Singapura mengutuk serangan terbaru terhadap Arab Saudi, termasuk serangan ke atas infrastruktur tenaga dan kapal komersial di Laut Merah, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Dalam satu kenyataan mengenai situasi di Timur Tengah pada 26 Julai, seorang jurucakap MFA berkata:

“Adalah penting agar hak dan kebebasan pelayaran dihormati dan dipelihara selaras dengan undang-undang antarabangsa seperti yang termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos) 1982, serta keselamatan pelaut dan kapal dipastikan selaras dengan Konvensyen Antarabangsa bagi Keselamatan Nyawa di Laut (Solas).”

Jurucakap itu menggesa semua pihak supaya mengawal diri dan mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi ketegangan.

Perkembangan ini berlaku susulan perluasan konflik yang berpunca daripada serangan pada 25 Julai terhadap kemudahan minyak Arab Saudi di sepanjang pantai Laut Merah oleh kumpulan Houthi dari Yaman yang bersekutu dengan Iran.

Konflik tersebut, yang telah pun menjejaskan bekalan tenaga melalui Selat Hormuz, berpotensi memberi kesan kepada satu lagi laluan perkapalan utama serta mencetuskan semula perang saudara di Yaman.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree, memberitahu Reuters bahawa kumpulan itu telah menyerang lokasi milik syarikat minyak negara Arab Saudi, Aramco, di bandar Jizan dan Yanbu pada 25 Julai.

Kilang penapisan Aramco di Jizan, berhampiran sempadan Yaman, mampu memproses sehingga 400,000 tong minyak mentah setiap hari.

Dua sumber perdagangan yang berpangkalan di Asia menyatakan mereka telah dimaklumkan mengenai kemungkinan kerosakan pada kemudahan penyimpanan bahan api dan minyak di Jizan.

Di Yanbu, dua peluru berpandu yang disasarkan ke arah kemudahan minyak telah dipintas. Yanbu, pelabuhan minyak utama Arab Saudi di Laut Merah, telah menjadi laluan penting bagi minyak Saudi untuk mengelak Selat Hormuz, yang telah disekat oleh Iran.

Sementara itu di Yaman, para pegawai menyatakan bahawa tentera udara kerajaan yang disokong Arab Saudi dan diiktiraf di peringkat antarabangsa – yang telah menentang kumpulan Houthi selama lebih sedekad – telah melancarkan serangan terhadap kedudukan Houthi di wilayah Marib dan al-Jawf.

Arab Saudi telah memimpin pakatan Arab yang memerangi Houthi selama lebih sedekad sejak kumpulan pejuang yang bersekutu dengan Iran itu menawan ibu kota Yaman, Sanaa.

Perang saudara tersebut, yang telah mengorbankan ratusan ribu nyawa akibat pertempuran dan kebuluran, telah dihentikan sementara di bawah satu perjanjian gencatan senjata sejak tahun 2022.

Namun, gencatan senjata itu terhenti pada Julai, apabila kumpulan Houthi secara efektif melibatkan diri dalam konflik lebih luas yang dicetuskan oleh sekutu mereka, Iran, susulan serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel lima bulan lalu.