Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Meta kena arahan Pofma berhubung isu edar dadah, hukuman mati

MHA: Beberapa individu siar semula kenyataan palsu asalnya dimuat naik Transformative Justice Collective
Nov 5, 2024 | 3:29 PM
Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, telah mengarahkan pejabat Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (Pofma) supaya mengeluarkan Arahan Pembetulan yang Disasarkan (TCD) kepada Meta selepas beberapa individu menyiarkan semula kenyataan palsu mengenai cara pemerintah mendakwa dan menghukum pengedar dadah.
Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, telah mengarahkan pejabat Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (Pofma) supaya mengeluarkan Arahan Pembetulan yang Disasarkan (TCD) kepada Meta selepas beberapa individu menyiarkan semula kenyataan palsu mengenai cara pemerintah mendakwa dan menghukum pengedar dadah. - Foto fail

Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, telah mengarahkan pejabat Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (Pofma) supaya mengeluarkan Arahan Pembetulan yang Disasarkan (TCD) kepada Meta selepas beberapa individu menyiarkan semula kenyataan palsu mengenai cara pemerintah mendakwa dan menghukum pengedar dadah.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), dalam satu kenyataan pada 5 November, berkata beberapa individu telah menyiarkan semula kenyataan palsu yang asalnya dimuat naik oleh Transformative Justice Collective (TJC) pada 2 Oktober.

Hantaran yang disiarkan semula pada 23 dan 24 Oktober itu tidak disertakan dengan notis pembetulan yang telah dikeluarkan kepada TJC sebelum ini pada 5 Oktober.

“MHA maklum terdapat 10 hantaran Facebook dan 30 hantaran Instagram yang dibuat oleh beberapa individu pada 23 dan 24 Oktober, yang menyiarkan semula kenyataan palsu yang dibuat TJC pada 2 Oktober.

“Dengan menyiarkan semula hantaran TJC pada 23 dan 24 Oktober, individu-individu tersebut memilih menyebarkan kepalsuan yang mereka tahu atau sepatutnya tahu mengandungi kenyataan palsu,” kata MHA, yang tidak menamakan individu yang menyiarkan semula kepalsuan itu.

Dengan arahan pembetulan itu, Meta, yang memiliki Facebook dan Instagram, dikehendaki memaklumkan pengguna yang melihat hantaran yang disiarkan semula itu bahawa ia mengandungi kenyataan palsu.

Pengguna juga mesti diberikan pautan kepada penjelasan pemerintah, yang bertajuk, ‘Pembetulan mengenai kenyataan palsu mengenai proses undang-undang untuk banduan yang menunggu hukuman mati dan pendakwaan tuduhan mengedar dadah’.

“Penjelasan itu menetapkan kepalsuan dan fakta untuk diteliti orang ramai, tanpa memerlukan hantaran asal dibuang.

“Pembaca boleh membaca kedua-dua catatan asal dan fakta, dan membuat keputusan sendiri apa yang benar,” kata MHA.

Arahan pembetulan yang dikeluarkan pada 5 November itu adalah yang terbaru oleh MHA berikutan artikel yang disiarkan oleh TJC dan aktivis Kokila Annamalai, 36 tahun, pada 2 Oktober.

Dalam artikel itu, kedua-dua TJC dan Kokila telah membuat kenyataan palsu berhubung penjadualan hukuman mati di Singapura, dan pendakwaan tuduhan pengedaran dadah.

Bagi kenyataan palsu itu, MHA telah mengeluarkan Arahan Pembetulan pada 5 Oktober, yang hanya dipatuhi TJC pada 6 Oktober, tapi tidak dipatuhi oleh Kokila.

Disebabkan ketidakpatuhannya, Encik Shanmugam telah mengarahkan Pejabat Pofma supaya mengeluarkan TCD kepada Meta dan X Corp pada 11 Oktober.

Kokila juga dirujuk ke pejabat Pofma untuk disiasat kerana gagal mematuhi Arahan Pembetulan yang dikeluarkan kepadanya pada 5 Oktober.

MHA berkata pada 31 Oktober bahawa Kokila memilih untuk tidak mematuhi Arahan Pembetulan yang dikeluarkan pada 5 Oktober meskipun berulang kali diberikan peringatan.

Dia juga tidak mencabar perintah pembetulan di mahkamah, walaupun dia berhak berbuat demikian jika dia percaya dia tidak mengeluarkan sebarang kepalsuan, kata MHA.

Di bawah Pofma, individu yang didapati salah gagal mematuhi arahan pembetulan tanpa alasan munasabah boleh didenda sehingga $20,000, penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali.

Individu yang disabitkan kesalahan menyampaikan kenyataan fakta palsu boleh didenda sehingga $50,000, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg