Para menteri Asean menegaskan tanggungjawab kolektif mereka untuk melindungi keselamatan dan daya tahan tenaga serantau melalui kerjasama diperkukuh, tindak balas dasar yang tepat pada masanya, dan pendekatan bersama rakan dialog.

Ini setelah para menteri tenaga dan wakil daripada semua anggota negara Asean bertemu secara maya dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Tenaga Asean (AMEM) untuk membincangkan kesan situasi Timur Tengah terhadap keselamatan tenaga serantau dan sejagat pada 27 April.

Mesyuarat itu – dipengerusikan Setiausaha Jabatan Tenaga Filipina, Cik Sharon S. Garin – turut disokong Sekretariat Asean, Pusat Tenaga Asean (ACE) dan Majlis Petroleum dan Tenaga Asean (ASCOPE).

Bagi pihak Singapura, mesyuarat itu dihadiri Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam kenyataannya.

Cik Gan berkata situasi yang sedang berkembang di Timur Tengah mengetengahkan kepentingan kerjasama serantau dalam memperkukuh dan memajukan daya tahan tenaga.

“Singapura akan terus bekerja rapat dengan anggota negara Asean untuk memperkukuh kesediaan, mempelbagaikan sumber tenaga, dan memajukan penyepaduan tenaga serantau.

“Bersama, kita akan berusaha untuk melindungi keselamatan tenaga dan kestabilan ekonomi rantau dalam waktu mencabar ini,” kata beliau.

Mesyuarat tersebut menekankan pentingnya tindakan serantau yang diselaraskan di tengah-tengah perkembangan geopolitik di Timur Tengah, yang menimbulkan risiko kepada pasaran tenaga dan rantaian bekalan, terutamanya minyak dan gas.

Para menteri telah membincangkan potensi impak ke atas pasaran minyak dan gas sejagat, termasuk ketidaktentuan harga dan bekalan.

Mereka turut mengetengahkan kepentingan mengekalkan laluan laut yang selamat dan terbuka demi memastikan aliran bekalan tenaga yang tidak terganggu – penting bagi kestabilan ekonomi serantau.

Selain itu, para menteri menekankan keperluan memperkukuh kesediaan serantau dan mekanisme tindak balas, termasuk pengoperasian Perjanjian Rangka Kerja Asean mengenai Keselamatan Petroleum (APSA).

Mesyuarat tersebut turut memberi tumpuan pada usaha memajukan daya tahan tenaga melalui kepelbagaian sumber tenaga, mempercepatkan pengerahan tenaga boleh diperbaharui, dan meneroka teknologi baru.

Para menteri menegaskan komitmen mereka untuk mempertingkat kerjasama tenaga serantau, termasuk perdagangan tenaga pelbagai pihak dan Grid Kuasa Asean.

Mereka turut mengiktiraf implikasi lebih luas situasi Timur Tengah itu terhadap sistem makanan, pengangkutan, logistik dan kegiatan ekonomi, sambil menekankan pentingnya mengekalkan aliran perdagangan dan pelaburan tanpa halangan.

Ini selain memastikan prasarana perdagangan penting kekal terbuka dan untuk mengelakkan sekatan perdagangan yang tidak wajar.

“Mesyuarat itu diakhiri dengan pendirian ASEAN yang bersatu untuk meningkatkan keselamatan dan daya tahan tenaga menerusi kerjasama dan penyelarasan serantau,” kata MTI dalam kenyataannya.

“Singapura akan terus bekerja rapat dengan anggota negara Asean untuk memperkukuh kesediaan, mempelbagaikan sumber tenaga, dan memajukan penyepaduan tenaga serantau. Bersama, kita akan berusaha untuk melindungi keselamatan tenaga dan kestabilan ekonomi rantau dalam waktu mencabar ini.”
Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang.