Belia di Singapura perlu terus membina kemahiran celik digital yang diperlukan untuk melayari ruang dalam talian secara selamat dan berdikari.

Ini meskipun platform media sosial kini giat mempertingkatkan langkah keselamatan bagi pengguna muda.

Perkara tersebut antara intipati yang diutarakan Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, semasa sesi perbincangan panel mengenai cara remaja, ibu bapa dan pendidik boleh mendorong lebih perbincangan terbuka terhadap keselamatan dalam talian sempena pelancaran pameran Digital Dialogue IRL oleh syarikat Meta pada 25 Jun.

Meta adalah syarikat induk platform media sosial utama seperti Instagram dan Facebook.

Acara yang dihadiri sekitar 100 pencipta kandungan, pengetua sekolah, ibu bapa serta pelajar itu berlangsung di Temasek Shophouse di Dhoby Ghaut.

Cik Rahayu disertai beberapa pakar lain semasa sesi perbincangan tersebut.

Ia termasuk kapten pasukan polo air kebangsaan lelaki, Lee Kai Yang; pencipta kandungan dan pelakon, Nurul Aini Abdul Rahim; dan naib pengetua Sekolah Menengah Damai, Cik Premlatha Selvaraj.

Ketua Dasar Awam di Meta, Encik Daniel Lim, mengendalikan perbincangan tersebut.

Mengulas lebih lanjut pertanyaan mengenai kemahiran yang wajar diterapkan dalam kalangan belia bagi melayari ruang digital secara selamat, Cik Rahayu berkata:

“Belia kita perlu terus meningkatkan tahap celik digital mereka, meskipun ramai sudah pun biasa dan selesa mengemudi ruang siber.

“Sebagai contoh, mereka perlu memahami bagaimana algoritma berfungsi serta kesannya terhadap pengalaman mereka di dalam talian.

“Pemahaman yang kukuh tentang alat digital sedemikian amat penting bagi membolehkan golongan muda mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat secara berdikari.

“Belia kita juga perlu mempunyai keyakinan dan nilai yang kukuh untuk mengenal pasti kandungan yang bernilai,” tambah Cik Rahayu.

Walaupun beliau mengakui perkara itu “sedikit mencabar” untuk dicapai, belia perlu membina keupayaan mengenal pasti kandungan hasil kecerdasan buatan (AI), penipuan dan juga nilai sebenar jumlah ‘likes’ di platform media sosial dan selainnya.

Dalam pada itu, Cik Rahayu menekankan pihak pemerintah, ibu bapa, pihak sekolah, pengendali platform dan masyarakat meluas perlu bekerjasama bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.

Selain undang-undang serta pelbagai usaha pihak kementerian dan masyarakat, inisiatif seperti acara Digital Dialogue IRL penting dalam membantu belia membuat penilaian mereka sendiri menerusi perbualan terbuka bersama orang dewasa yang boleh dipercayai, ujar Cik Rahayu.

Pameran Digital Dialogue IRL bertujuan mendorong golongan remaja berusia 13 hingga 18 tahun, ibu bapa, pendidik, serta masyarakat untuk berbincang tentang isu keselamatan siber, amalan media sosial, dan kesejahteraan di ruang digital.

Dianjurkan dengan kerjasama studio ilustrasi tempatan, EYEYAH!, pameran itu menggunakan kad perbualan visual menarik, permainan mudah, soalan panduan dan skrin interaktif untuk mencetus renungan mengenai pelbagai isu di ruang digital

Ia meliputi beberapa topik utama, termasuk tempoh penggunaan alat digital, amalan perbandingan antara satu sama lain, memahami alat-alat mengawal kandungan, tekanan rakan sebaya, gejala buli siber serta kepentingan mengimbangi dunia siber dengan dunia bersemuka.

Pameran tersebut juga mendidik ibu bapa dan remaja kepada ciri keselamatan dalam ‘Akaun Remaja’ di Instagram, Facebook dan Messenger.

‘Akaun Remaja’ berusia 13 tahun atau lebih menyekat kandungan sensitif dan tidak boleh dilonggarkan tanpa pengesahan ibu bapa.

Orang awam boleh mengunjungi pameran tersebut dari 25 Jun hingga 31 Julai di Temasek Shophouse secara percuma.

Pameran ‘Digital Dialogue IRL’  menampilkan beberapa reruai interaktif termasuk kad perbualan visual menarik, permainan mudah, soalan panduan dan skrin interaktif untuk mencetus renungan mengenai pelbagai isu di ruang digital.
Pameran ‘Digital Dialogue IRL’ menampilkan beberapa reruai interaktif termasuk kad perbualan visual menarik, permainan mudah, soalan panduan dan skrin interaktif untuk mencetus renungan mengenai pelbagai isu di ruang digital. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Pelancaran pameran tersebut berdasarkan siri bengkel anjuran EYEYAH!, yang melibatkan 304 pelajar berusia 13 hingga 14 tahun, dari Sekolah Menengah Damai dan Sekolah Menengah Tanjong Katong.

Menerusi sesi perbincangan dan penceritaan, para pelajar telah mendalami pelbagai isu penting berkaitan kesejahteraan digital serta pembentukan identiti dalam talian.

Antara hasil utama yang dicatat menerusi bengkel tersebut termasuk peningkatan pemahaman pelajar sebanyak 19 peratus terhadap ciri-ciri keselamatan di Akaun Remaja Instagram masing-masing - daripada 52 peratus kepada 71 peratus.

Pencipta Kandungan, pelakon dan ibu, Nurul Aini Abdul Rahim (tengah), berkongsi pengalaman semasa sesi perbincangan “Membuka Ruang Dialog: Bagaimana sekolah, masyarakat mampu perkasa belia kemudi dunia siber” semasa majlis pelancaran pameran “Digital Dialogue IRL” oleh Meta dengan kerjasama EYEYAH! pada 25 Jun.
Pencipta Kandungan, pelakon dan ibu, Nurul Aini Abdul Rahim (tengah), berkongsi pengalaman semasa sesi perbincangan “Membuka Ruang Dialog: Bagaimana sekolah, masyarakat mampu perkasa belia kemudi dunia siber” semasa majlis pelancaran pameran “Digital Dialogue IRL” oleh Meta dengan kerjasama EYEYAH! pada 25 Jun. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Antara ahli panel ialah pencipta kandungan dan pelakon, Nurul Aini, yang juga seorang ibu tiga anak, termasuk dua remaja.

Beliau menyambut baik ciri-ciri keselamatan yang dilancarkan Meta.

“Sejujurnya, sebagai ibu bapa, kita tidak selalu dapat memantau segala kandungan yang didedahkan kepada anak-anak kita. Saya lega terdapat ciri-ciri keselamatan baru yang dapat meringankan tugas itu,” kata pelakon dan pempengaruh berusia 44 tahun itu.

Sementara itu, beliau menekankan kepentingan ibu bapa sering melibatkan anak-anak remaja dalam perbincangan terbuka agar mereka dapat mengemudi pelbagai cabaran di ruang digital.

“Sebagai seorang pencipta kandungan, saya tidak menyangka akan berasa bimbang apabila anak-anak saya mula bertanya soalan tentang jumlah tanda suka dan pengikut di media sosial.

“Memandangkan saya sendiri sering berdepan pelbagai gejala di media sosial, saya memilih untuk berkongsi pengalaman saya secara jujur.

“Ini bagi membantu mereka memahami bahawa terdapat pelbagai aspek negatif dalam dunia siber yang mereka perlu tangani dengan bijak,” kongsi Nurul Aini.

Pencipta Kandungan, pelakon dan ibu, Nurul Aini Abdul Rahim, antara panelis di sesi perbincangan ‘Membuka Ruang Dialog: Bagaimana sekolah, masyarakat mampu perkasa belia kemudi dunia siber’ semasa majlis pelancaran pameran ‘Digital Dialogue IRL’ oleh Meta dengan kerjasama EYEYAH! pada 25 Jun.
Pencipta Kandungan, pelakon dan ibu, Nurul Aini Abdul Rahim, antara panelis di sesi perbincangan ‘Membuka Ruang Dialog: Bagaimana sekolah, masyarakat mampu perkasa belia kemudi dunia siber’ semasa majlis pelancaran pameran ‘Digital Dialogue IRL’ oleh Meta dengan kerjasama EYEYAH! pada 25 Jun. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL