Ruang gaya hidup Mercedes-Benz Studio pertama di Asia Tenggara telah dilancarkan di Singapura pada hari 20 Ogos, bersama sebuah kenderaan elektrik (EV) baharu untuk negara ini.

Terletak di SG50 Lattice, lokasi itu akan dibuka kepada orang ramai mulai 2 September dan dirancang untuk menduduki ruang tersebut selama setahun. Ia dibuka pada Rabu dan Khamis dari 4 hingga 10 malam, serta Jumaat hingga Ahad dari 8 pagi hingga 8 malam.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mercedes-Benz Singapore, Encik Marcel Luis Mustelier Perez, memberitahu The Business Times (BT): “Menerusi Studio, kami menghidupkan jenama Mercedes-Benz untuk pelanggan dan peminat kami. Kami mahu mencipta acara-acara dan menampilkan rakan jenama yang relevan kepada orang ramai, serta selaras dengan tema ‘Welcome Home’.” 

‘Welcome Home’ merupakan inisiatif global jenama itu meraikan ulang tahunnya yang ke-140.

Selain menampilkan kenderaan daripada jenama itu, Mercedes-Benz Studio Singapore akan mempunyai pelbagai aktiviti hasil kerjasama dengan syarikat dan organisasi tempatan. Sebuah kafe juga terletak di lokasi tersebut.

Acara pertama di ruang itu ialah ‘Community Weekend’ pada 29 dan 30 Ogos, yang akan menampilkan adidas Run Club, jenama basikal Rapha, bengkel kreatif dan aktiviti-aktiviti lain.

Satu-satunya Studio di Asia Tenggara

Mercedes-Benz Studios merupakan satu rangkaian ruang gaya hidup dan runcit separa kekal yang terletak di bandar utama di seluruh dunia.

Ia adalah satu inisiatif syarikat itu untuk memperluas jenamanya dengan ruang runcit dan budaya di luar bilik pameran automotif konvensional.

Studio pertama, di Odeonsplatz, Munich, yang terkenal di Jerman, dibuka pada 2020. Terdapat 12 lagi Studio di seluruh dunia, dengan enam berada di Asia-Pasifik — New Delhi, Seoul, Shanghai, Sydney, Taipei dan Tokyo.

Sementara sesetengah Studio menampilkan runcit kereta bersama inisiatif gaya hidup, versi di Singapura memberi tumpuan kepada aspek gaya hidup dan tidak mempunyai kakitangan jualan di lokasi tersebut.

Pada pelancaran debut Studio itu pada 20 Ogos, Mercedes-Benz turut memperkenalkan sebuah EV baharu, GLC 400 4Matic Electric — varian elektrik sepenuhnya yang pertama bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) bersaiz sederhana.

Mercedes-Benz melancarkan sebuah kenderaan elektrik (EV) baharu, GLC 400 4Matic Electric, untuk Singapura pada 20 Ogos.
Mercedes-Benz melancarkan sebuah kenderaan elektrik (EV) baharu, GLC 400 4Matic Electric, untuk Singapura pada 20 Ogos. - Foto BT

Kereta itu mempunyai kuasa 360 kilowatt (kW) dan jarak perjalanan yang disebut sehingga 687 kilometer. Sebuah sistem pengecasan 800 volt membolehkan pengecasan pantas sehingga 330 kW, dengan keupayaan menambah lebih 300 kilometer jarak perjalanan dalam masa 10 minit pengecasan.

Harga bermula pada $378,888 dengan Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE).

Encik Perez menambah bahawa jenama itu akan memperkenalkan pelbagai produk baharu ke Singapura dalam beberapa bulan akan datang, termasuk penggantian untuk model popular seperti sedan C-Class, serta SUV GLA dan GLB.