Untuk kali kedua, Masjid Alkaff Kampung Melayu akan menganjurkan secara besar-besaran “Majlis Maulidur Rasul saw: Warisan Cinta” sebelum bermula kerja peningkatannya.
“Maulid adalah perayaan tahunan bagi meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad saw, tanda bersyukur atas nikmat Tuhan mendatangkan seorang utusan yang diberi gelaran Nabiy-ur Rahmah,” jelas Ketua Dakwah, Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustaz Sheikh Umar Abdul Aziz.
Menurutnya, majlis ini mempunyai makna kerohanian yang besar bagi umat Islam. Ini kerana ia memberikan peluang merenung kembali kehidupan Nabi yang dikasihi, mengenal keperibadian yang patut diteladani, serta tunjuk ajarnya yang berteraskan cinta, kasih dan keharmonian.
“Di Singapura, majlis Maulid dianjurkan tiap tahun, namun apakah bentuk nilai yang sudah diterapkan pada jiwa orang yang mengaku beriman? Majlis kali ini bertujuan memberi jemaah sesuatu yang di luar buku teks. Ia akan memberi satu pengalaman yang tidak akan dilupakan, insya-Allah,” jelas Ustaz Sheikh Umar lagi.
Sesuai dengan temanya tahun ini iaitu ‘Meraikan Institusi Keluarga’, majlis penuh keberkatan ini dipenuhi dengan acara dan kegiatan untuk semua lapisan masyarakat.
Antaranya forum keluarga tentang perkahwinan, pertandingan fotografi, pertandingan mewarna, acara untuk Muslimah iaitu ‘Rahsia Hati Muslimah’, pengalaman realiti maya, sesi bercerita untuk kanak-kanak, istana ambul (‘bouncy castle’), acara lawatan di persekitaran Masjid Alkaff, serta 12 reruai yang menarik.
Selain itu, Ustaz Sheikh Umar menerangkan majlis Maulid ini diadakan agar masyarakat dapat mengambil pelajaran daripada kehidupan berkeluarga Nabi saw.
Majlis ini juga bertujuan memartabatkan ajaran baginda yang berhemah lagi berlemah lembut ketika berinteraksi dengan ahli keluarganya. Ia juga mempamerkan kebijaksanaan baginda memainkan peranannya sebagai suami dan ayah.
Majlis ini akan memberikan peluang kepada jemaah pendedahan kepada erti ketenteraman dan bahagia yang dicari dalam rumahtangga.
“Usaha dan peranan sepasang suami isteri adalah berlandaskan iman dan takwa. Pada akhir jalan nanti, menuju reda Allah,” tambah Ustaz Sheikh Umar tentang keharmonian dalam keluarga sakinah (tenteram), mawaddah (mengasihi) dan rahmah (menyayangi) yang dapat dipelajari daripada baginda.
“Majlis Maulidur Rasul saw: Warisan Cinta” akan diadakan pada Sabtu dan Ahad, 28 dan 29 September 2024 (bersamaan 24 dan 25 Rabiulawal 1446H) pada 9 pagi hingga 6 petang di Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg