Rangkaian pasar raya Sheng Siong sedang berusaha memastikan barangan keperluan kekal dimampui dan mudah diperoleh walaupun berlaku gangguan perdagangan serta peningkatan kos akibat perang Iran.

Perkara itu dinyatakan dalam pemfailan kepada Bursa Saham SGX pada 23 April sebagai jawapan kepada soalan pemegang saham menjelang mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat pada 29 April.

Mengenai sama ada syarikat itu akan menaikkan harga bagi menampung peningkatan kos atau menjangka kekurangan barangan akibat gangguan rantaian bekalan, Sheng Siong berkata:

“Setakat ini, Sheng Siong tidak menjangkakan sebarang gangguan besar yang akan menjejas bekalan barangan keperluan harian.

“Walaupun terdapat tekanan peningkatan kos dan harga barangan, pihak Kumpulan akan terus berusaha memastikan barangan keperluan mudah diperoleh, pada harga yang dimampui dan menarik.”

Syarikat itu menambah, konflik di Timur Tengah telah menyebabkan pengalihan laluan perdagangan, harga tenaga lebih tinggi serta peningkatan kos pengangkutan.

Namun, kesan segera mungkin berpunca daripada peningkatan kos sejagat akibat kenaikan harga bahan api, baja dan pembungkusan, berbanding gangguan bekalan secara langsung.

Sheng Siong berkata ia mengurus risiko itu melalui mempelbagaikan sumbernya dan mendapatkan pembelian langsung, serta mengukuhkan hubungan dengan pembekal di beberapa rantau. Ini membantu syarikat agar tidak bergantung pada satu sumber atau laluan bekalan, jelasnya.

Sheng Siong juga menggariskan kepentingan jenamanya sendiri terhadap margin keuntungan kasarnya, yang mencecah rekod 31.3 peratus pada 2025.

Syarikat itu berkata barangan jenama sendiri merupakan “bahagian yang semakin penting dalam tawaran Kumpulan dan lazimnya memberikan margin keuntungan lebih baik berbanding jenama pihak ketiga”.

Syarikat itu tidak mendedahkan jumlah sumbangan secara tepat daripada jenama sendiri tersebut kerana ia merupakan maklumat sensitif dari segi perniagaan.

Sheng Siong, yang kini mempunyai 28 jenama sendiri dengan lebih 2,000 produk, berkata ia merancang untuk terus mengembangkan rangkaian itu.

Tumpuan akan diberikan kepada segmen dengan permintaan tinggi, nilai jelas kepada pelanggan serta peluang untuk membezakan lagi tawaran kumpulan itu.

Mengenai strategi kedai, Sheng Siong berkata “lebih banyak peluang di pusat beli-belah muncul dalam beberapa tahun kebelakangan ini”, manakala strategi kedainya terus dipandu oleh faktor seperti harga sewa berpatutan dan jumlah penduduk sekitar yang tinggi.

Kedai di pusat beli-belah mungkin menawarkan “campuran produk yang sedikit berbeza bergantung kepada demografi penduduk sekitar dan ruang tersedia”.

“Pembukaan terkini di Leisure Park Kallang, Kinex dan The Cathay menunjukkan pendekatan yang lebih anjal serta menyokong pengembangan di kawasan di mana kehadiran kami terhad,” katanya.

Sheng Siong berkata ia berpuas hati dengan prestasi cawangan di pusat beli-belah sejauh ini dan akan menimbangkan peluang di lebih banyak pusat beli-belah “yang memberikan pulangan menarik”.

Syarikat itu membuka rekod 12 cawangan pada 2025, menjadikan jumlah sebanyak 87.

Sheng Siong berkata ia bercadang mahu menutup dua kedai pada 2026 apabila tempoh pajakan tamat.

Syarikat itu telah mendapatkan pajakan bagi tiga pasar raya baru yang dijangka dibuka pada 2026.

Ia juga telah mengemukakan tender bagi lima lokasi pasar raya Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).