Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MHA jalankan ujian sosial terkawal, nilai tahap kewaspadaan awam

May 29, 2025 | 6:30 PM
MHA, kewaspadaan, SGSecure
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), dalam satu kenyataan pada 29 Mei, berkata satu siri eksperimen sosial terkawal bagi memahami tahap kewaspadaan dan tindak balas orang awam terhadap ancaman pengganasan akan dijalankan oleh sebahagian daripada gerakan kebangsaan SGSecure. - Foto ST

Satu siri eksperimen sosial terkawal bagi memahami tahap kewaspadaan dan tindak balas orang awam terhadap ancaman terhadap pengganasan akan dijalankan oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) sebagai sebahagian daripada gerakan kebangsaan SGSecure.

Dalam satu kenyataan pada 29 Mei, MHA berkata eksperimen sosial itu akan diadakan dari awal hingga pertengahan Jun 2025 di beberapa kejiranan seluruh Singapura.

Ia akan melibatkan “senario terancang dengan pelakon dan peralatan realistik”, tambah kementerian itu.

MHA menjelaskan eksperimen sedemikian akan dilaksanakan “dengan perancangan teliti” bagi memastikan ia dilakukan secara selamat, di samping gangguan minimal kepada orang awam.

“Pihak berkuasa akan bersiap siaga bagi menjaga ketenteraman orang awam semasa latihan berlangsung,” ujar kementerian itu.

MHA tidak memberikan contoh senario yang akan berlaku, namun rakaman reaksi orang awam daripada eksperimen sosial tersebut akan digunakan bagi isi kandungan siri web.

“Kebenaran daripada orang awam akan diminta atau langkah sesuai akan diambil, sebagai contoh menyamar identiti, sebelum rakaman reaksi orang awam itu digunakan,” kata MHA.

Siri web tersebut dilakukan bagi meningkatkan kesedaran mengenai inti pati SGSecure, dengan episod pertama akan disiarkan pada 30 Julai.

Hasil dan butiran lanjut daripada eksperimen tersebut juga akan didedahkan pada 30 Julai, tambah MHA.

Eksperimen sosial sedemikian dilakukan sedang gerakan SGSecure berada dalam fasa berteraskan slogan ‘Apakah Peranan Anda?’.

Fasa terkini, yang berlangsung sejak 2023, tertumpu pada tiga bidang – mobilisasi masyarakat, memperkukuh kerjasama dalam masyarakat, serta mendekati golongan belia.

Menukil tinjauan MHA seperti yang dilaporkan Berita Harian (BH) pada Julai 2023, hanya sekitar separuh penduduk di Singapura yang percaya negara ini menjadi sasaran serangan pengganas.

Oleh demikian, Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, pada waktu itu, berkata sekiranya serangan pengganas berlaku di sini, ia boleh memperdalam ketidakpercayaan antara rakyat dan mewujudkan persekitaran yang menakutkan.

Lantaran itu, beliau berkata adalah penting bagi masyarakat memandang serius ancaman itu.

Fasa sebelum ini berteraskan cogan kata, ‘Bersiap Sedialah, Tindak Balas Kita Penting’, yang tertumpu pada usaha meningkatkan kesediaan masyarakat dalam memberi respons kepada serangan.

Dalam fasa itu, MHA bekerjasama dengan lebih ramai pihak untuk menekankan mesej tentang kesediaan.

Ini selain memastikan individu dan institusi mempunyai kemahiran dan pengetahuan relevan agar mereka bersedia memberi tindak balas dan pulih daripada sesuatu serangan pengganas, menurut laporan BH pada September 2017.

Ia satu peralihan daripada pelancaran gerakan tersebut pada September 2016 yang tertumpu pada usaha memberi kesedaran tentang ancaman pengganasan dengan cogan kata, ‘Bukan Jika, Tetapi Bila’.

Ia di samping usaha agar Singapura kekal bersatu sebagai masyarakat berbilang kaum dan agama, dan teguh sebagai satu rakyat apabila berdepan dengan krisis.

Pelancaran gerakan itu dirasmikan Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, bagi menggalak warga Singapura memainkan peranan sendiri.

Semasa berucap dalam pelancaran gerakan itu, Encik Lee berkata setiap individu harus dilatih agar bersedia bergerak memberikan perlindungan kepada keluarga dan sesiapa sahaja dalam keadaan jika berlaku serangan.

Beliau turut menekankan bahawa menangani pengganasan merupakan tanggungjawab rakyat Singapura dan bukan sahaja tugas pemerintah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg