Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeluru berpandu AS sasar Iran, usaha redakan ketegangan tampak malap
Peluru berpandu AS sasar Iran, usaha redakan ketegangan tampak malap
Netanyahu bakal lawat AS dan temu Trump pada 28 Jul
Peluru berpandu AS sasar Iran, usaha redakan ketegangan tampak malap
WASHINGTON: Amerika Syarikat terus menyerang Iran dengan peluru berpandu di seluruh Iran pada 24 Julai dan Presiden Donald Trump berikrar mengenakan “hukuman ketenteraan besar” ke atas Teheran dan sekutunya Houthi di Yaman.
Serangan itu dilancarkan meskipun beliau sekali lagi membuka pintu kepada perjanjian diplomatik dengan Iran.
Dua minggu selepas gencatan senjata yang bertujuan menamatkan perang dibubar, angkatan tentera Iran bertindak balas dengan menyerang pangkalan Amerika di negara Arab yang berjiran dan memberi amaran mereka boleh menyerang bangunan bukan tentera yang digunakan oleh kakitangan Amerika di sana.
Sejak kebelakangan ini, Encik Trump mengancam meluaskan sasaran ke loji tenaga dan jambatan Iran, mengerahkan tentera darat agar merampas hab minyaknya di Pulau Kharg, dan mengebom tapak berkaitan nuklear bawah tanah yang dikenali sebagai Gunung Pickaxe.
Namun, pada 24 Julai, Encik Trump berkata beliau belum membuat keputusan mengenainya.
“Kami sedang bercakap dengan mereka,” kata Encik Trump kepada pemberita di Rumah Putih.
“Setakat ini, saya berpendapat perkara tersebut adalah yang paling serius pernah kita saksikan, namun itu tidak bermakna kita sudah sampai ke tahap itu,” tambah beliau.
Ditanya apakah strategi keluar untuk perang Iran, beliau berkata:
“Terdapat jalan keluar bagi pihak tentera iaitu kita boleh meneruskan seperti keadaan sedia ada, dan kita juga boleh mengambil tindakan lebih drastik yang mampu menumpaskan segala yang mereka miliki.
“Atau, terdapat strategi yang lebih bijak, iaitu dengan memeterai perjanjian,” tambah beliau.
Tetapi beliau menambah: “Kita sudah bersedia. Kita bersedia untuk pergi.”
Menurutnya, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, akan mengunjungi Amerika minggu depan dan mereka berdua dijangka bertemu pada 28 Julai tatkala perang Amerika-Israel ke atas Iran genap mencapai lima bulan.
Dalam pada itu, sekatan laluan air utama Selat Hormuz telah menimbulkan kebimbangan tentang kemelesetan ekonomi sejagat.
Houthi, yang mengawal utara dan barat Yaman, juga telah mengisytiharkan sekatan tentera laut ke atas Arab Saudi, yang telah mengalihkan berjuta-juta tong minyak melalui saluran paip setiap hari ke Laut Merah untuk mengelak sekatan hampir sepenuhnya oleh Iran ke atas Selat Hormuz.
Susulan dakwaan Houthi bahawa mereka telah menyerang dua kapal tangki Saudi di Laut Merah pada 23 Julai, Encik Trump berkata beliau akan meminta Iran bertanggungjawab atas sebarang serangan selanjutnya oleh kumpulan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, tentera Amerika telah melancarkan serangan udara ke atas Iran pada lewat 23 Julai dan awal 24 Julai – sekali gus merupakan serangan 13 malam berturut-turut.
Dalam satu kenyataan di wadah X, Kementerian Kesihatan Iran berkata 59 orang terbunuh dan 666 cedera sejak pertempuran dengan tentera Amerika bersambung semula pada akhir Jun. – Reuters.