Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gaza dilanda banjir, limpahan kumbahan dek cuaca ribut

Kerugian dianggarkan $5.8 juta, termasuk 22,000 khemah, makanan, ubat-ubatan dan prasarana rosak
Nov 20, 2025 | 3:22 PM
Keadaan ribut dan hujan lebat daripada sistem cuaca tekanan rendah pada 15 November telah membawa padah kepada sebahagian penduduk Gaza yang terpaksa berlindung di dalam khemah-khemah di tepi laut di Deir al-Balah, di tengah Jaluran Gaza.
Keadaan ribut dan hujan lebat daripada sistem cuaca tekanan rendah pada 15 November telah membawa padah kepada sebahagian penduduk Gaza yang terpaksa berlindung di dalam khemah-khemah di tepi laut di Deir al-Balah, di tengah Jaluran Gaza. - Foto AFP

GAZA/KAHIRAH: Penduduk Gaza yang bersesak-sesak di khemah-khemah yang tipis dan tidak kukuh di tepi laut, telah dilanda ribut, hujan lebat dan ombak besar sejak kebelakangan ini, yang telah memusnahkan beberapa tempat perlindungan dan sekali gus menambah kesengsaraan mereka, walaupun selepas gencatan senjata dilaksanakan.

Pemerintah Gaza yang ditadbir oleh Hamas menganggarkan kerugian akibat cuaca ribut mencecah sekitar AS$4.5 juta ($5.8 juta), termasuk 22,000 khemah, makanan, ubat-ubatan dan prasarana yang rosak.

Kumpulan bantuan kemanusiaan tempatan menyatakan bahawa 300,000 khemah baru diperlukan dengan segera untuk mengatasi masalah penduduk terjejas.

Hampir semua penduduk Gaza terpaksa meninggalkan rumah mereka semasa perang dua tahun yang dicetuskan oleh serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Akibatnya, mereka terpaksa tinggal di khemah dan tempat perlindungan asas dalam keadaan serba-serbi kekurangan.

Bagi Encik Abu Mohammed al-Qarra, hujan dan kesejukan telah membawa padah, dengan air masuk ke dalam khemah keluarganya yang terletak hanya 20 meter dari gigi air di pantai itu.

Akibatnya, barang-barang termasuk tilam dan selimut, basah dan mereka terpaksa menghabiskan masa sepanjang malam, memindahkan barang-barang tersebut.

Ketua pejabat media pemerintah Gaza, Encik Ismail al-Thawabta, berkata banjir telah memusnahkan lebih 22,000 khemah bersama-sama dengan tilam, selimut dan peralatan memasak yang ditaksirkan berjumlah lebih AS$2 juta ($2.62 juta).

Tempat perlindungan kecemasan di beberapa kawasan juga runtuh, menjadikan kem-kem ditakung air dan lumpur, katanya.

Turut terjejas ialah sistem pengaliran air dan sanitasi termasuk saluran air sementara dan lubang kumbahan, serta panel-panel suria kecil yang membekalkan hampir semua elektrik yang diperlukan penduduk Gaza.

Jurucakap Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Cik Tess Ingram, berkata stok bekalan tempat perlindungan untuk keluarga akan habis dalam beberapa hari, dan menggesa pihak berkuasa Israel supaya membenarkan lebih banyak bantuan masuk secepat mungkin.

“Tanpa bantuan yang cukup, kanak-kanak berisiko terus menderita akibat gabungan cuaca sejuk dan hujan yang boleh membawa maut, sanitasi yang buruk, yang mengakibatkan penyebaran penyakit, dan sudah tentu kekurangan zat makanan yang berterusan,” kata Cik Ingram.

Lebih jauh ke pedalaman Gaza, hujan telah menimbulkan masalah besar.

Kebanyakan orang yang berlindung di khemah tidak mempunyai tandas atau kemudahan kumbahan yang betul – sekadar bergantung pada lubang kecil yang digali berhampiran khemah mereka, yang melimpah apabila hujan lebat.

Hospital-hospital yang sudah terlalu padat telah berulang kali memberi amaran bahawa mereka sedang menghadapi peningkatan kadar penyakit gastrik dan penyakit kulit disebabkan oleh kesesakan dan persekitaran kotor yang diburukkan oleh kekurangan zat makanan.

Kolam besar untuk menyimpan air hujan sebelum perang telah dipenuhi dengan kumbahan dan, dengan adanya paip dan sistem pam yang hancur atau rosak, ia berisiko melimpah ke kawasan khemah yang sesak di sekelilingnya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg