MEXICO CITY: Melabur dalam memperkukuh hubungan dengan Mexico merupakan sebahagian usaha Singapura untuk mempelbagaikan rangkaiannya dalam dunia tidak menentu.
Ini dengan negara Amerika Latin itu menawarkan pelbagai peluang ekonomi, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam, pada 3 Disember.
Meskipun negara seperti Mexico berhasrat untuk bekerjasama dengan Singapura dan memberi penghormatan tinggi kepadanya, negara ini juga perlu bersikap rendah hati dan sedar ia turut meraih manfaat daripada perkongsian sedemikian, kata Tuan Presiden ketika menamatkan lawatan negaranya bagi 2025.
“Oleh itu, apabila kita bercakap tentang bekerjasama dengan Mexico atau mana-mana negara, kita juga membicarakan tentang aliran dua hala (dalam aspek) pengetahuan, kepakaran dan idea, yang turut mengukuhkan Singapura,” tambah beliau.
Bercakap kepada wartawan pada hari terakhir lawatan empat hari beliau ke Mexico, Tuan Presiden berkata kepelbagaian Mexico menawarkan akses pasaran untuk produk eksport Singapura serta sokongan terhadap keselamatan makanan.
Negara itu juga menawarkan pelbagai idea daripada kumpulan bakat yang luas dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.
Antara negara lain yang dilawati Tuan Presiden pada 2025 termasuk India, Mesir, Belgium dan Luxembourg, lapor The Straits Times (ST).
Ketidakstabilan sejagat dijangka berterusan untuk seketika, kata Tuan Presiden.
“Namun hubungan dua hala lebih kukuh, serta hubungan lebih erat antara rantau, merupakan salah satu cara kita membina daya tahan dalam dunia yang tidak stabil.”
Sepanjang lawatan Tuan Presiden ke Mexico, beliau bertemu dengan pemimpin perniagaan serta gabenor setiap negeri.
“Wujud semangat yang tinggi untuk memperkukuh hubungan Singapura-Mexico. Masyarakat niaga kedua-dua negara juga memainkan peranan penting dalam hubungan ini,” jelas beliau.
“Perniagaan di Mexico menunjukkan minat mendalam untuk bekerjasama dengan Singapura. Peluang di Mexico juga luas,” tambah beliau.
Encik Tharman menekankan hubungan Singapura-Mexico bermula lama sebelum hubungan rasmi ini terjalin pada 1975.
Kedua-dua wilayah Asia dan Amerika Latin pernah dijalinkan melalui laluan perdagangan Manila Galleon dari 1565 hingga 1815.
Kemudian, syiling perak Mexico banyak dieksport ke seluruh Asia pada 1800-an.
Menurut Tuan Presiden, kini, terdapat peluang mewujudkan laluan baru merentasi Pasifik, merujuk kepada peluang perdagangan dan pelaburan dalam bidang seperti perniagaan pertanian, perkilangan maju, tenaga bersih, pelabuhan dan prasarana, serta transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI).
“Perkara yang terserlah dalam pertemuan kami ialah hasrat untuk mewujudkan semula… aliran perdagangan dan pelaburan, serta aliran idea dan penduduk merentasi Pasifik,” kata beliau.
Walaupun Mexico secara umum kelihatan seperti negara membangun dengan banyak kegiatan berkemahiran rendah dan sederhana, ia sebenarnya mempunyai pusat-pusat yang jauh lebih maju dan canggih.
Di situlah, mereka melihat peluang untuk saling melengkapi dalam bekerjasama dengan Singapura, kata Tuan Presiden.
Tuan Presiden menambah Singapura mempunyai kepakaran dalam perkilangan maju, logistik dan kewangan, manakala beberapa negeri di Mexico merupakan hab bagi perkilangan automotif dan industri berat serta pengeluaran semikonduktor.
Perniagaan Singapura melihat Mexico sebagai pintu masuk ke pasaran Amerika Utara dan Amerika Latin, manakala perniagaan Mexico melihat Singapura sebagai pintu masuk ke Asia Tenggara dan kawasan lain di Asia, kata beliau.
“Justeru, kedua-dua negara mendapat manfaat daripada laluan baru merentasi Pasifik yang sedang kita wujudkan,” kata Tuan Presiden.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg