Topik diikuti
Pergi ke BHkuMFA: Warga S’pura di Nepal dinasihat berhati-hati, elak kawasan dilanda banjir
Berikutan banjir kilat maut di Nepal, warga Singapura di sana dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada, mengikuti berita tempatan serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Dalam nasihat yang dikeluarkan pada 27 Ogos, Kementerian Ehwal Luar (MFA) menggesa rakyat Singapura untuk mengelakkan kawasan yang dilanda banjir iaitu Rasuwa, Nuwakot, Dhading, Gorkha dan Chitwan.
Mereka juga perlu menjauhi sungai, tebing sungai, jambatan dan kawasan rendah.
MFA berkata mungkin terdapat gangguan kepada jalan raya, pengangkutan, komunikasi dan perkhidmatan penting di kawasan terjejas.
Pelancong perlu menyemak keadaan jalan raya dan cuaca tempatan sebelum memulakan perjalanan, tambahnya.
Sementara itu, pasukan penyelamat bergegas pada 27 Ogos untuk mencari ratusan orang yang hilang di sempadan Nepal-Tibet berikutan banjir kilat dan tanah runtuh yang meragut sekurang-kurangnya 160 nyawa serta memusnahkan seluruh perkampungan.
Pakar berkata bencana itu mungkin berpunca daripada keruntuhan glasier yang menyebabkan aliran serpihan melanda kawasan yang dilaluinya.
Sekurang-kurangnya 341 warga asing dilaporkan hilang. Antaranya ialah sekumpulan 47 pendaki, termasuk dua warga Singapura yang mengembara bersama syarikat pelancongan Himalayan Glacier.
MFA berkata warga Singapura yang membuat perjalanan ke atau menetap di Nepal amat digalakkan untuk mendaftar melalui eRegister dengan kementerian itu, membeli insurans perjalanan menyeluruh, dan sentiasa berhubung dengan keluarga, hotel, agensi kembara, pemandu pelancong atau pengendali pelancongan tempatan mereka.
Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Singapura di New Delhi atau Pejabat Bertugas Kementerian Ehwal Luar yang beroperasi 24 jam.
