MEXICO CITY: Singapura akan membuka kedutaan di Mexico City pada 2026, menandakan hubungan semakin erat antara kedua-dua negara.
Presiden Tharman Shanmugaratnam mengumumkan perkara itu pada 2 Disember semasa lawatan negara pertamanya ke Mexico dan juga Amerika Latin.
“Keputusan ini mencerminkan keyakinan Singapura terhadap masa depan Mexico dan akan membolehkan kami berinteraksi dengan pemimpin, pegawai serta masyarakat niaga dan budaya Mexico dengan lebih aktif dan mendalam,” kata Tuan Presiden kepada media dalam satu sidang bersama Presiden Mexico, Cik Claudia Sheinbaum, di Istana Negara yang terletak di ibu kota Mexico itu.
Misi diplomatik Mexico ini akan menjadi kedutaan pertama Singapura di negara berbahasa Sepanyol dan kedua di Amerika Latin, selepas membuka kedutaan di Brazil pada 2012, lapor The Straits Times (ST).
Langkah ini menyusuli pengumuman Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada November (2025), mengenai pembukaan kedutaan baru di ibu kota Habsyah, Addis Ababa, menjelang 2027.
Ia juga usaha yang dilaksanakan selepas Encik Wong menyatakan pada April (2025) tentang rancangan Singapura membuka misi diplomatik baru di Afrika dan Amerika Latin dalam beberapa tahun mendatang.
Kedua-dua Presiden Tharman dan Cik Sheinbaum membuat kenyataan itu selepas menyaksikan majlis menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MOU).
MOU pertama yang tertumpu pada kerjasama dalam pembangunan antarabangsa, akan membolehkan kedua-dua negara menggalak pembangunan ekonomi dan sosial di negara membangun melalui sumber manusia, kewangan dan teknikal yang saling melengkapi.
Manakala, MOU kedua merangkumi kerjasama dalam pemulihan terumbu karang serta pembangunan ekonomi biru yang mampan.
Ekonomi biru mampan menggunakan sumber laut untuk pembangunan ekonomi sambil memastikan kesihatan ekosistem marin.
“Kedua-dua negara berkongsi komitmen terhadap masa depan lebih baik, yang menjadi asas hubungan yang semakin erat,” kata Tuan Presiden, sambil menekankan pertumbuhan hubungan ekonomi dan budaya antara kedua-dua negara.
Beliau menambah ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Singapura dan Mexico ini menjadi titik permulaan bagi era baru dalam hubungan kedua-dua negara.
Singapura mula menjalin hubungan diplomatik dengan Mexico pada Disember 1975.
Lawatan negara ini berlangsung dalam suasana perubahan dan ketidakpastian sejagat, dengan sistem antarabangsa berasaskan peraturan yang semakin lemah serta rantaian bekalan yang kian berubah.
Dalam konteks ini, hubungan antara Singapura dan Mexico menjadi lebih penting, kata Tuan Presiden.
“Lebih-lebih lagi pada masa sebegini, kita perlu membina daya tahan dan mewujudkan peluang baru dengan mempelbagaikan rangkaian ekonomi kita, terutamanya melalui pelaburan dalam perkongsian dua hala yang dipercayai, membentuk pakatan antarabangsa baru yang bercita-cita tinggi, serta dengan memperbaharui kerangka pelbagai hala yang kita semua perlukan,” tambah Tuan Presiden.
Cik Sheinbaum pula menyambut baik pengumuman mengenai pembukaan kedutaan baru Singapura di Mexico City.
Dengan langkah itu, Mexico kini akan mempunyai 87 kedutaan tetap, sebagai tanda peningkatan minat antarabangsa terhadap negara itu, tambah beliau.
Singapura jarang membuka misi luar negara baru, dengan kedutaan terbaru dibuka di Timor-Leste pada 2024, Israel pada 2022, dan Oman pada 2013.
Singapura melantik Duta Bukan Bermastautin tetap pertama ke Mexico, Encik Lee Ying Cheun, pada 1997, manakala Duta Bukan Bermastautin tetap semasa, Encik Balendran Singham, dilantik pada Oktober 2022.
Singapura juga mempunyai konsulat kehormat di Mexico City.
Kedutaan sebegini merupakan misi diplomatik utama sesebuah negara, biasanya terletak di ibu negara.
Singapura mempunyai beberapa Duta Bukan Bermastautin yang mewakili Singapura di negara tanpa kedutaan tetap.
Mereka dilantik oleh Pemerintah dan datang daripada pelbagai latar belakang, termasuk sektor swasta dan akademik.
Lawatan Tuan Presiden ke Mexico berakhir pada 3 Disember.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg