Abam Van Singapura (AAVS) kini membina sebuah masyarakat yang menggunakan kenderaan mereka sebagai tujuan amal di Singapura.

Setakat ini, komuniti AAVS yang dibentuk pada 2016, sudah memiliki sekitar 33 sukarelawan, dimana sebahagian besarnya adalah golongan lelaki daripada pelbagai agama dan bangsa di Singapura.

Bagi projek Ramadan dan Raya, pengasas AAVS, Encik Muhammed Freddie Zainal berkata, AAVS mengutamakan kanak-kanak lelaki berusia tujuh hingga 17 tahun yang tinggal di Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) di Pasir Ris untuk memupuk semangat kemasyarakatan, khususnya pada musim perayaan.

Menambah keriangan suasana Raya, aktiviti berbuka puasa dan membeli-belah Raya di bazar Kampong Gelam dengan bajet $50 setiap seorang telah diadakan pada 30 Mac 2024 bersama 20 orang kanak-kanak lelaki dan para sukarelawan AAVS.

Selain itu, para sukarelawan AAVS turut mengatur 30 orang kanak-kanak lelaki untuk perkhidmatan gunting rambut percuma  pada 7 April lalu, di sekitar kawasan tempat letak kereta terbuka di hadapan rumah kebajikan tersebut. 

Lebih menggembirakan lagi, AAVS menyediakan juadah berbuka puasa malam Raya dan penghantaran makanan percuma pada 9 April 2024 kepada 40 buah keluarga rapat belia RKM.

SEDIAKAN JUADAH BERBUKA KEPADA PEKERJA MIGRAN


Antara penerima manfaat dana OSCAR lain iaitu, F-Fry (Free Food Relief and You),  turut aktif menyediakan dapur sosial halal berkos rendah untuk pekerja migran bergaji rendah dari pelbagai negara, termasuk Bangladesh, Thailand, dan China.

Pengasas F-Fry, Encik Faiz Roslan berkata perusahaan sosial ini melancarkan projek iftar tahunan mereka dengan menyediakan juadah berbuka kepada lebih 2,000-3,000 orang pekerja migran semasa bulan Ramadan. 

Pada kali ini, F-fry menyertai dua acara berbuka puasa secara besar-besaran dan dua acara pengagihan makanan kepada pekerja migran yang terpaksa meninggalkan keluarga untuk memperolehi prospek kewangan lebih baik.

“Dengan kempen #RamadhanWithBhaiya, pengagihan makanan iftar kepada para pekerja migran dilaksanakan pada setiap hari Ahad bulan Ramadan di beberapa pusat dormitori seperti di North Coast Lodge serta lain-lain lagi. 

“Dalam salah satu acara iftar beramai-ramai, sebanyak 2,000 pek makanan iftar diagihkan untuk pekerja migran bergaji rendah di Pusat Riadah Cochrane pada 24 April lalu. Lebih 100 orang sukarelawan terlibat dalam menjayakan acara tersebut bersama sokongan Masjid Assyafaah, yang merupakan masjid terdekat dengan pusat riadah di Sembawang itu,” jelas Encik Faiz.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg