Pelancaran pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan ditangguhkan kepada awal 2027 untuk mempertimbangkan maklum balas yang diberikan oleh pihak Singapura dan memperhalusi dokumen pelan berkenaan, kata Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Sebelum ini, ia telah diumumkan bahawa pelan induk tersebut sepatutnya dilancarkan oleh Perdana Menteri Singapura dan Malaysia semasa Rahat Pemimpin tahunan, yang dijadual diadakan di Ipoh, Malaysia pada 4 hingga 5 Disember.

Encik Akmal menjelaskan bahawa susulan pertemuannya bersama Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, pada 2 November lalu bagi mesyuarat pertama Jawatankuasa Menteri Kerjasama Johor-Singapura (JSCMC), pihak Malaysia telah menyerahkan dokumen pelan induk itu kepada Singapura untuk pertimbangan dan juga persefahaman.

Dari situ, pelan induk tersebut akan diperhalusi semasa Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia akan datang.

“Dokumen pelan induk ini telah pun siap,” kata Encik Akmal dalam wawancara bersama Berita Harian pada 27 November di luar acara Sidang Kemuncak Masa Depan Asia 2026 yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands di Marina Bay Sands.

“...kita menerima maklum balas dari Singapura untuk dokumen berkenaan, dan kita bersetuju untuk mempertimbangkan maklum balas berkenaan dan perkara itu telah pun melalui prosesnya.

“Maka, sewajarnya penyelarasan penuh itu diselesaikan pada rahat tahunan pada minggu hadapan yang mana akan diadakan di Ipoh.

“Dari segi keperluan logistik juga, ianya lebih munasabah untuk pelan induk itu dilancarkan di Johor Bahru ataupun Kuala Lumpur. Jadi ianya lebih kepada mendapatkan komitmen juga untuk masa kedua-dua Perdana Menteri sebolehnya awal tahun hadapan untuk pelancaran,” tambah beliau.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Encik Akmal menambah bahawa sepanjang tahun ini, pelan induk yang bersifat operasi itu bertujuan mengetengahkan proses, peluang, potensi serta nilai projek utama kepada pelabur.

Pada masa sama, mereka mengalu-alukan persefahaman daripada Singapura agar kedua-dua Malaysia dan Singapura dapat bersama-sama menjuarai dokumen tersebut.

Semasa sidang tersebut, Encik Akmal telah memberikan ucapan di mana beliau berkongsi bahawa Singapura menyumbang 61.7 peratus daripada pelaburan yang mengalir masuk ke JS-SEZ, dengan zon berkenaan dijangka mewujudkan peluang bagi sekitar 30,000 pekerjaan.

Walaupun JS-SEZ masih lagi berada di peringkat awal, kemajuannya menawarkan pengajaran berharga kepada Asia dalam ekonomi global yang semakin berpecah belah, di mana sempadan boleh menjadi pintu masuk kepada kemakmuran bersama dan bukannya penghalang kepada pertumbuhan, kata beliau.

“Bagi ekonomi berorientasikan eksport seperti kita, iaitu Malaysia dan Singapura, mengekalkan pasaran terbuka serta rantaian bekalan yang boleh dipercayai merupakan satu keperluan ekonomi,” jelas beliau.

Menarik perhatian bahawa perniagaan global berdepan tekanan berganda daripada risiko geopolitik, ketidaktentuan perdagangan dan tarif, ancaman iklim terhadap jaminan makanan, serta gangguan daripada kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber, beliau menambah:

“Melihat kepada ekonomi global, keadaan menjadi semakin berpecah belah. Namun bagi kita, Malaysia dan Singapura, kita perlu menunjukkan bagaimana kerjasama ekonomi dapat membuka peluang yang lebih besar untuk kedua-dua negara.”

Antara Januari 2025 dengan Jun 2026, zon ekonomi khas itu mencatatkan RM88.83 bilion ($27.8 bilion) dalam pelaburan yang diluluskan.

Didorong oleh momentum ini, pertumbuhan ekonomi Johor telah meningkat daripada 6.5 peratus pada 2024 kepada 8 peratus pada 2025, mengatasi pertumbuhan nasional Malaysia pada 5.2 peratus.

“Ujian bagi perkongsian ini adalah mengenai pelaksanaannya – sejauh mana kerjasama ini diterjemahkan kepada hasil yang nyata,” kata Encik Akmal, sambil menyifatkan angka awal tersebut sebagai sangat memberangsangkan.

Beliau berkata JS-SEZ bukan bertujuan semata-mata untuk memindahkan kegiatan perniagaan dari satu negara ke negara lain, sebaliknya untuk memanfaatkan kekuatan saling melengkapi kedua-dua ekonomi.

“Apa yang perlu kita lakukan adalah menarik pelaburan dan peluang bersama yang tidak dapat diraih dengan berkesan oleh mana-mana ekonomi secara bersendirian,” tekan beliau.

Bagi Singapura, Encik Akmal berkata zon itu menawarkan ruang untuk pengembangan perniagaan, akses kepada kawasan pedalaman ekonomi yang lebih luas serta kepelbagaian rantaian bekalan.

Bagi Malaysia pula, ia membuka peluang untuk menarik pelaburan bernilai lebih tinggi, mengukuhkan penyertaan industri tempatan, membangunkan keupayaan bakat dan teknologi, serta mencipta pekerjaan bermutu.

Encik Akmal menambah bahawa apa yang membezakan JS-SEZ adalah pendekatan rentas sempadannya yang menggalak operasi perniagaan saling melengkapi di kedua-dua belah sempadan dengan mengurangkan halangan peraturan dan pentadbiran, memudahkan pergerakan orang ramai, barangan serta modal, selain mengukuhkan rantaian nilai rentas sempadan.

Menyorot asas ekonomi Malaysia yang berdaya tahan, Encik Akmal berkata ekonomi negara itu berkembang 5.6 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026 dan berada di landasan untuk melebihi 5 peratus bagi keseluruhan tahun, dengan inflasi kekal stabil pada 1.8 peratus dan pengangguran suku ketiga pada 3 peratus.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, Putrajaya memberi tumpuan kepada empat bidang saling berkaitan – pembuatan termaju, reka bentuk semikonduktor dan pembungkusan termaju, penggunaan AI dan transformasi digital, serta tenaga bersih dan industri hijau.

“Nilai pelaburan diukur berdasarkan apa yang ditinggalkannya: pembekal tempatan yang lebih kukuh, keupayaan lebih mendalam, produktiviti lebih tinggi dan pekerjaan lebih baik,” kata beliau.