Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura pada 25 November menasihatkan rakyat Singapura supaya mengelakkan perjalanan ke wilayah Songkhla di selatan Thailand dan kawasan terjejas lain selagi banjir berterusan.
Menurut MFA, keadaan banjir di Hat Yai, sebuah daerah dalam wilayah tersebut, masih buruk.
Semua 16 daerah di Songkhla telah diisytiharkan sebagai zon bencana, dengan Hat Yai paling teruk terjejas.
MFA menambah bahawa banjir dijangka berlarutan.
“Rakyat Singapura di kawasan terjejas dinasihatkan agar berwaspada, memantau perkembangan dan berita tempatan dengan teliti serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan,” ujar MFA, lapor The Straits Times (ST).
Rakyat Singapura digalakkan mendaftar dengan kementerian secara dalam talian di pautan, https://eregister.mfa.gov.sg.
Penduduk di selatan Thailand berdepan banjir paras pinggang pada 25 November selepas beberapa hari hujan lebat, menenggelamkan rumah dan hotel serta mengakibatkan sekurang-kurangnya 13 kematian, lapor agensi berita, AFP.
Jabatan meteorologi meramalkan lebih banyak hujan dan kemungkinan banjir kilat minggu ini.
Hujan lebat sejak akhir minggu lalu menenggelamkan pusat pelancongan Hat Yai dan kawasan selatan, menyebabkan 13 kematian di empat wilayah terjejas banjir, tambah jabatan pencegahan dan mitigasi bencana.
Lebih 1,200 penduduk telah dipindahkan dari rumah mereka di Songkhla sejak 20 November, lapor jabatan perhubungan awam wilayah itu.
Rakaman televisyen tempatan sejak beberapa hari lalu menunjukkan anggota penyelamat di Hat Yai memindahkan mangsa menggunakan bot, jet ski dan lori tentera di tengah-tengah banjir.
Pada 25 November, Kedutaan Singapura di Bangkok menerusi laman Facebook berkata mereka telah memulakan saluran siaran di WhatsApp untuk menyampaikan maklumat.
Ia boleh diakses melalui kod Respons Pantas (QR) di laman itu atau melalui pautan yang disediakan.
Pihak kedutaan telah berkongsi maklumat mengenai banjir dan usaha pemindahan sepanjang hari sejak sekitar tengah malam apabila saluran itu dimulakan.
Maklumat terkini tentang lkeadaan banjir boleh didapatkan dengan menyertai Saluran Siaran WhatsApp Kedutaan Singapura di Bangkok.
Rakyat Singapura di Hat Yai yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi:
Kedutaan Republik Singapura di Bangkok
Tel: +66-2-348-6700 / +66-81-844-3580 (di luar waktu pejabat)
E-mel: singemb_bkk@mfa.sg
Pejabat Bertugas Kementerian Ehwal Luar (24 jam)
Tel: +65 6379 8800 / +65 6379 8855
E-mel: mfa_duty_officer@mfa.gov.sg


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg