Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenteri M’sia: S’pura sumbang 61.7% pelaburan JS-SEZ
Zon Ekon Khas Johor-S’pura dijangka cipta 30,000 pekerjaan
Menteri M’sia: S’pura sumbang 61.7% pelaburan JS-SEZ
Singapura menyumbang 61.7 peratus daripada pelaburan yang mengalir masuk ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dengan zon berkenaan dijangka mewujudkan peluang bagi sekitar 30,000 pekerjaan, kata Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir, pada 27 November.
Walaupun JS-SEZ masih lagi berada di peringkat awal, kemajuannya menawarkan pengajaran berharga kepada Asia dalam ekonomi global yang semakin berpecah belah, di mana sempadan boleh menjadi pintu masuk kepada kemakmuran bersama dan bukannya penghalang kepada pertumbuhan, kata beliau.
Berucap di Sidang Kemuncak Masa Depan Asia 2026 yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands, Encik Akmal berkata:
“Bagi ekonomi berorientasikan eksport seperti kita, iaitu Malaysia dan Singapura, mengekalkan pasaran terbuka serta rantaian bekalan yang boleh dipercayai merupakan satu keperluan ekonomi.”
Menarik perhatian bahawa perniagaan global berdepan tekanan berganda daripada risiko geopolitik, ketidaktentuan perdagangan dan tarif, ancaman iklim terhadap jaminan makanan, serta gangguan daripada kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber, beliau menambah bahawa:
“Melihat kepada ekonomi global, keadaan menjadi semakin berpecah-belah.
“Namun bagi kita, Malaysia dan Singapura, kita perlu menunjukkan bagaimana kerjasama ekonomi dapat membuka peluang yang lebih besar untuk kedua-dua negara.”
Antara Januari 2025 dengan Jun 2026, zon ekonomi khas itu mencatatkan RM88.83 bilion ($27.8 bilion) dalam pelaburan yang diluluskan.
Didorong oleh momentum ini, pertumbuhan ekonomi Johor telah meningkat seganda daripada 4 peratus kepada 8 peratus, jauh melebihi purata nasional Malaysia sebanyak 5.2 peratus.
“Ujian bagi perkongsian ini adalah mengenai pelaksanaannya – sejauh mana kerjasama ini diterjemahkan kepada hasil yang nyata,” kata Encik Akmal, sambil menyifatkan angka awal tersebut sebagai sangat memberangsangkan.
Beliau berkata JS-SEZ bukan bertujuan semata-mata untuk memindahkan kegiatan perniagaan dari satu negara ke negara lain, sebaliknya untuk memanfaatkan kekuatan saling melengkapi kedua-dua ekonomi.
“Apa yang perlu kita lakukan adalah menarik pelaburan dan peluang bersama yang tidak dapat diraih dengan berkesan oleh mana-mana ekonomi secara bersendirian,” tekan beliau.
Bagi Singapura, Encik Akmal berkata zon itu menawarkan ruang untuk pengembangan perniagaan, akses kepada kawasan pedalaman ekonomi yang lebih luas serta kepelbagaian rantaian bekalan.
Bagi Malaysia pula, ia membuka peluang untuk menarik pelaburan bernilai lebih tinggi, mengukuhkan penyertaan industri tempatan, membangunkan keupayaan bakat dan teknologi, serta mencipta pekerjaan bermutu.
Encik Akmal menambah bahawa apa yang membezakan JS-SEZ adalah pendekatan rentas sempadannya yang menggalak operasi perniagaan saling melengkapi di kedua-dua belah sempadan dengan mengurangkan halangan peraturan dan pentadbiran, memudahkan pergerakan orang ramai, barangan serta modal, selain mengukuhkan rantaian nilai rentas sempadan.
Menyorot asas ekonomi Malaysia yang berdaya tahan, Encik Akmal berkata ekonomi negara itu berkembang 5.6 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026 dan berada di landasan untuk melebihi 5 peratus bagi keseluruhan tahun, dengan inflasi kekal stabil pada 1.8 peratus dan pengangguran suku ketiga pada 3 peratus.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, Putrajaya memberi tumpuan kepada empat bidang saling berkaitan – pembuatan termaju, reka bentuk semikonduktor dan pembungkusan termaju, penggunaan AI dan transformasi digital, serta tenaga bersih dan industri hijau.
“Nilai pelaburan diukur berdasarkan apa yang ditinggalkannya: pembekal tempatan yang lebih kukuh, keupayaan lebih mendalam, produktiviti lebih tinggi dan pekerjaan lebih baik,” kata beliau.